Sunday, May 19, 2019

RINGKASAN JUZUK 14 SEMPENA HARI KE 14 RAMADHAN


RINGKASAN JUZUK 14 SEMPENA HARI KE 14 RAMADHAN (Ahad 19 Mei 2019).

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.



TADABBUR PILIHAN JUZUK 14 – LOMPAT PARTI PENUHI SIFAT KURANG SIUMAN DAN MUNAFIQ?

Malam tadi kami Qiyam juzuk 14 seiring dengan malam ke 14 Ramadhan. Antara ayat pilihan yang perlu kita faham dan hayati adalah:

وَأَوْفُوا بِعَهْدِ اللَّهِ إِذَا عَاهَدْتُمْ وَلَا تَنْقُضُوا الْأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ اللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلًا إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ (91) وَلَا تَكُونُوا كَالَّتِي نَقَضَتْ غَزْلَهَا مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ أَنْكَاثًا تَتَّخِذُونَ أَيْمَانَكُمْ دَخَلًا بَيْنَكُمْ أَنْ تَكُونَ أُمَّةٌ هِيَ أَرْبَى مِنْ أُمَّةٍ إِنَّمَا يَبْلُوكُمُ اللَّهُ بِهِ وَلَيُبَيِّنَنَّ لَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ (92)

Ertinya: Dan sempurnakanlah pesanan dan perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan. Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Dia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya (al-Nahl 16:91-92).

Islam adalah agama yang adil. Ayat di atas menerangkan prinsip menghormati perjanjian dalam Islam. Orang beriman tak akan mengkhianati perjajian yang sudah diikat. Tambah tegas, Allah umpamakan orang yang melanggar penjanjian seperti wanita kurang siuman yang bersungguh menenun kain sepanjang hari, kemudian meleraikannya sejurus siap tenunannya. Mudahnya ia adalah perbuatan bodoh lagi tercela. Soalannya, adakah wanita ini benar-benar wujud? Menurut para ulama Tafsir, watak wanita kurang siuman ini memang wujud semasa Baginda SAW berada di Mekah (Tafsir al-Tabari dan Tafsir al-Alusi). 

Pendek kata hanya “orang gila dan jahat” sahaja sanggup mengkhianati perjanjian yang sudah dimeterai bersama. Rasulullah SAW antara contoh tokoh yang sangat menjaga kesucian dan kehormatan perjanjian. Perhatikan kisah ini:

سُلَيْمَ بْنَ عَامِرٍ يَقُولُ  كَانَ بَيْنَ مُعَاوِيَةَ وَبَيْنَ أَهْلِ الرُّومِ عَهْدٌ وَكَانَ يَسِيرُ فِي بِلَادِهِمْ حَتَّى إِذَا انْقَضَى الْعَهْدُ أَغَارَ عَلَيْهِمْ فَإِذَا رَجُلٌ عَلَى دَابَّةٍ أَوْ عَلَى فَرَسٍ وَهُوَ يَقُولُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَفَاءٌ لَا غَدْرٌ وَإِذَا هُوَ عَمْرُو بْنُ عَبَسَةَ فَسَأَلَهُ مُعَاوِيَةُ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ كَانَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ قَوْمٍ عَهْدٌ فَلَا يَحُلَّنَّ عَهْدًا وَلَا يَشُدَّنَّهُ حَتَّى يَمْضِيَ أَمَدُهُ أَوْ يَنْبِذَ إِلَيْهِمْ عَلَى سَوَاءٍ قَالَ فَرَجَعَ مُعَاوِيَةُ بِالنَّاسِ

Ertinya: Sulaym bin ‘Amir berkata, Mu’awiyah ada perjanjian damai dengan orang Rom dan tempoh tamat perjanjian akan habis dalam masa sebulan lagi. Untuk itu, Mu’awiyah bergerak dengan tenteranya menuju ke sempadan Rom yang dijangka memakan masa perjalanan sebulan. Tempoh perjanjian damai itu akan tamat serentak dengan ketibaan pasukan tenteranya ke sempadan Rom. Selepas itu Mu’awiyah akan menyerang Rom secara mengejut. Ketika pasukan itu sedang bergerak tiba-tiba ada seorang lelaki berkuda melaungkan teguran: “Allah Maha Besar! Hendaklah kalian menunaikan janji dan jangan mengkhianatinya.” Lelaki itu ada seorang sahabat nabi bernama ‘Amru bin ‘Abasah RA. Mu’awiyah bertanya perihal tegurannya itu. Beliau pun menyampaikan sebuah hadith Nabi SAW: “Sesiapa yang ada perjanjian dengan satu kaum, maka jangan sesekali dia merungkai atau mengetatkannya  (mengubah isi perjanjian) sehingga habis tempohnya atau (jika dia tak mahu mematuhi perjanjian itu) maka hendaklah dia kembalikan (batalkan perjanjian itu) secara saksama (dengan persetujuan bersama).” Berikutan teguran itu, Mu’awiyah membatalkan hasratnya (Sunan al-Tirmidhi, hadith no 1506).

Selain itu, perangai melanggar perjanjian ditegaskan Nabi SAW sebagai sifat orang munafiq yang wajib kita hindari. Sabda Nabi SAW:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Ertinya: (Tanda orang munafiq ada tiga; apabila berbicara dia berdusta, apabila dia berjanji dia langgar dan apabila diberi amanah dia khianati (Sahih al-Bukhari, hadith no 32, 2485, 2544, 5630 dan Sahih Muslim, hadith no 89, 90).

