Sunday, June 24, 2018

AYAT JIHAD DALAM SURAH MAKKIYAH?

AYAT JIHAD DALAM SURAH MAKKIYAH?

Semasa di Mekah ada sahabat yang mahu membalas penganiayaan yang dilakukan Musyrikin Quraisy kepada mereka. Kehendak mereka ditegah Allah kerana masanya belum tiba. Jika mereka terus melawan dalam erti kata JIHAD, kemungkinan Islam tak akan sampai kepada kita pada hari ini. Ia seumpama si anak kecil yang terus mahu menggapai segulung ijazah tertinggi. Era Mekah adalah era pemantapan akidah dan akhlak. Pedang, panah, tombak, golok dan sebagainya WAJIB disimpan dan tak boleh dihunus kerana ia arahan tegas daripada Allah. Ayat ini menceritakan sebahagian  kisah permintaan JIHAD pada era Mekah:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ يَخْشَوْنَ النَّاسَ كَخَشْيَةِ اللَّهِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً ۚ وَقَالُوا رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا الْقِتَالَ لَوْلَا أَخَّرْتَنَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ ۗ قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِمَنِ اتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا

Ertinya: Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat". (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun" (al-Nisa' 4:77).

Setelah hijrah ke Madinah, barulah Jihad dibenarkan:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

Ertinya: Diizinkan berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan) (al-Hajj 22:39).

Cuma ada sedikit "kepelikan" tentang ayat JIHAD dalam surah al-Furqan iaitu surah yang turun pada era Mekah. Jika jihad hanya dibenarkan pada era selepas Hijrah, mengapa Allah arah umat Islam "BERJIHAD" dalam era Mekah? Perhatikan ayat ini:

فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا

Ertinya: Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang kafir, dan berjuanglah (BERJIHADLAH MENENTANG MEREKA DENGAN HUJAH AL-QURAN) menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh (al-Furqan 25:52).

Menurut Abdullah ibn 'Abbas, JIHAD dalam ayat ini adalah JIHAD HUJAH dan bukannya JIHAD SENJATA (Tafsir Ibn Kathir).

Sebenarnya JIHAD HUJAH yang dimulai dengan kajian serta kefahaman mendalam tentang al-Quran hampir sama sukarnya dengan jihad senjata. Ini sebabnya bicara al-Quran diikat dengan disiplin ilmu yang sangat ketat. Penguasaannya pula memerlukan tempoh pembelajaran yang lama.

Jika anda ghairah mahu berjihad dengan senjata tapi situasi Malaysia tidak membuka peluang itu kepada anda, maka anda masih boleh berjihad pada jalan Allah dengan menguasai al-Quran.  Tapi sekejap! Apa yang saya maksudkan JIHAD AL-QURAN bukan hanya menguasai TAJWID atau SENI LAGUNYA, tapi merangkumi banyak bidang lain dalam khazanah ilmu al-Quran seperti Tafsir,  Tadabbur dan sebagainya.

- Abdullah Bukhari @ 22 Jun 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...