Thursday, June 7, 2018

KISAH PEREMPUAN YANG BIJAK LAGI BENAR FIRASATNYA

KISAH PEREMPUAN YANG BIJAK LAGI BENAR FIRASATNYA

Oleh: Abdullah Bukhari bun Abdul Rahim.

Tadabbur ringkas juzuk 20 sempena hari ke 20 Ramadhan

Jika Allah sebut dan puji secara khusus seseorang insan dalam al-Quran, pastinya individu itu manusia hebat yang perlu diberi perhatian. Antara insan istimewa yang disebut al-Quran adalah seorang perempuan di Madyan. Perempuan ini kemudiannya menjadi isteri penyokong dakwah nabi Musa AS.

Ketika muda, nabi Musa AS pernah tersilap langkah menumbuk mati seorang lelaki berbangsa Qibti. Baginda kemudiannya diburu dan akibatnya baginda terpaksa melarikan diri jauh ke Madyan. Anda boleh rujuk surah (al-Qasas 28:15-22). Ketika di sana, nabi Musa AS membantu 2 perempuan mengambil air untuk ternakan mereka.

Diringkaskan cerita, baginda kemudiannya dijemput ayah perempuan tersebut ke rumah. Kisah perempuan ini mempunyai banyak pengajaran berharga untuk semua perempuan di luar sana. Ayuh kita ikuti kisahnya:

فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا

Ertinya: Kemudian seorang daripada perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya (musa yang sedang berteduh di bawah sebatang pokok) dengan “BERJALAN DALAM KEADAAN TERSIPU-SIPU MALU” sambil berkata:" Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami” (al-Qasas [28:25]).

Frasa berjalan dalam keadaan malu ini menunjukkan nilai iman beliau kerana malu adalah komestik terindah seorang wanita beriman. Oleh itu, semua ibu bapa sana wajib memakaikan anak perempuan mereka dengan kosmetik ini. Indahnya, walaupun malu, perempuan ini masih aktif menjalankan arahan bapanya dan bukannya membantut geraknya kerana malu tak bertempat.

Setelah nabi Musa AS bertemu ayahnya, perempuan ini menunjukkan analisisnya yang sungguh bijaksana. Ia disambung rekod oleh Allah:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Ertinya: Seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (berkerja dan mengembala kambing kita), SESUNGGUHNYA SEBAIK-BAIK ORANG YANG AYAH AMBIL BEKERJA IALAH ORANG YANG KUAT, LAGI AMANAH" (al-Qasas [28:26]).

DUA kriteria yang diungkapnya “KUAT (mampu melaksana kerja dengan jaya) dan AMANAH”, adalah DUA KUNCI UTAMA dalam pemilihan pekerja atau pemimpin. Ayah perempuan ini sangsi seketika. Bagaimana anaknya ini tahu kedua kualiti hebat itu dimiliki Musa AS sedangkan mereka baru sehari bertemu. Si anaknya menjelaskan:

قالت: إنه رفع الصخرة التي لا يطيق حملها إلا عشرة رجال، وإنه لما جئت معه تقدمتُ أمامهُ، فقال لي: كوني من ورائي، فإذا اجتنبت الطريق فاحذفي لي بحصاة أعلم بها كيف الطريق لأتهدّى إليه.

Ertinya: Perempuan itu berkata “Beliau (seorang diri) mengangkat (batu penutup perigi Madyan) yang tak mampu diangkat melainkan dengan kekuatan 10 lelaki. Tambahan pula apabila aku berjalan di hadapannya (ketika menjemputnya ke rumah kita), beliau berkata: Saudari berjalanlah di belakangku. Apabila aku menyimpang dari jalan ke rumahmu, lontarkan batu kepadaku supaya aku tahu mana jalannya (Tafsir Ibn Kathir).

Hebat sekali mata hati perempuan ini, pandangannya bukan pandangan kosong tetapi pandangan bijaksana menganalisis kewibawaan Musa. Benar sekali pujian Abdullah bin Mas’ud kepada beliau (Tafsir al-Tabari):

أفرس الناس ثلاثة: العزيز حين تفرّس في يوسف فقال لامرأته:(أكرمي مثواه عسى أن ينفعنا أو نتخذه ولدًا) = وأبو بكر حين تفرَّس في عمر = والتي قالت:( يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأَمِينُ )

Ertinya: Manusia yang benar firasatnya ada tiga iaitu;
(1) Aziz Mesir ketika dia nampak kualiti Yusuf dan meminta isterinya memuliakan keadaan Yusuf pada firman Allah (Dan [setelah Yusuf dijual di negeri Mesir], berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak" (Yusuf[12:21]),
(2) Abu Bakar RA apabila beliau melihat Umar selayaknya menjadi khalifah selepasnya dan,
(3) Perempuan dalam kisah Musa (al-Qasas[28:26]).

Rupanya peristiwa bunuh tak sengaja dan mangsa buruan bangsa Fir’awn sehingga membawa nabi Musa AS ke Madyan adalah sebab untuk Allah temukan jodoh baginda dengan perempuan hebat ini. Jika Rasulullah SAW didampingi wanita hebat dan bijaksana seperti Khadijah, Aishah, Ummu Salamah dan sebagainya. Nabi Musa AS pula didampingi oleh perempuan ini yang kemudiannya dijodohkan oleh bapanya:

قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنْكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَى أَنْ تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ

Ertinya: Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun (al-Qasas[28:27]).

Kepada yang belum berkahwin, pilihlah calon isteri yang beragama dan bijaksana seperti isteri nabi Musa AS. Kepada yang sudah berkahwin, isilah diri anda dengan ilmu dan iman agar sifat solehah dan bijaksana turut menempati hati dan akal anda. Yakinlah kita belum terlewat untuk menjadi soleh dan bijak walaupun selepas berkahwin. Jika sudah memiliki anak lelaki, didiklah mereka agar menjadi soleh, kuat dan amanah seperti Musa. Jika kita memiliki anak perempuan, didiklah mereka agar menjadi solehah, pemalu bertempat dan bijaksana seperti isteri nabi Musa AS. Percayalah! Kualiti seperti keluarga para nabi inilah yang akan mengangkat darjat Islam di dunia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...