Thursday, October 25, 2018

PALU – JANGAN CUBA JADI TUHAN?

PALU – JANGAN CUBA JADI TUHAN?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim


http://m.utusan.com.my/mega/agama/palu-jangan-cuba-jadi-tuhan-1.772553#.W83u5s6NAB0.facebook


“Musibah ini berlaku kerana timbunan dosa awak!”

Ayat di atas mungkin ada benarnya, tetapi apabila ia dilantun ke wajah mangsa musibah, penuturnya perlu segera ditegah kerana cakapnya itu tidak banyak memberi manafaat duniawi atau agama kepada mangsa yang baru ditimpa tangga.

Bencana gempa dan Tsunami yang memalu wilayah Palu Sulawesi, Indonesia menggempar buana. Kepada penduduk Palu kita ucapkan takziah dan doakan kesejahteraan untuk mereka. Pasti ada hikmah di sebalik bencana ini sebagaimana firman Allah:

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya: Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah 2:216).


Soalnya, adakah musibah yang memalu Palu adalah tanda MURKA ALLAH pada mereka? Pasti ada petunjuknya dari al-Quran! Memang al-Quran banyak berbicara tentang punca musibah adalah kerja tangan manusia sendiri. Antaranya Firman Allah:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Ertinya: Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa kamu (al-Syura 42:30).


Contoh yang sama dapat dilihat pada beberapa ayat lain seperti surah al-Rum 30:41 dan al-Nahl 16:112.  Sunnatullah ini turut berlaku kepada bangsa lampau yang derhaka kepada Allah seperti bangsa Fir’aun:

وَلَقَدْ أَخَذْنَا آلَ فِرْعَوْنَ بِالسِّنِينَ وَنَقْصٍ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Ertinya: Dan sesungguhnya Kami timpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran (al-A'raf 7:130).


Bukan hanya bangsa Fir’awn, kaum nabi Nuh, Hud, Lut dan yang lain turut menerima nasib yang sama kerana kedegilan mereka melawan para utusan Allah. Kita boleh rujuk perihal nasib mereka yang bertaburan disebut al-Quran, antaranya surah Hud 11:52, al-‘Ankabut 29:40 dan Nuh 71:10-12.

Orang Mekah pada zaman Rasulullah SAW yang keras kepala menentang Islam turut diuji dengan kemarau yang panjang:

فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ (10)
يَغْشَى النَّاسَ هَذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ (11)

Ertinya: Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat),Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: "Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan"(al-Dukhan 44:10).


Pendek kata, Allah memang mahu manusia tahu Dia adalah Pemilik mutlak alam ini. Sebarang cubaan melawan kehendak-Nya akan menyungkurkan manusia dengan berbagai musibah. Allah mahu kita kenal dan takut keagungan-Nya:

وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

Ertinya: Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali (Ali ‘Imran 3:28).


Selain itu, Allah juga mahu kita ambil peduli atau cakna dengan apa yang berlaku disekeliling. Sebarang kemungkaran perlu dicegah agar murka Allah tidak mencetuskan bencana alam. Tiada istilah kubur masing-masing, kerana apabila bencana murka Allah menerpa, ia tidak kenal alamat kaki dosa atau ahli Masjid. Terpaan atau “paluan” azab-Nya boleh meruntuhkan satu negeri sebagaimana firman-Nya:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Ertinya: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya (al-Anfal 8:25).

Sikap tidak cakna maksiat yang berleluasa pernah menjadi sebab laknat Allah kepada sebahagian bani Isra’il sebagaimana dijelaskan ayat (al-Ma’idah 5:78-79).

Pun begitu, jangan pula kita berlagak sebagai “wakil Tuhan” menuding jari kepada mangsa bencana kerana kita juga “tidak tahu secara pasti” adakah benar bencana itu tanda murka Allah kepada mereka atau ia sekadar ujian hidup manusia.  Jangan ambil kerja Tuhan menebak yang ghaib kerana hanya Allah yang tahu kebenarannya. Tambahan pula anda bukan nabi yang dianugerahi wahyu:

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا (26) إِلَّا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا (27)

Ertinya: "Tuhan sahaja yang mengetahui yang ghaib, MAKA DIA TIDAK MEMBERITAHU PERKARA GHAIB YANG DIKETAHUINYA ITU KEPADA SESIAPAPUN, "MELAINKAN KEPADA MANA-MANA RASUL YANG DI REDAI-NYA (UNTUK MENGETAHUI SEBAHAGIAN DARIPADA PERKARA GHAIB YANG BERKAITAN DENGAN TUGASNYA; APABILA TUHAN HENDAK MELAKUKAN YANG DEMIKIAN) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan) (al-Jinn 72:26-27).

Mengapa saya tegur agar kita tidak cepat mengatakan Allah murka pada mangsa bencana? Tidak lain kerana Rahmat dan kasih sayang Allah masih luas bak lautan tidak bertepi atau tidak berdasar dalamnya:

وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَى ظَهْرِهَا مِنْ دَابَّةٍ وَلَكِنْ يُؤَخِّرُهُمْ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِعِبَادِهِ بَصِيرًا

Ertinya: Dan kalaulah Allah mengira kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan perbuatan jahat yang mereka kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Dia beri tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan para hamba-Nya (Fatir 35:45).

Boleh jadi musibah mereka ada hikmah lain yang Allah mahu laksanakan sebagaimana sabda Rasulullah SAW ini:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Ertinya: Tiada yang menimpa seorang muslim satu kesusahan, kesakitan, keresahan, kesedihan, kedukaan, bahkan sehingga secucuk duri yang menikamnya melainkan Allah akan menghapus dosanya (Sahih al-Bukhari).

Selepas ini, apabila menerima berita musibah atau bencana alam menimpa sesuatu tempat, jadikan ia iktibar untuk diri. Jangan cepat mengambil teropong untuk mengintai dosa mangsa, sebaliknya bantulah mereka secara fizikal dan emosi. Percayalah kita adalah makhluk Allah yang tak mampu tahu yang ghaib. Ambillah iktibar daripada musibah orang lain sebagai cermin diri dan bukannya melantik diri sebagai wakil Tuhan yang tidak bertauliah “me-matematik-kan” dosa bencana sebagai murka Allah dalam platform media social Sabarlah!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...