Monday, June 4, 2018

BERDOA LAH AGAR TIDAK MATI DITEMPAT DAN WAKTU YANG SALAH?

BERDOA LAH AGAR TIDAK MATI DITEMPAT DAN WAKTU YANG SALAH?

Tadabbur ringkas juzuk 18 sempena hari ke 18 Ramadhan

Hidup dan mati adalah rahsia Allah dan hanya berlaku dengan kehendak-Nya. Pernah kita dengar orang baik yang terperangkap di tempat yang buruk, lalu mereka mati di situ. Mereka adalah mangsa keadaan. Antaranya segelintir Muslim Mekah yang enggan berhijrah walaupun mampu. Mereka ini akhirnya mati di pihak Musyrikin atas paksaan Abu Jahal, sehingga dihumban ke neraka:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُولَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا (97)

Ertinya: Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali (al-Nisa’ 4:97).

Rupanya maksud Husnul Khatimah atau “mati yang baik” termasuk juga mati di tempat yang elok pada waktu yang elok. Untuk itu, Allah mengajar Rasulullah SAW satu doa:

قُلْ رَبِّ إِمَّا تُرِيَنِّي مَا يُوعَدُونَ (93) رَبِّ فَلَا تَجْعَلْنِي فِي الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (94) وَإِنَّا عَلَى أَنْ نُرِيَكَ مَا نَعِدُهُمْ لَقَادِرُونَ (95)
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhanku, kiranya Engkau hendak memperlihatkan kepadaku (azab) yang dijanjikan kepada mereka (di dunia),  "Maka wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan daku tinggal dalam kalangan kaum yang zalim itu". Dan sesungguhnya Kami berkuasa memperlihatkan kepadamu azab yang Kami janjikan kepada mereka. (al-Mu’minun 23:93-95).

Contoh doa yang mirip dengan doa al-Quran itu dijelaskan sebuah kisah baginda yang belajar doa melalui sebuah mimpi baginda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَتَرْكَ الْمُنْكَرَاتِ وَحُبَّ الْمَسَاكِينِ وَأَنْ تَغْفِرَ لِي وَتَرْحَمَنِي وَإِذَا أَرَدْتَ فِتْنَةَ قَوْمٍ فَتَوَفَّنِي غَيْرَ مَفْتُونٍ أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَحُبَّ عَمَلٍ يُقَرِّبُ إِلَى حُبِّكَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّهَا حَقٌّ فَادْرُسُوهَا ثُمَّ تَعَلَّمُوهَا

Ertinya: "Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon pada-Mu agar dapat melakukan kebaikan, dapat meninggalkan kemungkaran, mencintai orang miskin dan (aku mohon) Engkau ampuni dosaku dan merahmatiku, DAN JIKA ENGKAU MENGHENDAKI FITNAH (SEKSA DUNIA) KEPADA SUATU KAUM, MAKA AMBILLAH (MATIKAN) AKU TANPA DISIKSA, dan aku meminta kepada Mu agar mencintai-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu dan cinta perbuatan yang dapat mendekatkan cinta kepada Mu". Rasulullah SAW. bersabda: "Sesungguhnya ini adalah benar maka hafalkanlah dan pelajarilah ertinya" (Sunan al-Tirmidhi).

Pendek kita hidup kita di dunia ini tak lepas daripada hubungan dengan Allah. Pastikan hubungan itu terus berkesinambungan dan “serba kena.” Mohonlah pada Allah kerana Dia Tuhan yang memiliki segalanya termasuklah nasib hidup dan mati kita!

- Abdullah Bukhari @ 4 Jun 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...