Monday, June 4, 2018

PANDUAN RINGKAS SURAH "CAHAYA" UNTUK SELAMATKAN DIRI DARIPADA FITNAH DUNIA (ALAM NYATA DAN ALAM MAYA)

PANDUAN RINGKAS SURAH "CAHAYA" UNTUK SELAMATKAN DIRI DARIPADA FITNAH DUNIA (ALAM NYATA DAN ALAM MAYA)

Tadabbur ringkas juzuk 18 sempena hari ke 18 Ramadhan

Antara peristiwa yang pernah menggegar hidup Rasulullah SAW dahulu adalah kisah Ummul Mu’minin Aishah RA difitnah bermukah dengan Safwan bin Mu’attal RA. Kisah ini tidak benar sama sekali, tapi nampak seakan benar apabila ia dicanang orang Munafiq Madinah. Tambahan pula ada segelintir orang Madinah tersilap kongsi kisah tersebut. Akibatnya ketenangan hidup umat Islam di Madinah bergoncang kuat. Kisah ini boleh dilihat baca dalam surah al-Nur daripada ayat 11 – 26.

Walaupun begitu, kisah buruk itu tidak semestinya buruk kerana di hujung kisah ada banyak pengajaran penting untuk umat Islam sepanjang zaman. Benar sekali pembuka cerita kisah ini:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ وَالَّذِي تَوَلَّى كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Ertinya: Sesungguhnya orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan daripada kamu; JANGANLAH KAMU MENYANGKA (BERITA YANG DUSTA) ITU BURUK BAGI KAMU, BAHKAN IA BAIK BAGI KAMU. Setiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

Pasti kita tertanya, apa baiknya daripada kisah busuk ini? Jawapannya, Allah berikan “UBAT MUJARAB BAGI MERAWAT” penyakit suka berkongsi dan berbisik berita tak pasti kepada umat Islam sepanjang zaman. Berikut adalah panduan atau “UBATNYA” yang mampu saya ringkaskan:

1) Berbaik sangka terlebih dahulu. Baik sangka seumpama air sejuk yang memadamkan api kecil yang baru merebak. Terus padam tanpa bekas. Firman Allah:

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُبِينٌ

Ertinya: Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman - lelaki dan perempuan, MENARUH BAIK SANGKA KEPADA DIRI (ORANG) MEREKA SENDIRI. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata" (al-Nur 24:12).

2) Membawa bukti menyokong sebarang dakwaan atau tuduhan:

لَوْلَا جَاءُوا عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا بِالشُّهَدَاءِ فَأُولَئِكَ عِنْدَ اللَّهِ هُمُ الْكَاذِبُونَ

Ertinya: Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang yang dusta (al-Nur 24:13).

3) Menilai “keperluan” interaksi dengan berita tersebut walaupun faktanya sahih. Ini kerana bukan semua benda perlu diambil tahu atau dikongsi. Jika berita tersebut tidak punyai faedah yang signifikan dan tidak penting kepada diri dan ummah, usahlah diambil peduli:

وَلَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُمْ مَا يَكُونُ لَنَا أَنْ نَتَكَلَّمَ بِهَذَا سُبْحَانَكَ هَذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ

Ertinya: Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".(al-Nur 24:16).

4) Risau ancaman azab Allah bagi orang yang suka sebar berita kotor kepada umat Islam. Rasa risau boleh mengawal diri agar tidak mudah percaya apatah lagi berkongsi semua berita yang didengar:


 إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya: SESUNGGUHNYA ORANG YANG SUKA TERHEBAH TUDUHAN YANG BURUK DALAM KALANGAN ORANG YANG BERIMAN, MEREKA AKAN BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian) (al-Nur 24:19).

5) Jangan jadi “kawan syaitan” dengan tabiat suka kongsi  berita palsu atau kongsi sesuatu yang boleh timbulkan polemik atau melahirkan dosa lain seperti kutuk, ejek, caci dan sindir. Ketahuilah, syaitan bukan hanya daripada bangsa jin sahaja, tetapi turut muncul dalam bangsa manusia (al-An’am 6: 112). Jangan sampai kita turut menjadi syaitan manusia. Amaran ini menjadi penutup panduan selamat daripada dosa dalam kisah ini:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ وَمَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَى مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui (al-Nur 24:21)

Semoga panduan Allah dalam kisah ini mampu menyelamatkan kita daripada dosa murahan tanpa sedar yang kita lakukan. Benar sekali! Al-Quran adalah panduan manusia yang sentasa malar segar walaupun hampir sudah 1500 diturunkan:

- Abdullah Bukhari @ 4  Jun 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...