Saturday, May 18, 2019

RINGKASAN JUZUK 13 SEMPENA HARI KE 13 RAMADHAN

RINGKASAN JUZUK 13 SEMPENA HARI KE 13 RAMADHAN (Sabtu 18 Mei 2019).

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.




[25/04, 07:57] Ustz Abdullah Bukhari: TADABBUR PILIHAN JUZUK 13 – MAAF TANPA SYARAT?

Malam tadi kami Qiyam juzuk 13 seiring dengan malam ke 13 Ramadhan. Antara ayat pilihan yang perlu kita faham dan hayati adalah:

قَالُوا تَاللَّهِ لَقَدْ آَثَرَكَ اللَّهُ عَلَيْنَا وَإِنْ كُنَّا لَخَاطِئِينَ (91) قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (92)

Ertinya: Mereka (adik beradik Nabi Yusuf) berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang yang bersalah". “YUSUF BERKATA: "KAMU PADA HARI INI TIDAK AKAN DITEMPELAK ATAU DISALAHKAN (TENTANG PERBUATAN KAMU YANG TELAH TERLANJUR ITU), SEMOGA ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA KAMU, DAN DIA LAH JUA YANG MAHA MENGASIHANI DARIPADA SEGALA YANG LAIN YANG MENGASIHANI” (Yusuf 12:91-92). 

Ayat ini menceritakan sifat mulia Nabi Yusuf AS yang memaafkan semua saudaranya tanpa syarat setelah Baginda mendedahkan identitinya. Penderitaan Yusuf AS yang dianiaya saudaranya sangat dahsyat. Ia melibatkan derita fizikal dan luka jiwa yang sangat panjang. Jika tidak kerana hasad saudaranya dahulu, Yusuf pasti tidak akan merana terpisah daripada ayahnya Nabi Ya’qub AS selama puluhan tahun. Jika tidak kerana hasad mereka, Yusuf pasti tidak derita malu dijual sebagai hamba. Jika tidak kerana hasad mereka, Yusuf pasti tidak akan derita digoda wanita Mesir. Paling perit, jika tidak kerana hasad mereka, Yusuf pasti tidak akan derita dikurung seperti haiwan dalam penjara Mesir tanpa apa kesalahan. 

Walaupun begitu, pada hari mereka bertemu Yusuf AS dengan licin, fasih dan lancar memaafkan mereka tanpa syarat! Sedangkan pada hari itu Baginda memiliki kuasa penuh sebagai orang nombor dua Mesir. Boleh sahaja semua kezaliman saudaranya itu dibalas setimpal atau berpuluh kali ganda. Tapi Yusuf AS tidak begitu, Baginda memberi maaf tanpa syarat. Lantas Allah merekodkan “kisah akhlak agung” ini dalam al-Quran agar ia menjadi bacaan, tatapan dan amalan semua. 

Paling indah, Rasulullah SAW menjadi orang pertama mempraktikkan akhlak agung Yusuf ini pada hari pembukaan Kota Mekah tahun ke 8 Hijri. Ketika orang Mekah yang dahulunya tidak putus bergotong royong menganiaya Baginda tunduk hina menunggu apa sahaja hukuman yang bakal diterima, ini ucapan Baginda:
 
أقول كما قال يوسف : لا تثريب عليكم اليوم يغفر الله لكم وهو أرحم الراحمين 

Ertinya: “Aku berkata (kepada kamu semua wahai penduduk Mekah) sebagaimana ucapan (saudaraku Nabi) Yusuf: “KAMU PADA HARI INI TIDAK AKAN DITEMPELAK ATAU DISALAHKAN (TENTANG PERBUATAN KAMU YANG TELAH TERLANJUR ITU), SEMOGA ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA KAMU, DAN DIA LAH JUA YANG MAHA MENGASIHANI DARIPADA SEGALA YANG LAIN YANG MENGASIHANI” (Dala’il a-Nubuwwah Imam al-Bayhaqi, hadith no 1788).

Selain Rasulullah SAW, Abu Bakar RA juga pernah mempraktikkan akhlak agung ini dengan memaafkan sepupunya, Mistah bin Uthathah RA yang silap berkongsi kisah fitnah Aishah RA hasil cetusan orang Munafiq Madinah. Kisah Abu Bakar RA itu direkodkan dalam hadith (Sahih al-Bukhari, hadith no 2467, 4381) dan al-Quran:

وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَى وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu (Abu Bakar RA), bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah (Mistah bin Uthathah); “DAN (SEBALIKNYA) HENDAKLAH MEREKA MEMAAFKAN SERTA MELUPAKAN KESALAHAN ORANG ITU; TIDAKKAH KAMU SUKA SUPAYA ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA KAMU? DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA MENGASIHANI” (al-Nur 24:22).

