Tuesday, August 28, 2018

ALLAH TIDAK PERLUKAN KITA

ALLAH TIDAK PERLUKAN KITA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Jangan ingat semakin besar dan mahal lembu korban kita akan menjadikan Allah kenyang dan semakin berkuasa. Allah tak perlukan kita, kita yang perlukan Allah!”

Allah bukan sejenis “dewata khayalan” manusia yang bertambah kuasa dan hayat kerana berjaya menyerap kuasa sembahan para pemujanya. Allah adalah Tuhan Tunggal yang tidak perlukan bantuan sesiapa. Ini ditegaskan dalam banyak ayat, antaranya:

وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِّ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا

Ertinya: Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagi-Nya sekutu dalam kerajaan-Nya, dan tiada bagi-Nya penolong disebabkan sesuatu kelemahan-Nya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakan-Nya dengan bersungguh-sungguh!" (al-Isra’  17:111).

Ketika manusia berkorban haiwan sempena Aidul Adha lepas, Allah tegaskan Dia tidak menerima daging atau darah haiwan yang disembelih, sebaliknya menerima sifat ikhlas dan taqwa hamba yang berkorban:

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia tundukkan binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan ganjaran besar) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya (al-Hajj 22:37).

Jangan pula disangka ikhlas dan taqwa adalah sejenis makanan yang mengenyangkan Allah. Tidak! Tidak sama sekali. Taqwa adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya. Manusia yang miliki ikhlas dan taqwa akan teratur hidupnya. Bahkan sebarang amal baik atau buruk tidak menjadi stok simpanan kuasa Allah. Ia kembali sebagai saham berguna atau peluru merobek kepada manusia:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

Ertinya: Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang melakukan kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (al-Jathiyah 45:15).

Nabi Musa AS juga pernah menegaskan perkara yang sama kepada Bani Isra’il:

وَقَالَ مُوسَى إِنْ تَكْفُرُوا أَنْتُمْ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا فَإِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ حَمِيدٌ

Ertinya: Dan Nabi Musa berkata: "Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji (Ibrahim 14:8).

Seperti yang disebut, tanpa ibadah atau pengabdian makhluk, Allah tetap unggul dengan ketuhanan-Nya. Perhatikan firman Allah dalam hadith Qudsi ini:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا رَوَى عَنْ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَنَّهُ قَالَ يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا، يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ ضَالٌّ إِلَّا مَنْ هَدَيْتُهُ فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ، يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ جَائِعٌ إِلَّا مَنْ أَطْعَمْتُهُ فَاسْتَطْعِمُونِي أُطْعِمْكُمْ، يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ عَارٍ إِلَّا مَنْ كَسَوْتُهُ فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ، يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ، يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضَرِّي فَتَضُرُّونِي وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُونِي، يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا، يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا، يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلَّا كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْر،َ يَا عِبَادِي إِنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إِيَّاهَا فَمَنْ وَجَدَ خَيْرًا فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ

Ertinya: Abu Dhar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berkata Allah berfirman
“Wahai hamba-Ku, Aku haramkan kezaliman ke atas diri-Ku dan aku jadikan ia juga haram untuk kamu, maka janganlah kamu menzalimi antara satu sama lain.”
“Wahai hamba-Ku, kamu semua sesat (tiada petunjuk) melainkan sesiapa yang Aku bimbing, maka mohonlah panduan-Ku, nescaya akan Aku bimbingnya.”
“Wahai hamba-Ku, kamu semua kelaparan melainkan sesiapa yang Aku beri makan, maka mohonlah makanan (rezeki) daripada-Ku, nescaya akan Aku berikannya.” 
“Wahai hamba-Ku, kamu semua tidak berpakaian melainkan sesiapa yang Aku berinya pakaian, maka mohonlah pakaian daripada-Ku, nescaya akan Aku berikannya pakaian.”
“Wahai hamba-Ku, kamu selalu melakukan kesilapan pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan semua dosa, maka mohonlah ampunan daripada-Ku, nescaya akan Aku ampunkan.”
“Wahai hamba-Ku, kamu semua tidak mungkin memberi mudarat atau manafaat pada-Ku (kerana Aku berkuasa mutlak atas segalanya).”
“Wahai hamba-Ku, jika semua makhluk (terdiri daripada manusia dan jin yang pernah wujud di alam ini) semuanya berhati mulia penuh taqwa, ia tidak akan menambah kuasa-Ku sedikit pun (kerana Allah langsung tidak perlukan ibadah makhluk-Nya). Begitu juga, jika semua makhluk melakukan dosa atau derhaka, ia tidak akan mengurangkan kuasa-Ku sedikit pun (kerana Allah langsung tidak terjejas dengan maksiat makhluk).”
“Wahai hamba-Ku, jika semua makhluk memohon kurnia-Ku lalu Aku kurniakan setiap seorang manusia permintaannya, ia langsung tidak mengurangkan kekayaan-Ku sedikit pun melainkan ia cuma sekadar celupan sebatang jarum ke dalam lautan.”
“Wahai hamba-Ku, hanya amalanmu yang Aku hitung dan  Aku kembalikan pahala (serta manafaatnya) kepadamu. Sesiapa yang mendapati faedah amalannya maka pujilah Allah, manakala sesiapa yang mendapati selain itu (dosa dan kesan amalan buruknya), maka salahkan dirinya sendiri” (Sahih Muslim).

Hadith Qudsi ini seiring maknanya dengan firman Allah:

يَاأَيُّهَا النَّاسُ أَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ

Ertinya: (Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji (Fatir 35:15).



Kita hanyalah manusia kerdil yang menumpang teduh di bumi Allah. Kewujudan kita di alam semesta seumpama seekor kuman halus. Ada tidak bermakna, tiada pun tak dicari. Sangat ajaib jika kuman ini mahu mengangkat kepala sombong tidak mengiktiraf ketuhanan Allah. Boleh sahaja Allah mengarahkan bala tentera-Nya yang ramai untuk mengajar dan merenggut nyawa kita. Boleh sahaja Allah arah sang kilat menyambar kita dengan renjatan kuasa eletriknya. Boleh sahaja Allah arah sang nyamuk aedes menyucuk jarum bisanya. Boleh sahaja Allah arah angin ribut menyambar kita dengan keras. Allah boleh lakukan apa sahaja, namun Dia tetap membela dan membelai kita dengan segala rahmat-Nya. Adakah kita bersyukur atas kasih sayang Allah ini?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...