Sunday, June 3, 2018

DENGAN ALLAH BIAR LAMA-DENGAN TELEFON SEKEJAP PUN TAK APA

DENGAN ALLAH BIAR LAMA-DENGAN TELEFON SEKEJAP PUN TAK APA

Tadabbur ringkas juzuk 16 sempena hari ke 16 Ramadhan

Ketika kali pertama berbicara dengan Allah, Allah tanya nabi Musa AS apa yang dipegangnya. Ada beberapa perkara perlu dijelaskan berkaitan peristiwa ini;

1) Allah bukan tanya untuk tahu kerana Dia Maha Mengetahui segalanya. Pertanyaan Allah bertujuan mengangkat tongkat baginda sebagai suatu mukjizat yang hebat suatu hari nanti.

2) Percakapan Allah dengan nabi Musa "tidak sama" dengan percakapan makhluk yang bersuara, berhuruf, bernada dan sebagainya. Ia adalah percakapan unik yang tidak bersuara, berhuruf atau bernada kerana Allah tak akan sama dengan makhluk-Nya dalam apa keadaan sekalipun:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Ertinya: Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat (al-Syura 42:11).

Percakapan itu jelas didengar dan difahami Musa AS tanpa tercicir walaupun satu huruf dan bunyi. Susah mahu faham? Bayangkan perbualan si bisu dan si pekak! Mereka boleh faham dengan jelas walaupun tidak bersuara , berhuruf atau bernada.

3) Soalan Allah ringkas, tapi jawapan nabi Musa AS panjang berjela. Perhatikan firman Allah ini:

 وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَامُوسَى (17) قَالَ هِيَ عَصَايَ أَتَوَكَّأُ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَى غَنَمِي وَلِيَ فِيهَا مَآرِبُ أُخْرَى (18)

Ertinya: (Allah berfirman kepada Musa) "Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?" Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu" (Taha 20:17-18).

Jawapannya mudah sahaja, nabi Musa sedar bahawa lazatnya peluang berbicara dan duduk bersama Allah tiada tolok bandingnya dengan ni'mat lain. Jika soalan sepatah dijawab sepatah, maka pendeklah masanya bersama Allah. Jika baginda memanjangkan jawapan, maka "WAKTU LAZAT IBADAT" itu semakin panjang. Ini umpama mabuknya  si kekasih kepada kekasihnya. Lagi lama, lagi indah!

Apa mesej Allah kepada kita? Panjangkan waktu ibadat dengan Allah dan singkatkan masa untuk makhluk. Cuba kira berapa lama waktu kita dalam ibadat seperti solat, baca al-Quran, menuntut ilmu? Adakah ia jauh lebih panjang daripada waktu kita bersama telefon pintar yang sebenarnya banyak menjadikan SESETENGAH kita kurang pintar. Fikirkan!

- Abdullah Bukhari Abdul Rahim @ 1 Jun 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...