Thursday, February 13, 2020

MATI – ANDA SAKSI ALLAH DI BUMI?

MATI – ANDA SAKSI ALLAH DI BUMI?

Untuk al-Marhum Abang saya dan ABAM BOCEY!

Saya baru kehilangan abang tercinta pada 5 Disember 2019 kerana serangan jantung. Usianya baru 56 tahun. Al-Marhum seorang mekanik dan suka membantu serta memudahkan kerja orang yang dikenalinya. Berita pemergiannya mengejutkan ramai orang. Banyak sekali kami dengar pujian orang tentang al-Marhum seperti:

“Gemulah Kimea (Rohazman) tu suka tolong orang! Mudah sungguh nak minta bantuan dia!”

Mendengar berita baik rakan taulan mengenainya mengingatkan saya sebuah hadith Rasulullah SAW ini. Semoga ia menjadi penenang jiwa kami sekeluarga dan keluarga ABAM BOCEY:

أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ مَرُّوا بِجَنَازَةٍ فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا خَيْرًا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَبَتْ ثُمَّ مَرُّوا بِأُخْرَى فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا شَرًّا فَقَالَ وَجَبَتْ فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ مَا وَجَبَتْ قَالَ هَذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا فَوَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ وَهَذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا فَوَجَبَتْ لَهُ النَّارُ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ

Ertinya: Anas bin Malik RA menceritakan, pada suatu hari dibawa seorang jenazah melewati Rasulullah SAW dan orang ramai. Orang ramai memuji si mati dengan pujian baik (kerana dia  seorang soleh dan mematuhi agama). Nabi SAW pun berkata: “Pasti (baginya)!” Kemudian dibawa pula seorang jenazah lagi, lalu orang ramai menyebut sesuatu yan tidak elok tentangnya (si mati bukan orang yang baik dan tidak mematuhi agama). Nabi pun berkata sekali lagi: “Pasti (baginya)!” Berikutan kata-kata nabi itu, ‘Umar bin al-Khattab RA bertanya: “Apa yang pasti (Wahai Rasulullah)?” Baginda menjawab: “Jenazah ini (yang pertama) kalian memujinya dengan kebaikan, maka pasti baginya syurga. Adapun jenazah yang ini pula (yang kedua) kalian memberi komentar buruk kepadanya, maka pasti baginya neraka. (KERANA) KAMU INI ADALAH SAKSI ALLAH DI BUMI (Sahih al-Bukhari, hadith no 1278).

Pengajaran hadith:

1) Pujian dan celaan dalam hadith ini berlaku secara sukarela tanpa paksaan daripada sidang hadirin yang BENAR-BENAR mengenali gemulah. Ia menunjukkan sifat sebenar si mati yang melayakkannya mendapat pujian atau celaan.

2) Perkataan “PASTI (BAGINYA SYURGA ATAU NERAKA)” yang disebut nabi bukanlah suatu kenyataan pasti, sebaliknya ia mengandungi “harapan yang tinggi” untuk gemulah. Ini kerana Allah tidak terikat dengan pilihan manusia dan Dia miliki hak mutlak untuk meletakkan sesiapa sahaja dalam syurga atau neraka. Walaupun begitu, Allah adalah Tuhan Yang Maha Adil yang pasti memberikan ganjaran selayaknya kepada hamba-Nya yang berbakti atau sebaliknya.

3) Pensaksian yang diterima Allah sama ada berkenaan jenazah yang baik atau jahat “bukan merujuk kepada semua manusia.” Sabda nabi dalam hadith ini “KAMU INI ADALAH SAKSI ALLAH DI BUMI”  merujuk kepada orang beriman seperti para sahabat dan bukannya manusia biasa yang tidak soleh. Oleh itu, jika selepas kematian seseorang, ramai orang soleh memujinya, itu satu petanda baik untuk si mati.

Semoga pujian ikhlas yang terpacul daripada mulut orang yang terkenang kebaikan gemulah (walau siapapun dia sama ada abang saya atau ABAM BOCEY) menjadi tanda atau sebab mereka memperolehi syurga. Apa yang pasti, mereka sudah pergi menghadap Allah. Sudah ada pujian ikhlas orang kepada mereka. Bagaimana agaknya reaksi orang ramai jika kita pula dijemput Allah? Jadilah orang yang soleh yang bermanafaat kepada semua semoga ia menjadi sebab pintu syurga terbuka luas untuk kita seawal kita mati. Insya-Allah!

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
12 Februari 2020.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...