Wednesday, August 1, 2018

APA MAKSUD MIMPI SAYA?

APA MAKSUD MIMPI SAYA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Pagi ini (5 Julai 2018) saya terima satu soalan berkaitan mimpi:

“Salam Ustaz! Apa maksud mimpi saya ini? Dalam mimpi, saya memakai cincin emas di jari manis tangan kiri. Tapi waktu itu saya berada di sebuah tempat (rumah mungkin) yang semuanya gelap dan hitam. Waktu saya berjalan-jalan di situ, ada satu makhluk kecil (saya tak ingat apa dia) menanggalkan cincin saya dan bawa lari cincin itu. Saya kejar. Sampailah di satu sudut, makhluk kecil itu beri cincin saya kepada seekor labah-labah hitam. Labah-labah itu memegang erat cincin saya sampai saya tak boleh nak ambil. Menurut ustaz, apa makna mimpi saya ini?”

Ini jawapan ringkas saya kepada yang bertanya:

“Maaf saya tak pasti. Cuma kena tengok keadaan awak sebelum tidur. Adakah awak ada baca apa2 doa... bila waktu awak tidur dan sbgnya. Mungkin ia skdr mimpi mainan tidur atau usikan syaitan yg nak takutkan awak. Abaikan sahaja dan minta perlindungan dgn Allah daripada sebarang bahaya.”

Ini pula jawapan panjang yang mungkin boleh membantu yang bertanya:

Mimpi manusia terbahagi kepada TIGA JENIS berdasarkan hadith ini:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُسْلِمِ تَكْذِبُ وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا وَرُؤْيَا الْمُسْلِمِ جُزْءٌ مِنْ خَمْسٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ وَالرُّؤْيَا ثَلَاثَةٌ فَرُؤْيَا الصَّالِحَةِ بُشْرَى مِنْ اللَّهِ وَرُؤْيَا تَحْزِينٌ مِنْ الشَّيْطَانِ وَرُؤْيَا مِمَّا يُحَدِّثُ الْمَرْءُ نَفْسَهُ فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يَكْرَهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا النَّاسَ

Ertinya: Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya. Mimpi orang Islam adalah satu bahagian dari 45 bahagian kenabian. Mimpi itu 3 jenis: (1) Mimpi yang benar adalah perkhabaran gembira dari Allah, (2) mimpi gangguan dari syaitan (untuk menyedihkan) dan (3) mimpi yang dipengaruhi oleh jiwa seseorang (psikologi). Sekiranya kamu bermimpi sesuatu yang tidak kamu sukai, maka bangunlah bersolat dan usahlah diceritakan mimpi itu kepada manusia (Sahih Muslim)

Perincian 3 jenis mimpi:

1) MIMPI MAINAN TIDUR. Mimpi jenis ini banyak dipengaruhi oleh emosi dan psikologi orang yang tidur.  Usah dipedulikan mimpi jenis ini kerana ia sekadar pengisi ruang minda di kala mata terlelap. Langsung tidak memberi impak. Anda boleh cuba eksperimen mudah bagi menghadiahkan mimpi ini kepada teman anda. Bagaimana? Siram air kepada teman anda yang sedang nyenyak tidur. Besar kemungkinan mimpinya berkisar dalam lingkungan air.

Saya pernah menonton dokumentari berkaitan ular tedung ganas dari Mesir. Pengacara rancangan yang terkenal sebagai pakar menangkap ular gagal mengawal ular tersebut kerana keganasannya yang luar biasa. Sejurus selepas itu, saya bermimpi sang ular menyerigai ganas ke arah saya. Mengapa? Mudah sahaja, kerana memori yang terpahat dalam minda saya masih nampak bayangan sang ular, lalu bayangan itu menjengah masuk ke dalam mimpi saya tanpa diundang. KETIKA PAGINYA SAYA FAHAM BENAR BAHAWA SANG ULAR YANG MUNCUL DALAM MIMPI SAYA ADALAH IMBASAN ULAR YANG SAYA TONTON DAN BUKANNYA PETANDA SAYA DIDENGKI ATAU DISIHIR SESIAPA.

2) MIMPI GANGGUAN SYAITAN. Syaitan sudah mengikat janji akan merosakkan manusia sehingga kiamat. Usaha merosakkan manusia berlaku secara rohani, mental dan fizikal. Serangan mental dan emosi paling mudah syaitan jalankan kerana mereka adalah makhluk yang lain jisimnya. Laluan perjalanan mereka merentas tubuh manusia melalui pembuluh darah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ الْإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ

Ertinya: Sesungguhnya syaitan (mampu) bergerak dalam (tubuh) manusia melalui pembuluh darah (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).

