Tuesday, October 30, 2018

CARA ELAK GODAAN ALAM MAYA

CARA ELAK GODAAN ALAM MAYA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Manusia berasa dirinya kuat tapi hakikat sebenarnya sangat berbeza. Baru sebatang selumbar halus menyucuk jari, manusia sudah resah gelisah. Itu ancaman fizikal, bagaimana pula ancaman mental atau rohani? Dalam sebuah hadith nabi SAW menyebut ujian dunia dan wanita (atau jantina berbeza) sangat bahaya dan sukar dihadapi:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ

Ertinya: Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau (kuat tarikannya). Allah pula menjadikan kamu sebagai pentadbir padanya, lalu Dia akan melihat bagaimanakah tingkah laku kamu semua. Oleh itu, berhati-hatilah dengan (godaan) dunia dan wanita, kerana sesungguhnya ujian pertama (merosakkan) Bani Isra’il adalah pada (godaan wanita) (Sahih Muslim).

Ujian godaan jantina berbeza sukar dihadapi manusia kerana mereka dicipta lemah:

يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُخَفِّفَ عَنْكُمْ وَخُلِقَ الْإِنْسَانُ ضَعِيفًا

Ertinya: Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah (al-Nisa’ 4:28).

Sifat lemah manusia pada ayat ini membawa maksud lemah ketika berhadapan dengan nafsu berlainan jantina (Tafsir Jalalayn). Oleh itu, sesiapa yang tak mampu “secara kewangan” berkahwin dengan wanita merdeka dibenarkan berkahwin dengan wanita hamba  kerana mahar wanita hamba lebih murah (lihat ayat 25 surah al-Nisa’). Mengapa kelonggaran kahwin hamba diberikan Allah dalam ayat ini? Tidak lain kerana manusia dicipta lemah ketika berhadapan godaan jantina berbeza. Itu konteks sebenar perkataan“manusia lemah” dalam ayat  28 di atas.

Ketika berhadapan godaan jantina berbeza Allah mengajar panduan kepada kita daripada dua kisah berbeza dengan dua jantina berbeza. Mari kita lihat dua situasi ini:

1) Lelaki digoda wanita. Situasi ini pernah berlaku kepada nabi Yusuf AS yang digoda isteri ‘Aziz Mesir:

وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَنْ نَفْسِهِ وَغَلَّقَتِ الْأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ قَالَ مَعَاذَ اللَّهِ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ

Ertinya: Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup semua pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (daripada perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku (atau tuanku yang juga suami kamu wahai wanita) telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang yang zalim tidak akan berjaya" (Yusuf 12:23).

Tindakan nabi Yusuf AS yang segera ingat kepada Allah seiring dengan sebuah hadith nabi SAW:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

Ertinya: Ada 7 golongan yang bakal dilindungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari (kiamat) yang tiada naungan melainkan naungan-Nya sahaja iaitu; pemimpin yang adil, anak muda yang membesar dalam ibadat kepada Tuhannya, lelaki yang hatinya senantiasa terikat dengan masjid, “ 2 lelaki yang saling berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerananya”,  LELAKI YANG DIGODA (BERZINA) OLEH WANITA YANG MEMILIKI PANGKAT DAN KECANTIKAN LALU DIA BERKATA “SESUNGGUHNYA AKU TAKUTKAN ALLAH, lelaki yang menyembunyikan sedekahnya sehingga (seakan-akan) tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanannya dan seorang lelaki yang mengingati Allah secara bersendirian lalu mengalirlah kedua air matanya (kerana gentarkan Allah) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

2) Wanita yang didatangi lelaki asing. Situasi ini disebut Allah dalam kisah kedatangan Jibril AS yang menjelma masuk kamar Maryam AS dalam rupa seorang lelaki:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مَرْيَمَ إِذِ انْتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا (16) فَاتَّخَذَتْ مِنْ دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا (17) قَالَتْ إِنِّي أَعُوذُ بِالرَّحْمَنِ مِنْكَ إِنْ كُنْتَ تَقِيًّا (18)

Ertinya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri daripada keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.  Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya daripada mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami (malaikat JIbril AS) lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa (Maryam 19:16-18).

Kedua ayat ini menunjukkan Yusuf dan Maryam AS adalah manusia pilihan Allah yang dikurnai sifat taqwa yang tinggi. Taqwa seumpama “penggera kecemasan” yang mengingatkan mereka kepada Allah:

إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ

Ertinya: Sesungguhnya orang yang bertaqwa, APABILA MEREKA DIGANGGU (BISIKAN) OLEH SESUATU IMBASAN HASUTAN DARI SYAITAN, MEREKA INGAT (KEPADA AJARAN ALLAH) MAKA DENGAN ITU MEREKA NAMPAK (JALAN YANG BENAR) (al-A’raf 7:201).

Setelah taqwa mereka mengambil alih akal yang mulai dikepung godaan berbahaya, mereka segera meminta perlindungan daripada satu-satu Tuhan yang mampu menjaga mereka. Walaupun miliki iman seteguh gunung yang tak mampu dirempuh oleh sesiapa, mereka tetap bermohon keselamatan kepada Allah kerana mereka faham antara makhluk jahat yang paling mudah mengkhianati manusia adalah nafsunya sendiri. Tambah bahaya apabila nafsunya berjaya ditunggang syaitan yang sentiasa mencari serta mencuri peluang:

اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنْسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ أُولَئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Ertinya: Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang yang rugi (al-Mujadalah 58:19).

Dua situasi terdahulu adalah bentuk godaan jantina berbeza yang berlaku secara fizikal di dunia hakiki. Bagaimana pula godaan dalam ruang maya seperti media sosial? Ledakan media social yang mengambil alih peranan ruang fizikal nampaknya jauh lebih mengancam dan bahaya. Wanita dan lelaki boleh terdedah kepada “khalwat maya” dan “godaan lain jantina” di mana sahaja mereka. Teknologi moden dalam telefon pintar sudah membuka segala batas dan dinding pemisah sehingga manusia moden boleh “ditelanjangkan” di mana sahaja. Oleh itu, kita yang hidup dalam zaman fitnah ini lebih utama memohon perlindungan Allah daripada ditunggangi syaitan. Semoga Allah selamatkan kita semua.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...