Thursday, August 30, 2018

JANGAN TINGGIKAN SUARA KALIAN! NANTI AKU ROTAN.

Walaupun baginda Rasulullah SAW sudah wafat, adab tetapi wajib dijaga dalam hubungan kita dengan baginda. Firman Allah ini terpakai semasa baginda masih hidup dan selepas wafat:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ

Ertinya: Wahai orang beriman! Janganlah kamu angkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu nyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya (al-Hujurat 49:2).

Larangan menyaring atau meninggikan suara dalam ayat ini mengandungi makna zahir bagi orang sezaman dengan baginda SAW dan ia turut punyai makna maknawi atau kiasan kepada orang yang hidup selepas zaman baginda seperti “kita semua.” Jangan biadab dengan baginda atau apa yang ditinggalkan baginda. Jika kita dengar nama baginda atau apa sahaja berkait dengan baginda seperti Hadith, Sunnah dan Sirah, maka tundukkan diri dan hormati segera kerana ia tanda iman kita pada ayat di atas dan iman cinta kita pada Rasulullah SAW.

Perhatikan kisah ini, semoga ia menambah kefahaman kita semua kepada makna ayat di atas:

عَنْ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ قَالَ كُنْتُ قَائِمًا فِي الْمَسْجِدِ فَحَصَبَنِي رَجُلٌ فَنَظَرْتُ فَإِذَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ
فَقَالَ اذْهَبْ فَأْتِنِي بِهَذَيْنِ فَجِئْتُهُ بِهِمَا قَالَ مَنْ أَنْتُمَا أَوْ مِنْ أَيْنَ أَنْتُمَا قَالَا مِنْ أَهْلِ الطَّائِفِ قَالَ لَوْ كُنْتُمَا مِنْ أَهْلِ الْبَلَدِ لَأَوْجَعْتُكُمَا تَرْفَعَانِ أَصْوَاتَكُمَا فِي مَسْجِدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Ertinya: Al-Sa'ib bin Yazid menceritakan pada suatu hari dia sedang berdiri dalam Masjid Nabawi, tiba-tiba ada seseorang melontar batu kecil padanya. Apabila dia berpaling rupanya lelaki itu adalah Umar bin al-Khattab. Umar berkata padanya: “Pergi (ke sana) dan bawa dua lelaki itu datang berjumpaku.” Aku pun bawa dua lelaki tersebut kepada ‘Umar. Umar bertanya: “Siapa kalian berdua, atau dari mana kalian berdua?” Kedua lelaki itu menjawab: “Kami dari Taif.” Umar menyambung: “Jika kalian penduduk tempatan (penduduk Madinah), sudah pasti aku akan sebat kerana kalian meninggikan suara dalam masjid Rasulullah SAW (Sahih al-Bukhari).

Ya Allah! Semailah adab kami dengan baginda dan berikan kami semua cinta mendalam kepada baginda Rasulullah SAW.

- Abdullah Bukhari @ 30 Ogos 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...