Tuesday, September 4, 2018

JANGAN JADI HAJI MISKIN PAHALA!

JANGAN JADI HAJI MISKIN PAHALA!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Saya bukan tak mahu solat berjemaah dalam Masjidil Haram, tapi jaraknya jauh dan cuacanya panas membahang. Tambahan pula ada pandangan yang sebut solat di Hotel pun pahalanya masih tetap sama seperti solat dalam Masjidil Haram, asal sahaja lokasinya di Tanah Suci Mekah.”

Itu antara dialog “malang” yang diucapkan sesetengah Jemaah Haji yang selesai menunaikan Haji. Habis sahaja musim haji, peluang ibadah yang menjanjikan pahala berganda diabaikan seolah-olah Tanah Suci Mekah hanya sebuah destinasi perlancongan biasa.

Mereka ini seumpama seorang tukang masak yang bertungkus lumus, berhabis masa dan harta menanam sayur, menternak ayam ikan, menyedia bahan dan memasak hidangan terbaik untuk dimakan. Setelah hidangan siap dihidang ia tidak pula dihadam. Hidangan yang disediakan bermandi peluh dan keringat dibiar basi di atas meja tanpa manafaat “sedangkan terdapat ramai manusia lain yang merintih kelaparan.”

Adakah solat di mana-mana bahagian Tanah Haram Mekah “sama pahalanya” dengan solat dalam Masjidil Haram? Isu ini memang dibincangkan oleh para ulama. Ada yang berpandangan bahawa gandaan pahala sebanyak “SERATUS RIBU” hanya khusus untuk solat dalam Masjidil Haram yang punyai bangunan Ka’abah sahaja. Ada juga ulama’ yang berpandangan janji pahala itu meliputi seluruh tanah Haram Mekah dan bukan hanya Masjidil Haram.

Janji pahala seratus ribu berpandukan sabda Rasulullah SAW:

وعَنْ جَابرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ الله صلى الله عليه وسلم قَالَ: صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ المَسْجِدَ الحَرَامَ وَصَلاَةٌ فِي المَسْجِدِ الحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ.

Ertinya: Jabir RA berkata Rasulullah SAW pernah bersabda "Solat di Masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1000 solat di masjid lain, melainkan solat di Masjidil Haram kerana solat di Masjidil Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di Masjid selainnya (Musnad Ahmad & Sunan Ibn Majah).

Titik perbezaan kedua pandangan adalah ketika mentafsirkan perkataan Masjidil Haram dalam hadith ini dan beberapa ayat lain (al-Ma’idah 5:95, al-Tawbah 9:28). Ulama’ yang mengatakan janji pahala itu khusus kepada bangunan Masjidil Haram yang bersatu dengan binaan Ka’abah memakai zahir hadith di atas, manakala golongan yang meluaskan janji pahala kepada seluruh Tanah Haram memahami perkataan Masjidil Haram merujuk kepada seluruh Tanah Haram.

Benar! Kita perlu hormati kedua pandangan tersebut, namun begitu penulis suka membawa perbincangan kepada sudut sentimental yang lain. Masjidil Haram yang berkongsi bangunan dengan Ka’abah tidak mungkin kita temui di Shah Alam, Kuala Ketil, Kota Bharu, Putrajaya, Kangar, Sandakan, Miri, Seremban, Ayer Keroh, Kubang Kerian, Simpang Renggam, Marang, Sri Manjung, atau di mana sahaja di dunia. Ia ditakdirkan Allah sejak azali berada di Mekah. Lokasinya bukan pilihan nabi Ibrahim AS, sebaliknya dibina atas panduan Allah:

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَاهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَنْ لَا تُشْرِكْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Ertinya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku, dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang yang tawaf,orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang) (al-Hajj 22:26).

Peluang untuk sampai serta menjejak kaki ke dalam bangunan Masjidil Haram sangat ekslusif. Mereka ini adalah tetamu Allah menurut sabda Rasulullah SAW:

وَفْدُ اللَّهِ ثَلَاثَةٌ الْغَازِي وَالْحَاجُّ وَالْمُعْتَمِرُ

Ertinya: Tetamu Allah itu ada tiga kumpulan; orang yang berperang (pada jalan Allah), para Jemaah haji dan orang yang mengerjakan umrah (Sunan al-Nasa’i & Sunan Ibn Majah).

