Monday, November 5, 2018

HORMATI PAKAR BIDANG

HORMATI PAKAR BIDANG

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Saya tak belajar secara rasmi ilmu perubatan. Kritikan saya terhadap cara doktor merawat kawan saya ini, *saya petik daripada sebuah laman web terkenal yang banyak mendedahkan kesilapan perubatan moden.* Mengikut laman web tersebut, perubatan moden banyak terikat dengan penggunaan dadah yang sebenarnya tidak benar-benar merawat tetapi menahan sakit secara sementara.

Kita perlu menggunakan perubatan herba yang lebih alami *seperti PRODUK YANG SAYA GUNA DAN JUAL.* Para doktor yang merawat kebanyakannya terlalu ikut buku dan tak sedar mereka sudah diperdaya oleh agenda Yahudi. Kita perlu sedar Yahudi memang punyai hasrat memusnahkan umat Islam dengan berbagai cara sebagaimana ditegaskan Allah dalam al-Quran (al-Baqarah 2:120).”

Jika anda berada dalam bilik rawatan bersama doktor, pesakit dan penutur dialog di atas, apa agaknya pilihan anda? Nasihat si doktor yang menghabiskan masanya bertahun belajar perihal rahsia tubuh manusia dan berbagai penyakit yang wujud, atau si pengkritik yang banyak berguru melalui internet? 

Tubuh manusia memang misteri Allah yang luar biasa, sehingga dalam bidang perubatan pun kepakaran para doktor dipecah-kecil kepada berbagai bidang tersendiri. Doktor telinga tidak akan memandai dalam masalah jantung. Doktor tulang tak akan menjawab soalan berkaitan buah pinggang yang kompleks. Berdasar pengalaman saya berurusan dengan para doktor, mereka tak segan silu berkata *“Maaf soalan Encik tu saya tak boleh jawab kerana ia bukan bidang saya.”* Seakan para doktor menjiwai sabda Rasulullah SAW ini:

مَنْ تَطَبَّبَ، وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ، فَهُوَ ضَامِنٌ

Ertinya: Sesiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggung jawab (atas apa yang mungkin berlaku kepada pesakit)”
(Sunan Abu Dawud).

Jika kita teliti ayat al-Quran, Allah memang mendidik kita agar bertanya pakar bidang apabila keliru dan bukannya memandai-mandai. Percayalah, kita tak akan jadi pandai jika sekadar tunjuk pandai atau memandai-mandai. Firman Allah:

وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya: Dan Kami tidak utus para Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); MAKA TANYALAH KEPADA ORANG BERILMU JIKA KAMU TIDAK MENGETAHUI (al-Anbiya’ [21:7]).

Konteks sebenar ayat ini adalah bertanya kepada Ahli kitab tentang “KEMANUSIAAN PARA RASUL.” Ia berpunca daripada kedegilan orang Mekah pada zaman nabi SAW yang tidak boleh menerima manusia seperti Rasulullah SAW sebagai utusan Allah. Mereka beranggapan nabi sepatutnya muncul daripada spesis malaikat. Setelah ditanya kepada Ahli Kitab atau orang Yahudi dan Nasrani mengenai isu ini, mereka akui tiada nabi yang pernah diutus dalam kalangan malaikat? Oleh itu mereka sepatutnya menerima Rasulullah SAW sebagai utusan Allah kepada mereka (Tafsir Ibn Kathir).

Perkataan ”orang berilmu” dalam ayat ini boleh kita terjemahkan dengan makna “PAKAR BIDANG.”  Cantik! Ini cara al-Quran mengajar kita untuk hidup selamat di dunia dan di akhirat. Apabila buntu dan perlukan penjelasan, tanya ahli bidang yang menghabiskan masa bertahun belajar dan mengkaji, bukannya percaya cakap orang yang cuma merujuk kepada lambakan laman web yang kabur integriti kesahihan bahannya. Bahan yang wujud dalam lambakan laman web bukanlah suatu rujukan ilmu yang meyakinkan. *Ia “boleh dioperasikan” oleh sesiapa sahaja terutama sekali penjual produk ajaib yang tidak bertanggungjawab.* Dakwa dakwi atau fakta separuh masak dalam lambakan laman web wajib diteliti terlebih dahulu sebagaimana firman Allah ini:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Ertinya: Wahai orang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik (orang atau sumber yang meragukan serta tidak boleh dipercayai)  membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan (al-Hujurat 49:6).