Setiap kali membaca ayat al-Quran dan hadith di atas, selalu saya teringat perangai orang politik yang menang pilihanraya atas tiket parti lain, tetapi melompat ke parti dengan berbagai alasan. Ini contoh manusia yang tak tahu malu, kurang siuman dan punyai ciri orang munafik. Jika benar anda berani dan terhormat, letak dahulu jawatan dan bertanding semula untuk tahu apa “jawapan terkini” rakyat terhadap anda. Semoga Allah selamatkan  kita semua daripada manusia sebegini.

 
Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

7 Mei 2020, Khamis (14 Ramadhan 1441 H).


TADABBUR PILIHAN JUZUK 14 – DENDAM DISENTAP DARI HATI AHLI SYURGA

Malam tadi kami Qiyam juzuk 14 seiring dengan malam ke 14 Ramadhan. Antara ayat pilihan yang perlu kita faham dan hayati adalah:

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ (45) ادْخُلُوهَا بِسَلامٍ آمِنِينَ (46) وَنزعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَى سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ (47)

Ertinya: Sesungguhnya orang yang bertaqwa adalah ditempatkan dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air terpancar padanya. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman". “DAN KAMI CABUT AKAN APA YANG ADA DIHATI MEREKA DARI PERASAAN HASAD DENGKI (PERMUSUHAN DAN KEBENCIAN) SEHINGGA JADILAH MEREKA BERSAUDARA (DALAM SUASANA KASIH MESRA), SERTA MEREKA DUDUK SALING MENGHADAP DI ATAS PELAMIN” (al-Hijr  15:45-47).

Ayat ini menceritakan berbagai ni’mat yang diperolehi penghuni syurga, antaranya jiwa yang bersih tanpa dendam. Paling tepat bagi menggambarkan maksud ayat ini adalah kisah perang Jamal. Perang ini berlaku selepas kewafatan Uthman RA dan tercetus antara pihak Sayyidatina Aishah RA, Talhah RA serta al-Zubayr RA dengan pihak Sayyidina Ali RA. Ia berlaku atas banyak faktor antaranya salah faham dan hasutan musuh dalam selimut. Dalam perang ini Talhah dan al-Zubayr mati dibunuh oleh pihak Ali. Selepas perang itu anak Talhah iaitu ‘Imran bin Talhah masuk bertemu Ali. Ali kemudiannya berkata:

“Aku sangat berharap agar hubunganku dengan ayahmu (Talhah) seperti apa yang disebut oleh firman Allah ini (al-Hijr 15:47)(Tafsir al-Tabari):

Kita mungkin hairan bagaimana dendam kesumat sesama mereka boleh hilang begitu sahaja? Jawapannya ada pada hadith ini:

يَخْلُصُ الْمُؤْمِنُونَ مِنْ النَّارِ فَيُحْبَسُونَ عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ فَيُقَصُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ مَظَالِمُ كَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الْجَنَّةِ 

Ertinya:  (Selepas) orang beriman bebas dari neraka (setelah melalui titian sirat yang merentas neraka), mereka ditahan pada jambatan di hujung titian sirat antara syurga dan neraka. Lalu diselesaikan antara sesama mereka segala kezaliman (kesilapan) yang pernah berlaku di dunia dahulu. Setelah segalanya bersih dan suci barulah mereka dibenarkan melangkah masuk ke dalam syurga (Sahih al-Bukhari, hadith no 6054).

Syurga adalah tempat yang suci zahir dan batin. Jiwa mereka tidak dicemari benci dan dendam, bahkan jasad mereka juga tidak lagi dicemari dengan sistem perkumuhan fizikal seperti yang biasa berlaku di dunia:

لَا يَبُولُونَ وَلَا يَتَغَوَّطُونَ وَلَا يَتْفِلُونَ وَلَا يَمْتَخِطُونَ أَمْشَاطُهُمْ الذَّهَبُ وَرَشْحُهُمْ الْمِسْكُ….. عَلَى صُورَةِ أَبِيهِمْ آدَمَ سِتُّونَ ذِرَاعًا فِي السَّمَاءِ

Ertinya: (Ahli syurga) tidak kencing, tidak buang air besar, tidak meludah, tidak berhingus, sikat mereka dari emas, peluh mereka seharum kasturi….fizikal mereka seperti fizikal ayah mereka Adam setinggi 60 hasta ke langit (Sahih al-Bukhari, hadith no 3080 dan Sahih Muslim, hadith no 5063).  

Pelik juga jika mahu difikir, bagaimana segala kebencian boleh bertukar menjadi kasih sayang? Lihat ayat ini:

عَالِيَهُمْ ثِيَابُ سُنْدُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ وَحُلُّوا أَسَاوِرَ مِنْ فِضَّةٍ وَسَقَاهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًا طَهُورًا

Ertinya: Ahli syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat daripada sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang tangan daripada perak; “DAN MEREKA DIBERI MINUM OLEH TUHAN MEREKA DENGAN SEJENIS MINUMAN (YANG LAIN) YANG BERSIH SUCI” (al-Insan 76:21). 

Ahli syurga minum dari air yang sangat bersih lagi suci. Tidak mustahil jika diteorikan air suci itu akan mengubah struktur tubuh ahli syurga yang menjadikan tubuh mereka tidak lagi memerlukan system perkumuhan seperti yang wujud di dunia. Lalu mereka tidak lagi kencing atau berak selamanya. Peluh mereka bertukar harum bak kasturi dan air suci itu  turut menyucikan jiwa mereka bersih daripada segala macam rasa dendam, hasad, marah dan benci (Tafsir al-Tabari dan Tafsir al-Razi). 

Rasa dendam, marah dan benci sebenarnya perisa syaitan yang ada dalam diri kita. Ia perlu ditangani dan dirawat agar tidak subur. Kalau perlu, hapuskan sama sekali kerana bimbang nanti ia menjadi penghalang kita untuk sampai syurga. 

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

7 Mei 2020, Khamis (14 Ramadhan 1441 H).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...