Saturday, August 20, 2016

RASULLULLAH SAW BERMIMPI WANITA HITAM DENGAN RAMBUT KUSUT MASAI KELUAR DARI MADINAH?

RASULULLAH SAW BERMIMPI WANITA HITAM DENGAN RAMBUT KUSUT MASAI  KELUAR DARI MADINAH?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Bukan kecil pengorbanan para sahabat Rasulullah SAW dalam menobatkan Islam. Demi kelansungan Islam, mereka terpaksa berkorban meninggalkan kampong halaman. Hijrah ke tempat asing seperti Madinah pula bukanlah sesuatu yang indah pada jiwa. Entah bagaimana nasib yang bakal dihadapi di tempat baru nanti. Tidak hairanlah nama para sahabat yang terpaksa berhijrah demi agama ini dijulang dengan tinggi oleh Allah dalam al-Quran. Bayangkan kemuliaan yang mereka perolehi! Setiap kali al-Quran dibaca, nama dan jasa mereka pasti dikenang. Inilah “KARAMAH” atau KEMULIAAN yang kekal untuk mereka. Firman Allah:

لِلْفُقَرَاءِ الْمُهَاجِرِينَ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا وَيَنْصُرُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

Ertinya: (Pemberian dari rampasan perang itu hendaklah diperuntukkan) kepada orang fakir yang berhijrah, YANG DIUSIR KELUAR DARI KAMPUNG HALAMANNYA DAN HARTA BENDANYA (KERANA BERPEGANG TEGUH KEPADA AJARAN ISLAM), UNTUK MENCARI LIMPAH KURNIA DARI ALLAH DAN KEREDAANNYA, SERTA MENOLONG (UGAMA) ALLAH DAN RASULNYA; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya) (al-Hasyr [59:8]).

Benar bagai dikata, setelah sampai ke Madinah ramai sahabat Rasulullah SAW yang jatuh sakit berikutan bumi Madinah yang kotor dan berwabak penyakit.  Ia direkodkan oleh sebuah hadith:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ وَهِيَ وَبِيئَةٌ فَاشْتَكَى أَبُو بَكْرٍ وَاشْتَكَى بِلَالٌ فَلَمَّا رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَكْوَى أَصْحَابِهِ قَالَ اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الْمَدِينَةَ كَمَا حَبَّبْتَ مَكَّةَ أَوْ أَشَدَّ وَصَحِّحْهَا وَبَارِكْ لَنَا فِي صَاعِهَا وَمُدِّهَا وَحَوِّلْ حُمَّاهَا إِلَى الْجُحْفَةِ

Ertinya: ‘Aisyah RA memberitahu: “Ketika kami sampai ke Madinah (dalam peristiwa Hijrah), ia adalah bumi yang sangat berpenyakit sehingga menyebabkan Abu Bakar dan Bilal jatuh sakit. Setelah mendengar aduan para sahabat, baginda Rasulullah SAW berdoa “Ya Allah jadikan kami mencintai Madinah sebagaimana Engkau mencintai Mekah atau jadikan ia (cinta kepada Madinah) lebih mendalam. Dan pulihkan keadaannya (jadikan bumi Madinah ini sihat serta bebeas penyakit). Berikanlah keberkatan pada sukatannya (perkembangan ekonomi Madinah). Pindahkan lah wabak penyakitnya ke (tempat bernama) al-Juhfah (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Selepas mendoakan keberkatan Madinah, baginda bermimpi dengan suatu mimpi ajaib. Sabdanya:

رَأَيْتُ امْرَأَةً سَوْدَاءَ ثَائِرَةَ الرَّأْسِ خَرَجَتْ مِنْ الْمَدِينَةِ حَتَّى قَامَتْ بِمَهْيَعَةَ وَهِيَ الْجُحْفَةُ وَأَوَّلْتُهَا وَبَاءَ الْمَدِينَةِ يُنْقَلُ إِلَى الْجُحْفَةِ

Ertinya: Aku bermimpi melihat WANITA BERKULIT HITAM YANG KUSUT MASAI RAMBUTNYA (BERJALAN) KELUAR MADINAH SEHINGGALAH DIA BERDIRI (BERHENTI) DI SEBUAH TEMPAT LUAS TERBENTANG IAITU (DAERAH) AL-JUHFAH. Aku mentakwilkan mimpi itu dengan maksud; wabak penyakit Madinah dipindahkan Allah ke daerah al-Juhfah (Sunan al-Tirmidhi).

Mimpi seorang Rasul adalah wahyu yang tidak dapat disangkal lagi. Subhanallah! Selepas itu bumi Madinah dilimpahi keberkatan yang melimpah ruah sehingga hari ini. Doa itu dimakbulkan sebagai ganjaran duniawi serta penghibur jiwa kepada para sahabat yang berkorban jiwa raga memperjuangkan Islam sehingga terpaksa meninggalkan tanah air. Benar sekali firman Allah bahawa hijrah pasti membuka kebahagiaan baru berkat pengorbanan yang dilakukan:

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً

Ertinya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur (al-Nisa’ [4:100]).

Dikatakan hadith ini menunjukkan bukti kenabian Rasulullah SAW kerana daerah al-Juhfah sehingga hari ini dijauhi. Orang yang minum air bumi al-Juhfah akan mudah jatuh sakit (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).  Wallahu A’lam.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...