Thursday, March 5, 2020

KISAH SIASAT SANAD YANG MENARIK!

KISAH SIASAT SANAD YANG MENARIK!

Generasi salaf sangat teliti dengan sanad atau rantaian periwayatan. Tambahan ia melibatkan dakwaan sabda Rasulullah SAW. Baginda bukan manusia biasa yang boleh disandar-kata tanpa bukti. Generasi salaf sangat mementingkan sanad. Kata Ibn al-Mubarak:

الْإِسْنَادُ مِنْ الدِّينِ وَلَوْلَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

Ertinya: (Abdullah bin al-Mubarak) berkata: “Isnad (rantaian periwayatan) adalah sebahagian daripada agama kerana tanpa sanad sudah pasti akan berkatalah sesiapa sahaja akan apa yang dikehendakinya” (Sahih Muslim).

Ayuh kita baca kisah SIASAT SANAD yang dipraktikkan beliau:

أَبَا إِسْحَقَ إِبْرَاهِيمَ بْنَ عِيسَى الطَّالَقَانِيَّ قَالَ قُلْتُ لِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْمُبَارَكِ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْحَدِيثُ الَّذِي جَاءَ إِنَّ مِنْ الْبِرِّ بَعْدَ الْبِرِّ أَنْ تُصَلِّيَ لِأَبَوَيْكَ مَعَ صَلَاتِكَ وَتَصُومَ لَهُمَا مَعَ صَوْمِكَ قَالَ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ يَا أَبَا إِسْحَقَ عَمَّنْ هَذَا قَالَ قُلْتُ لَهُ هَذَا مِنْ حَدِيثِ شِهَابِ بْنِ خِرَاشٍ فَقَالَ ثِقَةٌ عَمَّنْ قَالَ قُلْتُ عَنْ الْحَجَّاجِ بْنِ دِينَارٍ قَالَ ثِقَةٌ عَمَّنْ قَالَ قُلْتُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَا أَبَا إِسْحَقَ إِنَّ بَيْنَ الْحَجَّاجِ بْنِ دِينَارٍ وَبَيْنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَفَاوِزَ تَنْقَطِعُ فِيهَا أَعْنَاقُ الْمَطِيِّ وَلَكِنْ لَيْسَ فِي الصَّدَقَةِ اخْتِلَافٌ

Ertinya: Abu Ishaq al-Talaqani berkata, Aku pernah bertanya kepada Abdullah bin al-Mubarak: “Adakah kamu pernah dengar hadith yang menyebut – Sesungguhnya kebajikan sesudah kebajikan adalah berdoa kepada kedua ibu bapa bersama solat (doa)mu. Juga berpuasa untuk mereka berdua bersama puasamu.” Abdullah pun bertanyaku: “Wahai Abu Ishaq dari mana kamu kutip hadith ini?” Aku jawab: “Daripada Syihab bin Khirasyh.” Beliau menjawab: “Dia (Syihab) adalah seorang   yang dipercayai. Dari siapa pula dia kutip hadith ini?” Aku jawab: “Daripada al-Hajjaj bin Dinar.” Abdullah menjawab: “Dia (al-Hajjaj) adalah seorang yang boleh dipercayai. Dari siapa pula (al-Hajjaj) kutip hadith ini?” Aku jawab: “Dia (al-Hajjaj) mengambilnya daripada Nabi SAW.” Abdullah menegur sambil berkata: “Wahai Abu Ishaq! Antara al-Hajjaj dan Nabi SAW ada tanah gersang yang panjang (jarak masa yang terputus). Jarak putusnya dari kawasan penempatan boleh memutuskan leher unta. Walaupun begitu, tiada keraguan tentang kebaikan pada sedekah (berbuat baik kepada ibu bapa seperti disebut pada awal riwayat ini (Sahih Muslim).

Sikap teliti dengan penerimaan berita dan siasatan kepada siapa si pembawa berita diinspirasi daripada Firman Allah ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Ertinya: Wahai orang yang beriman! JIKA DATANG KEPADA KAMU SEORANG FASIK MEMBAWA SESUATU BERITA, MAKA SELIDIKILAH (UNTUK MENENTUKAN) KEBENARANNYA, SUPAYA KAMU TIDAK MENIMPAKAN SESUATU KAUM DENGAN PERKARA YANG TIDAK DIINGINI - DENGAN SEBAB KEJAHILAN KAMU (MENGENAINYA) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan (al-Hujurat  49:6).

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
5 Mac 2020.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...