Friday, July 3, 2020

AKU DIJANGKITI KEHIDUPAN – Ayuh Kasihani Pesakit Mental

 AKU DIJANGKITI KEHIDUPAN – Ayuh Kasihani Pesakit Mental


Hidup di dunia adalah ujian. Semua orang menerima ujian Tuhan dalam kapasiti serta acuan tersendiri. Jika  bertemu pesakit yang menderita sakit, kita akan berasa kasihan dan cuba membantu mereka. Jauh sekali membeban atau mengejek mereka. Malangnya situasi ini BIASANYA tidak berlaku kepada pesakit mental. Sebut sahaja sakit mental atau rawatan psikiatri, ramai yang hanya terbayang penyakit gila sedangkan cabang sakitnya  sangat banyak. Saya punyai teman yang menderita anxiety disorder, lalu pada suatu hari saya berkongsi cerita derita teman ini kepada seorang Ustaz. Dengar sahaja rawatan psikiatri, si Ustaz tanpa fikir terus memutar-mutar jari telunjuknya ke kepala sebagai kesimpulan kawan saya itu sebenarnya GILA. Segera timbul rasa kasihan saya pada Ustaz yang JAHIL ini.


Pernah juga saya kongsi kisah dengan seorang Ustaz tentang derita kemurungan ramai pelajar Universiti, lalu si Ustaz dengan tegas mengatakan “ITU TANDA MEREKA JAUH DARI ALLAH.” Lalu tanpa lengah si Ustaz membacakan ayat yang mengatakan Zikir kepada Allah akan menenangkan jiwa (al-Ra’du 13:28). Saya mengeluh kerana itulah saya dahulu sebelum dibuka ilham membaca dan berdamping dengan pesakit mental yang berbagai ragam dan jenis sakitnya. Pernah saya nasihat “al-Marhumah teman” saya yang menderita sakit kanser. Ketika kansernya semakin teruk, dia diserang pula kemurungan, halusinasi dan OCD kronik. Was-wasnya berwuduk dan solat sangat luar biasa. Bayangkan wuduknya sahaja mencecah 3 jam. Mula bersiap untuk solat isyak jam 9 malam, jam 3 pagi baru selesai. Teman saya ini seorang doktor pakar kulit yang sangat beragama sebelum menderita sakit kanser. Oleh itu, tazkirah KURANG IMAN atau JAUH DARI ALLAH sangat meleset untuknya.

 

Alhamdulillah, buku ini – AKU DIJANGKITI KEHIDUPAN terbitan KataPilar – wajib dibaca semua lapisan masyarakat terutama sekali ibu bapa, ahli keluarga dan guru. Sakit mental adalah sakit yang sangat sukar dihadapi kerana ia tak nampak di mata. Ramai pesakit mental gagal sembuh dengan sepatutnya apabila menjadi mangsa persepsi masyarakat. Mengapa ibu bapa, keluarga dan guru perlu diberi pengetahuan mengenai sakit mental? Tidak lain kerana mereka adalah watak utama dalam tumbesaran seorang manusia. Manusia pula Allah bina dalam komponen fizikal, emosi dan mental. Semuanya perlu sihat dan semuanya boleh cedera parah. Cedera fizikal boleh dilihat, senang dirawat dan senang mengundang simpati. Perkara ini tidak berlaku pada CEDERA EMOSI DAN MENTAL. Pengabaian, buli, kata cerca dan sebagainya boleh menjadi luka dalam yang tak mampu sembuh walaupun selepas bertahun ia berlalu.


Buku ini menyenaraikan 4 kes psikiatri yang ditulis sendiri oleh pesakit. Saya mengurut dada terkedu membaca “APA SEBENARNYA PERANG YANG BERLAKU DALAM MINDA PESAKIT MENTAL.” Yang pasti punca perang bukan muncul sehari dua tetapi benihnya mula berputik sejak dari kecil. Ada yang luka kena ejek dan buli sejak kecil. Ada yang disenaraikan sebagai PELAJAR GAGAL pada papan kenyataan sekolah sehingga menghantui pelajar sehinga tua. Saya terkejut kenapa pihak sekolah sanggup menggunakan strategi yang sangat berisiko seperti itu.