Bayangkan dalam jutaan Muslim seluruh dunia, hanya kita yang dijemput Allah untuk sampai ke Mekah sebagai tetamu-Nya. Tambahan pula, magnet utama yang menarik umat Islam seluruh dunia ke Mekah adalah Ka’abah yang dilokasikan Allah dalam Masjidil Haram, bukan bangunan hotel di sekeliling Mekah. Rasa rindu untuk ke Mekah juga berkait rapat dengan bangunan Ka’abah sebagaimana doa yang dilafazkan nabi Ibrahim As ribuan tahun dahulu:

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Ertinya: (Nabi Ibrahim AS berdoa) "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikan hati sebahagian manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur  (Ibrahim  14:37).

Aduhai rugi sungguh para tetamu Allah yang sampai “secara fizikal” ke sana tetapi malas melangkah kaki untuk hadir solat berjemaah “dalam” Masjidil Haram dengan berbagai alasan seperti jauh dan panas. Percayalah! Kos berjalan dari Malaysia sesudah pulang nanti jauh lebih mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.

Penulis berpendapat, pandangan kedua yang menyebut pahala 100 ribu juga terpakai untuk solat di Tanah Haram lebih sesuai bagi orang Malaysia yang uzur dan tak mampu melangkah kaki ke Masjidil Haram. Bagi yang sihat segar bugar, kobarkan semangat anda untuk melawan jarak serta panas bagi mengejar pahala 100 ribu solat dalam Masjidil Haram. Kobarkan semangat untuk merebut pahala yang sangat khusus ini sebagaimana sesetengah Jemaah yang sanggup berjihad melawan jarak dan panas membeli belah di serata Mekah.

Percayalah! Pahala jihad mengatur langkah ke Masjidil Haram jauh lebih besar berbanding jihad beli belah. Hayatilah sabda Rasulullah SAW ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا تَوَضَّأَ الرَّجُلُ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ لَا يُخْرِجُهُ أَوْ قَالَ لَا يَنْهَزُهُ إِلَّا إِيَّاهَا لَمْ يَخْطُ خُطْوَةً إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Ertinya: “Apabila seorang lelaki berwudhuk dengan wudhuk sempurna, kemudian keluar untuk menunaikan solat (di Masjid) tanpa terpesong ke tempat atau urusan lain, setiap langkahnya menjadi sebab Allah angkat darjatnya serta menghapus daripadanya satu kesalahan (Sunan al-Tirmidhi).

Dalam sebuah kisah, Bani Salamah yang tinggal agak jauh dari Masjid Nabawi berhasrat untuk pindah berhampiran masjid Nabawi agar cepat mereka sampai untuk solat Jemaah. Selepas dinyatakan hasrat itu, baginda SAW menegur bahawa setiap langkah mereka ditulis sebagai pahala. Semakin panjang langkah mereka ke Masjid, semakin panjanglah senarai pahala mereka (Sunan al-Tirmidhi, Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim). Berikutan kisah itu, Allah turunkan ayat ini:

إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآَثَارَهُمْ وَكُلَّ شَيْءٍ أحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ

Ertinya: Sesungguhnya Kami menghidupkan orang yang mati, “DAN KAMI TULIS SEGALA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN SERTA SEGALA KESAN TAPAK KAKI (PERKATAAN DAN PERBUATAN) YANG MEREKA TINGGALKAN. Dan (ingatlah) setiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata (Yasin  36:12).

Peluang sampai ke Mekah dan mencium udara Masjidil Haram berkiblatkan bangunan Ka’abah adalah peluang emas yang tiada ganti. Jangan jadi “Haji Miskin pahala” walaupun mampu mengumpul pahala mudah bernilai tinggi di bumi Mekah. Manafaatkan peluang ini ketika masih “direzekikan” Allah untuk berada di sana. Jangan sampai ia menjadi kenangan sesalan selepas pulang ke Tanah Air kelak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...