Wednesday, July 13, 2016

MUHASABAH SELEPAS RAMADHAN: BERSEDAP BIAR BERPADA

MUHASABAH SELEPAS RAMADHAN: BERSEDAP BIAR BERPADA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10204877511002942&substory_index=0&id=1394678315

Ia hanya “ALAT” dan bukannya “MATLAMAT.” Itulah gambaran terbaik mengenai makanan dan minuman yang saban hari menjalankan tugasnya meneguhkan jasad manusia. Dalam mengecap keduanya, lidah kadangkala mahu sedikit “rasa” manis, masam, masin dan tawar.” Walaupun ia sekadar rasa yang dikhayalkan oleh otak hasil maklumat yang dihantar oleh daging lembut dalam mulut yang bernama lidah, manusia sanggup berhabis hanya untuk sedikit rasa itu.

Apa yang pasti, sedap hanya di lidah. Apabila melepasi kerongkong ia bakal menjadi vitamin peneguh jasad atau penyakit perosak badan. Orang beriman makannya berpada. Bahkan bulan Ramadhan memang suatu hadiah fizikal dari Allah yang sangat istimewa kerana kita dilatih secara paksa untuk memahami bahawa perut adalah punca sakit dan sihat. Ia juga punca dosa dan pahala. Sekolah Ramadhan seakan mendidik kita menghayati saranan Rasulullah SAW:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Ertinya: Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertga untuk pernafasan (Sunan al-Tirmidhi).


Ketika meneliti surah al-Ahqaf utuk tadabbur Terawih malam ke 26 Ramadhan, jiwa saya sebak sebaik membaca kisah kewarakan (kesolehan) para sahabat Rasulullah SAW yang mengekang nafsu mereka dari terlebih bersedap dengan kehidupan duniawi. Firman Allah:

وَيَوْمَ يُعْرَضُ الَّذِينَ كَفَرُوا عَلَى النَّارِ أَذْهَبْتُمْ طَيِّبَاتِكُمْ فِي حَيَاتِكُمُ الدُّنْيَا وَاسْتَمْتَعْتُمْ بِهَا فَالْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ بِمَا كُنْتُمْ تَسْتَكْبِرُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَبِمَا كُنْتُمْ تَفْسُقُونَ


Ertinya: Dan (ingatlah), semasa orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): "KAMU TELAH HABISKAN NIKMAT KESENANGAN KAMU DALAM KEHIDUPAN DUNIA KAMU, DAN KAMU TELAH BERSENANG MENIKMATINYA”; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik" (al-Zukhruf [46:20]).

Imam al-Baghawi dalam Tafsirnya menceritakan kisah jutawan sahabat “Abdul Rahman bin ‘Awf RA yang sangat menyentuh perasaan:

أن عبدالرحمن بن عوف أتي بطعام وكان صائمًا، فقال: قتل مصعب بن عمير وهو خير مني فكفن في بردة إن غطي بها رأسه بدت رجلاه، وإن غطي بها رجلاه بدا رأسه، قال: وأراه قال: وقتل حمزة وهو خير مني، فلم يوجد ما يكفن فيه إلا بردة، ثم بسط لنا من الدنيا ما بسط، أو قال أعطينا من الدنيا ما أعطينا وقد خشينا أن تكون حسناتنا عجلت لنا، ثم جعل يبكي حتى ترك الطعام

Ertinya: Pada suatu hari, Abdul Rahman bin ‘Awf yang sedang berpuasa dihidangkan makanan. Beliau yang terkenang para sahabat Rasulullah yang sudah wafat, lalu  berkata: Mus’ab bin ‘Umayr telah gugur syahid (dalam perang Uhud) sedang dia itu jauh lebih baik dariku. Beliau dikafankan dengan sehelai kain (yang singkat) yang mana jika ditutup kepalanya akan terdedah bahagian kakinya. Jika ditutup bahagian kaki akan terdedah pula kepalanya. …. Begitu juga Hamzah gugur (dalam perang Uhud) sedang dia juga jauh lebih baik dariku. Tiada apa yang dapat digunakan untuk mengkafankan beliau melainkan sehelai kain sahaja. Kemudian (Allah) melapangkan dunia untuk kami, sedang kami risau kebaikan kami disegerakan kepada kami. Abdul Rahman kemudiannya menangis sehingga beliau meninggalkan makanannya (Tafsir al-Baghawi).