Memaafkan kesilapan orang memang sukar dan pahit, manakala membiarkan hati dilamun benci dendam pula sangat enak rasanya kerana ia sudah direncahkan “perisa Iblis.” Walaupun begitu, percayalah yang sedap tidak semestinya bagus dan yang pahit itu boleh menjadi ubat yang mujarab.

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

6 Mei 2020, Rabu (13 Ramadhan 1441 H).



[25/04, 07:57] Ustz Abdullah Bukhari: TADABBUR PILIHAN JUZUK 13 – YUSUF TIDAK MENCURI!
 
Malam tadi kami Qiyam juzuk 13 seiring dengan malam ke 13 Ramadhan. Antara ayat pilihan yang perlu kita faham dan hayati adalah:

فَبَدَأَ بِأَوْعِيَتِهِمْ قَبْلَ وِعَاءِ أَخِيهِ ثُمَّ اسْتَخْرَجَهَا مِنْ وِعَاءِ أَخِيهِ كَذَلِكَ كِدْنَا لِيُوسُفَ مَا كَانَ لِيَأْخُذَ أَخَاهُ فِي دِينِ الْمَلِكِ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ نَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مَنْ نَشَاءُ وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ (76) قَالُوا إِنْ يَسْرِقْ فَقَدْ سَرَقَ أَخٌ لَهُ مِنْ قَبْلُ فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِي نَفْسِهِ وَلَمْ يُبْدِهَا لَهُمْ قَالَ أَنْتُمْ شَرٌّ مَكَانًا وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَصِفُونَ (77)

Ertinya: Ertinya: Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian dia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan setiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui, Mereka berkata:" Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya (Yusuf ketika kecil) pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): "Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu" (Yusuf 12:76-77).

Ayat di atas menceritakan strategi Nabi Yusuf AS yang mahu adiknya Bunyamin kekal di Mesir. Kalau mahu disukat, rindu Yusuf kepada adiknya Bunyamin sudah memuncak. Lama sungguh Baginda terpisah dengan Bunyamin. Bukan sehari atau sebulan tapi sudah puluhan tahun lamanya. Lantaran itu, setelah Bunyamin sampai, Yusuf berusaha mengekalkannya di Mesir dengan memasukkan piala diraja ke dalam karung Bunyamin. Tindakan ini bukan perangkap licik Yusuf bagi menganiaya Bunyamin sebaliknya berlaku atas arahan wahyu. Frasa “KECUALI JIKA DIKEHENDAKI OLEH ALLAH” dalam ayat 76 di atas menjadi bukti Yusuf bertindak dengan panduan wahyu. 

Setelah barang itu ditemui dalam karung Bunyamin, tanpa tunggu saudara mereka yang lain mengutuk Bunyamin yang seibu dengan Yusuf. Seolah mahu disahkan tabiat mencuri Bunyamin sama seperti tabiat Yusuf kerana keduanya berkongsi “genetik pencuri.” Masya-Allah! Mereka sepatutnya membela Bunyamin dan bukannya mencurahkan minyak ke dalam api yang baru menyala. Tambah parah apabila mereka cuba melibatkan watak Yusuf yang sudah lama hilang akibat aniaya mereka sendiri. Soalannya, adakah benar Yusuf pernah mencuri bagai yang didakwa? Apa kisahnya?

Ketika mengulas kisah tuduhan Yusuf pernah mencuri semasa kecil, para ulama Tafsir membawa 2 riwayat (Tafsir Ibn Kathir):

1) Yusuf ketika kecil pernah mencuri berhala sembahan datuknya (bapa kepada ibunya). Tujuan baginda mencuri berhala itu adalah untuk menghentikan penyembahan berhala dan mentawhidkan Allah. Tindakan ini sepatutnya dipuji. Lagipun pada waktu itu Yusuf masih kanak-kanak yang masih tiada tanggungan dosa pahala. Bahkan anak kepada ‘Amru bin al-Jamuh RA yang bernama Mu’adh pernah mencuri berhala ayahnya dan membuangnya bagi menghalang syirik ayahnya berleluasa. Tindakan Mu’adh akhirnya menjadi sebab pengislaman ‘Amru bin al-Jamuh (Sirah Ibn Hisyam). 

2) Nabi Yusuf semasa kecilnya dibela oleh ibu saudaranya. Setelah meningkat dewasa, nabi Ya’qub meminta agar Yusuf dikembalikan ke pangkuan keluarganya. Ibu saudara Yusuf (juga kakak nabi Ya’qub) sangat sayangkan Yusuf lalu merancang untuk mengekalkan Yusuf bersamanya. Dia kemudiannya mendakwa kehilangan sesuatu dan setelah dicari, barangnya itu ditemui ada pada Yusuf. Menurut syariat mereka, pencuri perlu menjadi hamba atau berkhidmat kepada pemilik barang yang dicuri. Setelah itu, Yusuf ditahan oleh ibu saudaranya itu sehingga beliau meninggal dunia.

