Tuesday, June 5, 2018

MAAF DAN LUPA SEPERTI ABU BAKAR AL-SIDDIQ R.A

MAAF DAN LUPA SEPERTI ABU BAKAR AL-SIDDIQ R.A

Tadabbur ringkas juzuk 18 sempena hari ke 18 Ramadhan

Peristiwa Aishah RA anak perempuan Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq RA difitnah sangat dahsyat dan merenggut jiwa Abu Bakar. Tambah merobek jiwa apabila diketahui antara orang yang silap berkongsi kisah tersebut adalah sepupu beliau sendiri iaitu Mistah bin Uthatah RA. Siapa Mistah? Dia juga bukan calang-calang orangnya. Dia antara Muhajirin awal dan terlibat dalam perang Badar, namun apakan daya para sahabat juga manusia biasa yang boleh tersilap. Mistah agak miskin orangnya dan dibiayai bantu oleh Abu Bakar RA. Setelah tahu Mistah antara yang terlibat, Abu Bakar RA sangat marah dan bersumpah tak akan membantu Mistah lagi (Sahih al-Bukhari). Ini juga perasaan biasa seorang manusia bergelar ayah.

Indah sekali cara Allah mengajar kita dengan Islam. Allah Tahu kita semua manusia dan manusia boleh tersilap. Mistah ada silapnya dan begitu juga Abu Bakar. Lantas Allah tegur keduanya. Mistah ditegur dengan hukuman sebat 80 kali atas penglibatannya dalam fitnah Aishah (al-Isabah Fi Ma’rifat al-Sahabah), manakala Abu Bakar ditegur penurunan ayat ini:

وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَى وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلْيَعْفُوا
 وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dalam kalangan kamu (seperti Abu Bakar al-Siddiq R.A), bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah (seperti Mistah bin Uthathah); dan (sebaliknya) HENDAKLAH MEREKA MEMAAF SERTA MELUPAKAN KESALAHAN ORANG ITU; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (al-Nur [24:22]).

Setelah ayat ini turun, Abu Bakar segera memaaf dan melupakan kesalahan Mistah  dengan kata beliau:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لِي

Ertinya: Demi Allah! Aku sangat mahu Allah mengampunkan dosaku (Sahih al-Bukhari).
Subhanallah! Ini adalah contoh terbaik yang kita semua wajib contohi. Selepas ini, ubahlah falsafah maaf kita yang tidak lengkap seperti “Aku maaf tapi aku tak akan lupa.” Sempurnakan falsafah itu dengan “Aku maaf dan lupa” semoga ia menjadi sebab kita semua boleh berjiran dengan Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Sidiq di akhirat kelak.

- Abdullah Bukhari @ 4  Jun 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...