Wednesday, August 8, 2018

HORMATI AL-QURAN-MALULAH KALIAN PADA JIN!

HORMATI AL-QURAN-MALULAH KALIAN PADA JIN!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Ketika al-Quran dibaca kita perlu jaga adabnya. Diam dan berikan perhatian kepada setiap patah KALAM ALLAH itu. Jika galak bersembang mana mungkin mesej Allah mampu masuk menusuk jiwa? Al-Quran bukan hanya sebuah kotak musik atau melodi latar yang boleh diabaikan begitu sahaja. Malulah kalian semua pada Jin!”

Bagai yang dinyatakan, al-Quran bukanlah sebuah buku biasa. Ia adalah KALAM TUHAN yang mampu meruntuhkan gunung:

لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآنَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya: Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya (al-Hasyr 59:21).

Al-Quran juga bukan berasal dari Mekah atau Madinah, tetapi menempuh perjalanan yang sangat jauh dari langit ke tujuh. Setakat ini teknologi manusia belum mampu menempuh perjalanan sejauh itu. Bukan hanya itu, ketika al-Quran turun seluruh makhluk langit tunduk memberi hormat. Malam penurunan al-Quran langsung dinobat Allah sebagai malam yang jauh lebih bernilai daripada 1000 bulan:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4)

Ertinya: Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (al-Qadar 97:3-4).

Menyedari kehebatan ini, para sahabat nabi SAW sanggup mengadai tubuh dan nyawa kerana memperjuangkan al-Quran. Lalu, bayangkan apa kata para malaikat dan sahabat nabi SAW jika mereka melihat manusia Muslim pada zaman ini boleh bersikap biadab mengabaikan bacaan al-Quran tanpa perhatian?

Jika demikian nilai al-Quran, mengapa pula kita perlu berasa malu kepada jin?. Apa kaitan isu bacaan al-Quran dengan Jin? Ayuh kita sama-sama telusuri sejarah Islam yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah ini:

وَإِذْ صَرَفْنَا إِلَيْكَ نَفَرًا مِنَ الْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ الْقُرْآنَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُوا أَنْصِتُوا فَلَمَّا قُضِيَ وَلَّوْا إِلَى قَوْمِهِمْ مُنْذِرِينَ (29) قَالُوا يَاقَوْمَنَا إِنَّا سَمِعْنَا كِتَابًا أُنْزِلَ مِنْ بَعْدِ مُوسَى مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ وَإِلَى طَرِيقٍ مُسْتَقِيمٍ (30) يَاقَوْمَنَا أَجِيبُوا دَاعِيَ اللَّهِ وَآمِنُوا بِهِ يَغْفِرْ لَكُمْ مِنْ ذُنُوبِكُمْ وَيُجِرْكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (31) وَمَنْ لَا يُجِبْ دَاعِيَ اللَّهِ فَلَيْسَ بِمُعْجِزٍ فِي الْأَرْضِ وَلَيْسَ لَهُ مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءُ أُولَئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ (32)
Ertinya: Dan (ingatlah peristiwa) semasa Kami  halakan satu rombongan jin kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah dengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam). "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian daripada dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. "Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri (daripada balasan azab walau ke mana sahaja dia melarikan diri) di bumi, dan dia tidak akan beroleh sesiapapun - selain Allah - sebagai pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata" (al-Ahqaf  46:29-32).

Firman Allah ini menyebut kisah rombongan jin yang tertarik hati dengan bacaan al-Quran yang nabi SAW baca. Mereka kenal bacaan baginda itu adalah KALAM TUHAN yang wajib diberi perhatian. Pemusatan perhatian pula perlu terlebih dahulu dilakukan dengan mengunci lidah daripada bicara, biar fokus hanya dipusatkan pada al-Quran. Tatkala ada antara mereka yang cuba berbicara dan teralih tumpuannya daripada mendengar KALAM TUHAN itu, segera teman mereka yang lain mengingatkan.

Arahan diam dan tumpu perhatian ini sebenarnya sangat logik dengan mesej al-Quran. Masakan seseorang itu mampu mengutip mutiara daripada KALAM TUHAN jika telinganya tidak dikurung khusus atau lidahnya sibuk menutur perkara lain. Cubalah buat kajian mudah bagi menyokong isu ini. Letak dua lelaki dalam sebuah bilik dan berikan arahan kepada keduanya agar mendengar ucapan seorang tokoh. Arah seorang lelaki agar diam dan memberi tumpuan dan ajaklah yang seorang lagi berbual kosong. Keputusan akhir antara  keduanya pasti berbeza. Lelaki yang diam dan dengar dengan penuh perhatian akan jadi lebih alim berbanding lelaki yang diajak berbual.

Dalam sebuah hadith kita dapati baginda pernah memuji para jin yang memusatkan perhatian mereka ketika mendengar bacaan surah al-Rahman. Sabda Rasulullah SAW:

خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَصْحَابِهِ فَقَرَأَ عَلَيْهِمْ سُورَةَ الرَّحْمَنِ مِنْ أَوَّلِهَا إِلَى آخِرِهَا فَسَكَتُوا فَقَالَ لَقَدْ قَرَأْتُهَا عَلَى الْجِنِّ لَيْلَةَ الْجِنِّ فَكَانُوا أَحْسَنَ مَرْدُودًا مِنْكُمْ كُنْتُ كُلَّمَا أَتَيْتُ عَلَى قَوْلِهِ
{ فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ } قَالُوا لَا بِشَيْءٍ مِنْ نِعَمِكَ رَبَّنَا نُكَذِّبُ فَلَكَ الْحَمْدُ


Ertinya: Rasulullah keluar membaca surah al-Rahman kepada para sahabatnya dari awal sehingga akhir surah. Mereka (para sahabat) hanya diam tanpa respon. Baginda lalu bersabda: Aku pernah membacanya (surah al-Rahman) kepada para jin pada malam jin (malam baginda bertemu dan berdakwah kepada para jin). Reaksi mereka jauh lebih baik berbanding kamu semua. Setiap kali aku membaca (فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ  -Maka yang mana satukah antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan - wahai umat manusia dan jin?), mereka akan berkata: Tiada satupun antara ni’mat-Mu wahai Tuhan kami yang kami dustai, maka bagiMu sahajalah segala pujian (Sunan al-Tirmidhi & Tafsir Ibn Kathir).


Aspek penumpuan berkait rapat dengan peranan telinga dan lidah. Allah sebagai pencipta manusia tahu benar kedua anggota ini perlu berperanan dengan betul apabila mendengar bacaan al-Quran:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Ertinya: Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat (al-A’raf 7:204).

Hormatilah al-Quran dengan meletakkannya pada tempat yang sepatutnya. Jaga adab bersama al-Quran dan jadikan ia kompas iman yang dipegang erat seumur hidup. Jangan hanya ingat al-Quran ketika mahu menghalau hantu atau dibaca kepada orang mati, sebaliknya buanglah sifat hantu yang ada dalam diri dan hidupkan jiwa yang mati dengan dampingan al-Quran. Jika begini sikap kita dengan al-Quran, pastinya kita turut dipandang mulia bersama para sahabat nabi dalam kalangan manusia atau jin yang disebut sirah baginda SAW itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...