Friday, June 1, 2018

TANGGUNG JAWAB SEMASA BUJANG TAK SAMA SETELAH BERKELUARGA

TANGGUNG JAWAB SEMASA BUJANG TAK SAMA SETELAH BERKELUARGA

Tadabbur ringkas juzuk 16 sempena hari ke 16 Ramadhan

Kisah Maryam AS, bonda nabi Isa AS yang melahirkan baginda memang ajaib. Mana ada wanita mengandung tanpa bapa? Tapi itu adalah kehendak Allah yang mampu lakukan apa sahaja (baca ayat 19-21). Kelahiran Isa AS yang dikendalikan sendiri oleh Maryam tanpa bidan atau "doula" sangat ajaib. Ia tergolong dalam Karamah khusus untuk Maryam dan bukannya untuk manusia lain.

Setelah melahirkan Isa, Maryam memerlukan makanan. Untuk itu Allah berfirman:

فَنَادَاهَا مِنْ تَحْتِهَا أَلَّا تَحْزَنِي قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا (24) وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا (25)

Ertinya: Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:" Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak (Maryam [19:24-25]).

Jika difikir, apalah sangat tenaga seorang wanita  dalam pantang? Mana mungkin dia menggegar batang kurma untuk mengugurkan buahnya? Tapi Allah tetap mengarahkan beliau perkara itu sebagai suatu "TANDA USAHA IKHTIAR" seorang manusia. Ini saya katakan "KARAMAH DALAM USAHA INSAN".

Lalu ada yang bertanya saya, mengapa pula ketika bujang Maryam LANGSUNG TAK PERLU BERUSAHA untuk mendapat rezeki? Perhatikan firman Allah ini:

 فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنْبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِنْدَهَا رِزْقًا قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّى لَكِ هَذَا قَالَتْ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maka dia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. SETIAP KALI NABI ZAKARIA MASUK UNTUK MENEMUI MARYAM DI MIHRAB, DIA DAPATI REZEKI (BUAH-BUAHANAN YANG LUAR BIASA) DI SISINYA. NABI ZAKARIA BERTANYA:" WAHAI MARYAM DARI MANA ENGKAU DAPATI (BUAH-BUAHAN) INI?" MARYAM MENJAWAB; "IA DARIPADA ALLAH, SESUNGGUHNYA ALLAH MEMBERIKAN REZEKI KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKI-NYA DENGAN TIDAK DIKIRA“
(Ali ‘Imran 3:37).

Antara jawapan mudah bagi soalan itu adalah; Allah mahu ajar Maryam bahawa dahulu dirinya seorang diri. Situasinya lain, manakala sekarang setelah menjadi ibu, keadaan kamu pun sudah berubah. KAMU PERLU BERKERJA DAN BERUSAHA UNTUK MEMBESARKAN ANAKMU INI.

Untuk kita semua, berkerja, berpenat lelah, bersekang mata menahan mengantuk dan sebagainya adalah ibadah yang  dijamin pahalanya oleh Allah. Mudah-mudahan setelah membaca kisah 2 situasi Maryam ini menjadikan kita lebih bersungguh berkerja dan memahami hakikat kehidupan di dunia ini.

- Abdullah Bukhari @ 1 Jun 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...