Saturday, June 23, 2018

KALAULAH KAMU TAHU...PASTI KAMU AKAN BERLUMBA-LUMBA MENCAPAINYA....!

KALAULAH KAMU TAHU...PASTI KAMU AKAN BERLUMBA-LUMBA MENCAPAINYA....!

Manusia selalu mahu mendapat TEMPAT TERTINGGI atau PALING AWAL apabila menyentuh aspek duniawi, sehingga ada yang sanggup melanggar batas agama dan kemanusiaan kerana keghairahan mendapat gelaran "PALING ITU DAN PALING INI".... Malangnya apabila menyentuh aspek UKHRAWI atau ROHANI manusia berasa cukup dengan kadar minima.

Perhatikan dialog ini:

"Mengapa tidak baca al-Quran sampai khatam? Kenapa dari muda sampai ke tua asyik baca Yasin sahaja sehingga surah lain pun masih merangkak-rangkak?"

Ini jawapannya:

"Oklah tu..daripada tak baca langsung al-Quran, sekurang-kurangnya saya baca juga Yasin. Yasin pun satu surah al-Quran."

Fadhilat solat berjemaah;

"Mengapa tak datang solat berjemaah di surau masjid? Pahalanya sangat besar dan ia antara sunnah utama Rasulullah SAW."

Ini jawapannya:

"Oklah tu...walaupun saya tak datang solat berjemaah di Surau Masjid, saya masih solat di rumah. KIra saya masih baik berbanding orang yang langsung tak solat."

Fadhilat saf pertama;

"Dah sampai surau masjid, kejarlah saf pertama! Besar pahalanya solat saf pertama."

Ini jawapannya:

"Oklah tu, walaupun saya selalu berlengah untuk melangkah masuk saf hadapan, saya masih lagi solat berjemaah di surau masjid. Saya jauh lebih baik daripada orang yang langsung tak datang surau masjid."

Perhatikan sabda Rasulullah SAW ini, agar ia MAMPU MENCELIKKAN MATA HATI kita semua:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِيرِ لَاسْتَبَقُوا إِلَيْهِ وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Ertinya: Abu Hurayrah RA berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda "Jika manusia tahu (kelebihan, kebaikan, keberkatan dan besarnya ganjaran yang terdapat) pada (laungan) Azan dan saf pertama, kemudian giliran melaungkan azan atau ruang pada saf pertama itu tidak banyak melainkan dengan cara membuat giliran, sudah pasti mereka akan melakukan undian (untuk jadi pelaung azan dan berpeluang solat pada saf pertama). Jika manusia tahu (kelebihan, kebaikan, keberkatan dan besarnya ganjaran yang terdapat) pada amalan datang awal ke solat jemaah, sudah pasti mereka akan berlumba-lumba kepadanya. Jika manusia tahu (kelebihan, kebaikan, keberkatan dan besarnya ganjaran yang terdapat) pada solat Isyak dan Subuh, sudah pasti mereka akan datang (ke masjid) untuk mendirikan kedua solat itu walaupun terpaksa merangkak (Sahih al-Bukhari).

Secara umumnya, hadith ini menggalakkan kita agar melaungkan azan, solat pada saf pertama, solat di awal waktu dan solat Isyak serta Subuh berjemaah. Ayuh kita ubah mentaliti kita daripada hanya MENGUTAMAKAN SOAL DUNIAWI kepada MENGUTAMAKAN SOAL ROHANI DAN AKHIRAT.

- Abdullah Bukhari @ 21 Jun 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...