Thursday, June 21, 2018

CARA MENGINGAT ISI BUKU DENGAN TEGUH?

CARA MENGINGAT ISI BUKU DENGAN TEGUH?

Segar lagi dalam ingatan ketika berada dalam tingkatan 5 di sekolah Ma'ahad Muhammadi Lil Banin, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Pagi itu kami duduk mendengar ucapan mudir kami yang kami anggap sebagai Wali Allah yang masin mulutnya, banyak karamah ilmunya. Beliau adalah Timbalan Mufti Kelantan sekarang, Datok Nik Abdul Kadir.

Banyak yang beliau kongsi, antara yang saya ingat sampai sekarang adalah "CARA NAK INGAT ISI BUKU" yang dibaca agar tak mudah lupa. Beliau sebut:

"Tulis ayat ni dalam buku yang selalu diulangkaji...

وَإِذْ نَتَقْنَا الْجَبَلَ فَوْقَهُمْ كَأَنَّهُ ظُلَّةٌ وَظَنُّوا أَنَّهُ وَاقِعٌ بِهِمْ خُذُوا مَا آتَيْنَاكُمْ بِقُوَّةٍ وَاذْكُرُوا مَا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami angkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka, (sambil Kami berfirman kepada mereka): "Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa" (al-A'raf 7:171).

"Setiap kali buka buku untuk baca atau belajar, antum baca ayat ni (yang dah ditulis pada bahagian dalam buku tu) dan ulang banyak kali pada perkataan- وَاذْكُرُوا مَا فِيهِ - DAN INGATLAH APA YANG ADA DI DALAMNYA... Insya-Allah Allah bantu kita ingat apa yang kita baca daripada buku itu."

Apabila dewasa dan mendalami Tafsir al-Quran baru saya faham apa maksud sebenar ayat ini. Ayat ini adalah PENEGASAN Allah kepada Bani Israel agar mengamal dan MENGINGATI isi kitab Tawrat. Lalu apa kaitannya dengan amalan mudir kami?

Ini kaedah yang dipanggil KHAWAS AL-QURAN iaitu mengambil berkat dan khasiat pada ayat al-Quran berdasarkan pengalaman orang soleh. Ia bukan muktamad tapi tidak mustahil berlaku kerana keberkesanan amalan kita dengan mengambil berkat al-Quran bergantung kepada TAHAP IMAN DAN YAKIN kita kepada Kalamullah ini. Apa yang pasti mudir kami ini dikenali umum semua pelajar MML sebagai orang soleh yang sangat berkat ilmunya kerana RIBUAN GRADUAN MML yang tersebar ke segenap pelusuk negara ramai yang berguna kepada umat islam malaysia. Semoga Allah rahmati Mudir kami ini yang kami kenali sebagai ustaz Nik Dir.

- Abdullah Bukhari @ 20 Jun 2018... terkenang masa dahulu -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...