Saturday, August 20, 2016

ISLAMNYA SEORANG SAHABAT NABI DI TANGAN SEORANG TABI'IN

ISLAMNYA SEORANG SAHABAT NABI DI TANGAN SEORANG TABI’IN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Kuliah Tafsir surah (al-Ma’idah [5:82-85]) di Surau Nur al-Syura Selayang pada malam ini (20 Ogos 2015) menggentarkan hati saya. Tidak lain kerana keunikan kisah pengislaman seorang SAHABAT (‘Amru bin al-‘As) di tangan seorang TABI’IN iaitu Ashamah (al-Najasyi) Habsyah.

Siapa sangka hentakan tangan al-Najasyi ke atas batang hidung ‘Amru akhirnya membuka luas pintu hidayah baginya. Sebelum ditegur al-Najasyi, ‘Amru bin al-‘As memang membenci dan menyangka bahawa Rasulullah SAW adalah pendusta.

Kisahnya, selepas perang Ahzab (tahun 5 Hijri) pengaruh Musyrikin Quraysh semakin merosot dan kecemerlangan Islam semakin bersinar. ‘Amru bin al-‘As sangat risau situasi ini dan dia melihat keperluan segera untuk mencari tempat berlindung yang baru. Setelah memerhati dengan mendalam, ‘Amru mendapati al-Najasyi Habsyah adalah ketua baru yang mampu menjamin keselamatannya pada masa hadapan.

Setelah keputusan dibuat, ‘Amru dan beberapa temannya menuju Habsyah. Ketika masuk bertemu al-Najasyi ‘Amru terserempak dengan utusan Rasulullah SAW dari Madinah iaitu ‘Amru bin Umayyah al-Dhamri. Setelah menghadap al-Najasyi, beliau meminta izin untuk membunuh utusan Rasulullah. Al-Najasyi sangat marah dengan permintaan ‘Amru, lalu beliau memukul hidung ‘Amru dengan kuat. Sejurus itu al-Najasyi berkata:

أَتَسْأَلُنِي أَنْ أُعْطِيَكَ رَسُولَ رَجُلٍ يَأْتِيهِ النَّامُوسُ الْأَكْبَرُ الَّذِي كَانَ يَأْتِي مُوسَى لِتَقْتُلَهُ قَالَ قُلْتُ أَيُّهَا الْمَلِكُ أَكَذَاكَ هُوَ فَقَالَ وَيْحَكَ يَا عَمْرُو أَطِعْنِي وَاتَّبِعْهُ فَإِنَّهُ وَاللَّهِ لَعَلَى الْحَقِّ وَلَيَظْهَرَنَّ عَلَى مَنْ خَالَفَهُ كَمَا ظَهَرَ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ وَجُنُودِهِ قَالَ قُلْتُ فَبَايِعْنِي لَهُ عَلَى الْإِسْلَامِ قَالَ نَعَمْ فَبَسَطَ يَدَهُ وَبَايَعْتُهُ عَلَى الْإِسْلَامِ ثُمَّ خَرَجْتُ إِلَى أَصْحَابِي وَقَدْ حَالَ رَأْيِي عَمَّا كَانَ عَلَيْهِ وَكَتَمْتُ أَصْحَابِي إِسْلَامِي ثُمَّ خَرَجْتُ عَامِدًا لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأُسْلِمَ

Ertinya: (Wahai ‘Amru bin al-‘As) adakah kamu meminta izin dariku untuk membunuh utusan seorang lelaki yang pernah didatangi oleh Nyamuk Besar (Jibril AS) yang pernah mendatangi Musa?” Aku (‘Amru) bertanya: “Wahai Tuanku, adakah benar begitu perihalnya?” Al-Najasyi berkata: “Aduhai malangnya kamu wahai ‘Amru! Dengarlah cakapku ini dan hendaklah segera kamu ikutilah dia (Muhammad SAW) “KERANA DEMI ALLAH DIA MEMANG BERADA ATAS KEBENARAN.” Dia juga akan mengalahkan semua penentangnya sebagaimana Musa mengalahkan Fir’awn dan bala tenteranya.”…….. Al-Najasyi kemudiannya menghulurkan tangannya dan aku (‘Amru) berjanji setia dengannya untuk menerima Islam. Setelah aku keluar bertemu temanku, hasrat asalku sudah hilang dan aku menyembunyikan PENGISLAMANKU dari pengetahuan mereka. Kemudian, setelah pulang ke Mekah aku pergi bertemu Rasulullah untuk MENGISYTIHARKAN PENGISLAMANKU (Musnad Ahmad).

Al-Najasyi tidak mendapat rezeki bertemu Rasulullah SAW walaupun beliau memeluk Islam di tangan Ja’afar bin Abi Talib selaku ketua Muhajirin Mekah di Habsyah. Oleh itu, pangkat al-Najasyi hanyalah seorang Tabi’in atau murid Sahabat. Walaupun begitu, beliau berjasa besar memecahkan ego kufur ‘Amru bin al-‘As yang membawa kepada pengislamannya. Inilah keunikan kisah pengislaman seorang sahabat di tangan seorang Tabi’in.

Ternyata Allah dan Rasulullah SAW sangat memuliakan a-Najasyi. Buktinya, selepas mendapat berita kewafatan al-Najasyi, baginda bangkit mendirikan solat ghaib (Sahih al-Bukhari & Muslim). Setelah ditanya para sahabat apa perlunya menyolatkan seorang Nasrani, Allah mengekal harumkan nama al-Najasyi dalam al-Quran dengan ayat ini:

وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَمَنْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِمْ خَاشِعِينَ لِلَّهِ لَا يَشْتَرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Ertinya: Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya (Ali ‘Imran [3:199]).

Al-Najasyi sudah membuktikan, Islamnya teguh sehingga mampu mengislamkan orang lain walaupun tak sempat bertemu Rasulullah SAW. Marilah kita sama-sama berusaha untuk mengislamkan seramai mungkin “manusia belum Islam” seperti ‘Amru bin al-‘As pada zaman ini agar ramai yang menjadi jiran kita dalam syurga kelak. Semoga kisah ini menjadi inspirasi dakwah kepada kita semua, Insya-Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...