Cara mudah menangani mimpi ini adalah memotong langsung gangguannya sehingga ke akar umbi. Ikutlah panduan Rasulullah SAW:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا فَإِنَّمَا هِيَ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا وَإِذَا رَأَى غَيْرَ
ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ فَإِنَّمَا هِيَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا وَلَا يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ فَإِنَّهَا لَا تَضُرُّهُ

Ertinya: Apabila seseorang kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, ketahuilah ianya dari Allah maka pujilah Allah atas mimpi tersebut dan berbiacaralah tentangnya. Akan tetapi apabila seseorang itu bermimpi yang lain iaitu sesuatu yang tidak disukai, ketahuilah ianya dari syaitan. Maka hendaklah dia memohon perlindungan dengan Allah dari kejahatannya. Jngan juga diceritakan mimpi itu kepada sesiapapun kerana mimpi itu tidak akan memudaratkannya (Sahih al-Bukhari).

Dalam hadith lain Rasulullah memperincikan cara mengurus mimpi buruk:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا
وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ

Ertinya: Apabila seseorang kamu bermimpi (buruk) sesuatu yang tidak disukainya, maka hendaklah dia meludah ke kirinya sebanyak 3 kali, memohon perlindungan dengan Allah dari kejahatan syaitan sebanyak 3 kali, dan hendaklah dia beralih tempat tidur (Sahih Muslim).

3) MIMPI YANG YANG BENAR ATAU PERKHABARAN GEMBIRA UNTUK ORANG SOLEH. Mimpi jenis ini biasanya berlaku pada orang yang benar lidahnya sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah SAW pada pangkal hadith terdahulu:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُسْلِمِ تَكْذِبُ وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا

Ertinya: Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya. (Sahih Muslim)

Lidahnya yang pantang berdusta berpunca dari suluhan iman dalam jiwanya. Lalu suluhan itu terpancar terang dalam mimpinya. Imam Muhammad Ibn Sirin seorang tabi’in tersohor dan dikurniai kelebihan mentafsir mimpi turut menasihati perihal kepentingan taqwa kepada Allah semasa sedar yang akan memancarkan kesejahteraan serta mimpi yang benar semasa tidur. Sebuah riwayat menyebut:

كان الرجل إذا سأل ابن سيرين، عن الرؤيا قال له: اتق الله في اليقظة لا يضرك ما رأيت في المنام.

Ertinya: Apabila seseorang lelaki bertanya Imam Ibn Sirin tentang tafsiran sebuah mimpi, beliau akan berkata: Bertaqwalah kamu kepada Allah ketika sedar (jaga), sudah pasti mimpi kamu tidak akan memberi mudarat padamu (Hilyat al-Awliya’ Wa Tabaqat al-Asfiya’ oleh Imam Abu Nu’aym al-Asbihani).

Walaupun begitu, waktu tidur orang yang benar lidahnya perlu kena dengan waktu mimpi yang benar. Perhatikan wilayah tidur yang disinggung Allah dalam ayat ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِيَسْتَأْذِنْكُمُ الَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ وَالَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا الْحُلُمَ مِنْكُمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ مِنْ قَبْلِ صَلَاةِ الْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُمْ مِنَ الظَّهِيرَةِ وَمِنْ بَعْدِ صَلَاةِ الْعِشَاءِ ثَلَاثُ عَوْرَاتٍ لَكُمْ لَيْسَ عَلَيْكُمْ وَلَا عَلَيْهِمْ جُنَاحٌ بَعْدَهُنَّ طَوَّافُونَ عَلَيْكُمْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآَيَاتِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), “DALAM TIGA MASA; (iaitu) (1) sebelum solat subuh, dan (2) ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan (3) sesudah solat Isyak; itulah 3 masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada 3 masa yang tersebut, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (yang menjelaskan hokum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (al-Nur [24:58]).

KESIMPULAN:

Sebelum percaya mimpi kita ada sesuatu petanda, kelaskan terlebih dahulu mimpi yang kita alami kepada 3 kategori di atas. Juga ambil kira waktu tidur kita agar menepati 3 masa yang disebut ayat di atas. Jika ianya kena dengan kedua kriteria tersebut maka cubalah tafsir mimpi anda kepada kebaikan, mudah-mudahan Allah berikan mesej terbaik.

Jika mimpi kita tampak kelabu dan tidak menepati jenis mimpi yang benar serta waktunya jauh menyimpang, maka abaikan sahaja mimpi tersebut.

*Jawapan ini dipetik daripada buku saya FAIL SULIT MIMPI, KUPASAN DARIPADA AL-QURAN DAN AL-SUNNAH*

http://www.telagabiru.com.my/produk/buku/fail-sulit-mimpi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...