Jika diperhatikan, kedua kisah ini sebenarnya menafikan Yusuf pernah menjadi pencuri. Satunya menunjukkan usaha Yusuf menghapuskan syirik, manakala satu lagi menunjukkan Yusuf dituduh oleh ibu saudaranya yang mahu Yusuf terus kekal bersamanya.

Ketika dituduh sedemikian oleh saudaranya, Yusuf hanya berdiam diri, tidak menyerang balas dan tidak menafikan tuduhan tersebut. Baginda hanya berdiam diri dan mengeluh dalam hatinya sahaja. Apa yang boleh kita pelajari dari sikap baginda ini?  Baginda AS meletakkan “AKAL DI HADAPAN LIDAH” kerana lidah yang mendahului akal akan menimbulkan banyak masalah kepada empunya lidah. Benar kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Awasilah lidah kita. Fikirlah sedalam mungkin sebelum lidah menghamburkan kata. Orang yang “mengunci lidah dengan akal” akan lebih selamat daripada bencana. Kunci lidah sepatutnya dibuka hanya pada keadaan yang sesuai sahaja. Itulah contoh manusia bijaksana.

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

6 Mei 2020, Rabu (13 Ramadhan 1441 H).



[25/04, 18:00] Ustz Abdullah Bukhari: TADABBUR PILIHAN JUZUK 13 – KENALI 4 MALAIKAT PENJAGA KITA

Malam tadi kami Qiyam juzuk 13 seiring dengan malam ke 13 Ramadhan. Antara ayat pilihan yang perlu kita faham dan hayati adalah:

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ

Ertinya: Bagi setiap seorang (manusia) ada malaikat penjaga yang silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah (al-Ra’d 13:11).

Ayat di atas menerangkan peranan dua malaikat utusan Allah yang menjaga kita setiap waktu. Kedua malaikat ini diposisikan Allah di hadapan dan belakang setiap manusia. Mereka dikenali sebagai – معقبات  - PARA MALAIKAT YANG SILIH BERGANTI kerana mereka bertukar giliran pada 2 waktu sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلَائِكَةٌ بِالنَّهَارِ وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ وَصَلَاةِ الْعَصْرِ ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ رَبُّهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ

Ertinya: Para malaikat datang silih berganti pada kalian pada waktu malam dan waktu siang. Mereka berkumpul ketika waktu solat subuh dan Asar. Kemudian yang menjaga kalian di waktu malam naik. Kemudian Allah Yang Maha Mengetahui urusan mereka, bertanya kepada malaikat-malaikat tersebut, “Bagaimanakah keadaan hamba-Ku ketika kalian tinggalkan? Mereka menjawab, “Kami tinggalkan mereka ketika mereka sedang solat dan kami datang juga ketika mereka sedang solat” (Sahih al-Bukhari, hadith no 522, 6878, 6932 dan Sahih Muslim, hadith no 1001).
 
Selain dua malaikat ini, kita turut ditemani 2 malaikat dari arah kanan dan kiri yang bertugas merekodkan semua amal baik dan buruk kita. Mereka digelar Raqib dan ‘Atid:

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ (17) مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ (18)

Ertinya: Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; YANG SATU DUDUK DI SEBELAH KANANNYA, DAN YANG SATU LAGI DI SEBELAH KIRINYA. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya) (Qaf 50:17-18).

Perkara sama disebut dalam ayat lain (al-An’am 6:61). Pun begitu, ada pula bertanya dengan sentap:

“Ustaz! Jika benar bagai dikata ada malaikat menjaga kita sepanjang masa, mengapa masih ada yang luka, cedera, sakit ditimpa musibah. Bahkan ada yang langsung mati! Nampak tak seiring dengan ayat di atas.”

Jawapannya mudah sahaja, perhatikan hujung ayat (al-Ra’d 13:11) di atas. Allah tegaskan dengan lafaz – يحفظونه من أمر الله – “MEREKA MENJAGA MANUSIA DENGAN ARAHAN ALLAH.” Hujung ayat ini menjelaskan para malaikat ini hanya bertugas dalam bidang kuasa yang dibenarkan Allah untuk mereka. Apabila datang takdir Allah yang lain ke atas si hamba, para malaikat tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka hanya hamba suruhan Allah dan bukannya penentu takdir hamba.
 
Kesimpulannya, iman kita kepada kewujudan empat malaikat ini sepatutnya menjadikan kita lebih beringat kerana kamera litar tertutup seliaan mereka sentiasa mengawasi kita sepanjang masa.

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

6 Mei 2020, Rabu (13 Ramadhan 1441 H).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...