Kewajipan merujuk kepada ahli bidang seperti bidang perubatan memang disarankan Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat:

Pernah suatu ketika seorang sahabat nabi mengalami luka sehinga darahnya tidak berhenti mengalir. Lalu dua lelaki daripada Bani Anmar dipanggil untuk merawatnya:

قَالَ لَهُمَا أَيُّكُمَا أَطَبُّ فَقَالَا أَوَ فِي الطِّبِّ خَيْرٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ ....قَالَ أَنْزَلَ الدَّوَاءَ الَّذِي أَنْزَلَ الْأَدْوَاءَ

Nabi pun bertanya kepada mereka berdua "SIAPA ANTARA KALIAN BERDUA YANG LEBIH PANDAI MERAWAT?" Mereka berdua bertanya: "Adakah pada ilmu perubatan itu ada kebaikan Wahai Rasulullah?"..... Baginda menjawab:  "TUHAN YANG MENURUNKAN PENYAKIT TURUT MENURUNKAN UBAT." (Muwatta' Imam Malik, hadith ini dinilai lemah oleh sesetengah ulama’ hadith tetapi saranan baginda SAW itu tidak bercanggah dengan semangat Islam yang menuntut kita bertanya kepada ahli bidang).

Dalam sebuah peristiwa lain, Sa'ad bin Abi Waqqas RA menceritakan:

عَنْ سَعْدٍ قَالَ مَرِضْتُ مَرَضًا أَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي فَوَضَعَ يَدَهُ بَيْنَ ثَدْيَيَّ حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَهَا عَلَى فُؤَادِي فَقَالَ إِنَّكَ رَجُلٌ مَفْئُودٌ ائْتِ الْحَارِثَ بْنَ كَلَدَةَ أَخَا ثَقِيفٍ فَإِنَّهُ رَجُلٌ يَتَطَبَّبُ فَلْيَأْخُذْ سَبْعَ تَمَرَاتٍ مِنْ عَجْوَةِ الْمَدِينَةِ فَلْيَجَأْهُنَّ بِنَوَاهُنَّ ثُمَّ لِيَلُدَّكَ بِهِنَّ

Dari Sa’ad: Aku sakit lalu Rasulullah SAW menziarahiku. Baginda meletakkan tangannya di tengah dadaku sehingga terasa sejuk tangan baginda di dadaku. Baginda bersabda: Kamu sedang sakit dada, pergilah berjumpa al-Harith bin Kaladah dari kabilah Thaqif kerana dia tahu mengubat. (Nabi mencadangkan) Hendaklah Al-Harith mengambil 7 biji kurma Ajwah Madinah, kisar dengan bijinya kemudian menyuapnya (Sa'ad)” (Sunan Abu Dawud).

Siapa al-Harith bin Kaladah ini sehingga baginda menyarankan sahabatnya berubat dengannya? Beliau adalah doktor Arab yang terkenal. Belajar ilmu perubatan di Yaman dan Jandaysabur Parsi. Adakah beliau berstatus sahabat? Para ulama sejarah masih berselisih pendapat tentang status Islamnya. *Walau apa pun status agamanya, apabila namanya disarankan baginda SAW, jelas menunjukkan kepada kita semua pengiktirafan betapa Rasulullah SAW mahu umatnya mendalami ilmu dan menghormati ahli bidangnya.*

Anda mahu buat eksperimen mudah mengenai kepentingan merujuk pakar bidang? Cubalah keluarkan dana besar untuk membina rumah idaman yang akan didiami ahli keluarga tercinta. Adakah kita mahu mengupah si tukang rumah untuk membina rumah idaman itu atau mengupah orang yang tidak arif tentang besi, simen, bata yang menjadi rencah sebuah bangunan dan binaan. Jika salah matematik bahan binaan, nyawa ahli keluarga tercinta mungkin tergadai! *Jika anda mahu jaminan keselamatan untuk keluarga tercinta ketika membuat rumah idaman, aspek kesihatan tubuh badan dan nyawa anugerah Allah sepatutnya lebih diutamakan.* Fikirkanlah!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...