Kisah menarik mengenai kemunculan watak khayalan berdamping dengan pesakit. Ada watak BENCI yang kerjanya membisikkan segala yang jahat dan hodoh. Si Benci siap berjanji mendampingi pesakit asal dia sanggup meninggalkan Tuhan yang mengujinya dengan sakit ini. Juga munculnya watak ALANA kembar khayalan pesakit yang berusaha memujuknya. Ketika membaca kisah 2 watak khayalan ini, saya teringat tentang watak Qarin pendamping manusia yang Allah cipta dalam kalangan Syaitan dan Malaikat.


مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنْ الْجِنِّ وَقَرِينُهُ مِنْ الْمَلَائِكَةِ قَالُوا وَإِيَّاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَإِيَّايَ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِحَقٍّ


Ertinya: “Setiap kamu memiliki pendamping dalam kalangan jin dan malaikat.” Para sahabat bertanya: “Adakah Tuan juga memilikinya?” Rasulullah menjawab: “Ya! Aku juga memilikinya, akan tetapi Allah membantuku mengatasinya lalu dia memeluk Islam dan tidak mendorongku melakukan sesuatu melainkan yang baik sahaja (Musnad Ahmad, no 3466).


Bacaan tentang sakit mental bagi saya sangat diperlukan oleh para agamawan kerana mereka menjadi tempat tumpuan masyarakat termasuk yang menderita kemurungan. Para Ustaz perlu tahu JENIS PERANG JIWA sesetengah anggota masyarakat agar nasihat yang diberikan tidak menjadi RACUN YANG LEBIH CEPAT MEMBUNUH berbanding merawat. Setakat yang saya temui, pesakit sebegini biasa meluahkan rasa nak bunuh diri sebagai jalan keluar daripada DERITA YANG TAK MAMPU DILIHAT mata kasar ini. 


Luahan mahu mati itu mengingatkan saya dengan “rasa pelik Maryam AS yang mahu segera mati” ketika tertekan mengandungkan Isa AS (Maryam 19:23). Kita boleh bayangkan tekanan yang dirasai Maryam AS. Dia sebelum ini dikenali perempuan suci, tiba-tiba mengandung tanpa suami sehingga mendorongnya lari ke tempat terpencil. Tanpa dampingan sesiapa menderita pula sakit melahirkan anak. Aduh! Rasa nak mati pada Maryam AS itu sebenarnya sesuatu yang biasa bagi manusia yang tiada tempat bergantung. Adakah itu tanda Maryam AS kurang iman? Kenapa Allah rekodkan dalam al-Quran? Saya berpandangan, Allah mahu kita semua faham betapa manusia yang tiada sokongan boleh berfikir sedemikian. Lalu jika kita bertemu mereka, janganlah tambah hukuman ke atas mereka dengan TAZKIRAH SUBUH, DUHA, ZOHOR, ASAR atau MAGHRIB tentang dosa besar bunuh diri, sebaliknya cubalah selami dan fahami akar masalah mereka.


Kesimpulannya, buku ini melambakkan jawapan kepada kita semua tentang realiti dan kecamuk jiwa pesakit mental. Bacalah buku ini! Kenalilah sakit ini kerana anda TAK BOLEH JAMIN SAKIT INI TIDAK AKAN SINGGAH ATAU MENYAPA ANDA ATAU ORANG YANG ANDA SAYANG SUATU HARI NANTI. 


Cuma jika boleh, saya sangat berharap agar Penerbit buku ini – KataPilar, agar mengubah warna kertas dan membesarkan tulisan kerana mata saya yang sudah berusia ini agak terseksa menghadam sudut pandang mata zahir dengan mata hati ketika meneliti setiap halaman yang dipamerkan. Pun begitu, persembahan buku yang sarat dengan ilmu pada ruang KLINIK MINI serta pengalaman pesakit mampu mengalahkan kekurangan yang saya nyatakan itu. Tapi...alangkah baiknya jika ISI TERBAIK dihidangkan DALAM PINGGAN TERBAIK kerana gabungan yang betul antara keduanya akan menambah selera pembaca.


Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Mula Baca; 30 Jun 2020,

Habis Baca;  2 Julai 2020.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...