Monday, May 20, 2019

RINGKASAN JUZUK 15 SEMPENA HARI KE 15 RAMADHAN

RINGKASAN JUZUK 15 SEMPENA HARI KE 15 RAMADHAN (Isnin 20 Mei 2019).

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.


TADABBUR PILIHAN JUZUK 15 – HIKAYAT ANAK-ANAK IBLIS

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 15 sempena hari ke 15 Ramadhan adalah:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا (50)

Ertinya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia berasal daripada golongan jin, lalu dia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu (al-Kahf 18:50).

Pesanan penting: Nampaknya ramai yang keliru mengambil isi nota ini. Sebagai langkah berjaga-jaga di awal rencana lagi saya ingatkan kisah wujudnya nama anak-anak Iblis ini TIDAK SAHIH dan JANGAN DIPEGANG DENGAN JITU. Perbincangan nota ini sekadar sebuah perkongsian membuka mata agar kita tahu apa disiplin agama yang sepatutnya kita pegang.

Ayat di atas membawa satu sudut tambahan berkaitan permusuhan asal antara Iblis dan anak Adam. Dalam ayat ini Allah jelaskan Iblis berasal daripada bangsa Jin dan bukannya malaikat. Banyak bukti dia bukan berasal daripada spesis malaikat kerana malaikat punyai ciri suci yang tak akan mengingkari sebarang perintah Allah. Selain itu, malaikat juga bukan jenis makhluk yang beranak pinak, sedangkan ayat di atas secara terang menyebut Iblis punyai anak keturunan. Apa yang paling penting, kita perlu sentiasa waspada dengan serangan Iblis serta keturunannya yang berjanji taat setia bersama Iblis untuk menjerumuskan seramai mungkin manusia ke neraka bersama mereka (Fatir 35:6).

Jika dilihat pada zahir ayat di atas, Allah menyebut Iblis punyai anak keturunan yang sentiasa bersamanya merencanakan kemusnahan manusia. Soalnya, adakah benar Iblis punyai anak keturunan. Jika benar, siapa nama mereka dan siapa pula nama ibu mereka? Mudahnya apa yang didiamkan al-Quran maka ia bukanlah sesuatu yang mendesak untuk kita ketahui. Pun begitu, para ulama’ Tafsir cuba membawa perbincangan tentang siapa anak keturunan Iblis itu. 

Dalam sebuah riwayat yang disandarkan kepada seorang tabi’in (murid sahabat) bernama Mujahid, anak Iblis ada lima dan setiap mereka memegang portfolio tersendiri dalam menyesatkan manusia:

1) Zalnabur (زلنبور) yang bertugas menggangu manusia di pasar. Ketika menonton filem Munafik 1 arahan Syamsul Yusuf, saya terkejut besar apabila pada babak akhir filem tersebut digambarkan watak antagonis filem itu menyeru nama ini. Dia menyeru nama Zalnabur dalam bahasa Arab. 

2) Thabar (ثبر) yang bertugas menghasut manusia yang ditimpa musibah.

3) Al-A’war (الأعور) yang bertugas menghasut manusia melakukan zina.

4) Masut (مسوط) yang bertugas melemparkan berita palsu pada lidah manusia. Dalam Tafsir Ibn Abi Hatim, Tafsir al-Alusi dan al-Durr al-Manthur Fi al-Tafsir bi al-Ma’thur (Imam al-Suyuti) pula menyebut Masut adalah nama syaitan yang menggangu Nabi Ayyub AS (lihat pada tafsiran surah Sad 38:41).

5) Dasim (داسم) yang mengiringi manusia ke dalam rumah apabila tidak dibaca Basmalah atau tidak disertakan zikir kepada Allah.

(Riwayat di atas boleh dilihat dalam Tafsir al-Tabari pada pentafsiran ayat di atas).

Dalam Tafsir al-Nasafi pula (tafsiran pada ayat yang sama) ditambah beberapa nama lain;

6) Laqis (لا قيس) yang mencampakkan rasa was-was dalam solat.

7) Batar (بتر) bertugas menghasut manusia yang ditimpa musibah. Tugasnya kelihatan sama dengan tugas Thabar.

8) Matus (مطوس) yang bertugas menyebarkan gossip.

Dalam Tafsir al-Qurtubi pula ditambah beberapa nama lain;

9) Al-Abyad (الابيض) (Si putih) yang mencampak rasa was was ke dalam hati para nabi. 

10) Sakhar (صخر) yang mencuri cincin nabi Sulayman AS sehingga mengakibatkan baginda kehilangan kerajaannya selama 40 hari (juga disebut dalam Tafsir al-Tabari). Walau bagaimanapun riwayat tentang rampasan kuasa ini ditolak oleh Imam al-Razi kerana bertentangan dengan roh agama dan akal yang sihat. Sekiranya jin (seperti Sakhar) mampu menyamar dalam rupa para nabi, sudah pasti kesucian agama akan musnah akibat penyamaran syaitan. Tambahan pula, sekiranya mereka mampu menyamar dalam rupa para nabi, sudah pasti mereka juga mampu menyamar dalam rupa para ulama dan membuat fatwa atau ijtihad yang palsu di atas nama para ulama (Tafsir al-Razi pada tafsiran surah Sad 38:35). 

11) Murrah (مرة) yang menghasut untuk menggunakan serunai (alatan muzik).

12) Al-Haffaf (الهفاف) yang menggangu dan menyesatkan manusia di padang pasir.

Tambah menarik, seorang wartawan Mesir, Muhammad ‘Isa Dawud pernah mendakwa berjaya menemuramah satu raja Jin bernama Mustafa Kancur. Menurut si raja jin, 5 anak Iblis itu masih hidup sampai sekarang (Hiwar Sahafiy Ma’ Jinniy Muslim, ms 51-54). Kredibiliti buku ini pun dipertikai keras. 

Walau bagaimanapun, Ibn ‘Atiyyah dalam tafsirnya al-Muharir al-Wajiz (tafsiran pada surah al-Kahf 18:50) telah mengkritik penamaan tersebut kerana semuanya tidak mempunyai sanad periwayatan yang sahih. Kesemuanya tidak sahih kecuali apa yang disebut oleh hadith iaitu Khanzab (خنزب - si penggangu solat sebagaimana yang disebut dalam Sahih Muslim, hadith no 4083 dan Musnad Ahmad, hadith no  17224) dan juga al-Walahan (الولهان - si penggangu wuduk sebagaimana yang disebut dalam Sunan al-Tirmidhi, hadith no 52. Hadith ini dinilai lemah oleh Imam al-Tirmdhi).

Panjang pula cerita ini. Mudahnya saya setuju penuh dengan pandangan Imam Ibn ‘Atiyyah kerana perincian perihal Jin dan syaitan termasuk perkara ghaib yang wajib diimani melalui sumber wahyu yang sahih. SEMUA RIWAYAT YANG DINYATAKAN DI ATAS MENGENAI ANAK-ANAK IBLIS TAK SAHIH DAN PERLU DIELAKKAN. 

Cukuplah kita pasang waspada dalam jiwa agar sentiasa berhati-hati dengan hasutan Iblis dan keturunannya TANPA PERLU KITA TAHU SIAPA NAMA DAN APA PORTFOLIO KERJA MEREKA. 

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

8 Mei 2020, Jumaat (15 Ramadhan 1441 H).


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...