Sikap yang sama dapat dilihat pada Sayyidina ‘Umar ibn al-Khattab RA. Beliau berkata:

لو شئت كنت أطيبكم طعاما، وألينكم لباسا، ولكني أستبقي طيباتي. وذُكر لنا أنه لما قدم الشأم، صنع له طعام لم ير قبله مثله، قال: هذا لنا، فما لفقراء المسلمين الذين ماتوا وهم لا يشبعون من خبز الشعير؟ قال خالد بن الوليد: لهم الجنة، فاغرورقت عينا عمر


Ertinya: Jika aku mahu, aku boleh memakan makanan yang terbaik (berbanding kamu semua), memakai pakaian paling lembut. Akan tetapi aku risau kebaikan (dan kesedapan) mendahuluiku (di dunia berbanding akhirat). Kemudian diceritakan kepada kami bahawa ‘Umar ketika baru tiba dari Syam, dihidangkan untuknya makanan yang (mewah) belum pernah dilihat sebelum itu. Umar lalu berkata: Ini (hidangan) untuk kami, apa pula (habuan) untuk orang Islam yang faqir dan gugur syahid. Mereka juga tidak sempat pun kenyang memakan walau sekadar roti gandum. Khalid bin al-Walid menjawab: Bagi mereka syurga. Mata ‘Umar pun berlinangan dengan air mata (Tafsir al-Tabari).

Subhanallah! Alangkah halus dan waraknya hati para sahabat RA. Lalu timbul soalan, adakah salah meni’mati sesuatu yang enak dan sedap? Ia tak salah asal saja ia hanya dianggap sebagai alat dan bukannya matlamat. Allah tidak melarang keinginan untuk memenuhi rasa tersebut:


قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آَمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hambaNya, dan demikian juga benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang yang (mahu) mengetahui (al-A’raf [7:32]).

Pun begitu, lebih tepat ayat surah al-Ahqaf di atas sebenarnya ditujukan kepada orang kafir yang mewah bersedap di dunia sehingga melanggar segala arahan Allah. Mencari yang sedap dan enak tidak salah di sisi agama, cuma ia perlu dikawal agar tidak berlebihan. Ini kerana orang yang terbiasa mencari kesedapan sukar mengawal nafsu, lantas desakan mencari kesedapan boleh mendorongnya melanggar batasan agama lalu ia menjadi sebab jauhnya dia dari Allah (Tafsir al-Razi).

Berlebihan dalam mengisi tembolok perut bukan sahaja mengundang penyakit tetapi bukan sifat orang beriman sebagaimana kisah hadith ini:

عَنْ نَافِعٍ قَالَ كَانَ ابْنُ عُمَرَ  لَا يَأْكُلُ حَتَّى يُؤْتَى بِمِسْكِينٍ يَأْكُلُ مَعَهُ فَأَدْخَلْتُ رَجُلًا يَأْكُلُ مَعَهُ فَأَكَلَ كَثِيرًا فَقَالَ يَا نَافِعُ لَا تُدْخِلْ هَذَا عَلَيَّ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعًى وَاحِدٍ وَالْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ

Ertinya: Nafi’ menceritakan bahawa Abdullah ibn ‘Umar RA tidak akan makan melainkan jika ada seorang miskin yang boleh menjadi temannya makan. Pada suatu hari aku (Nafi’) menjemput seorang lelaki (miskin) masuk makan bersamanya (Abdullah bin ‘Umar) lalu lelaki tersebut makan dengan banyak sekali. Melihat (buruknya sifat) lelaki tersebut, Abdullah berkata: Wahai Nafi’ janganlah dijemput dia ini makan bersamaku lagi (pada kali yang lain) kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ORANG BERIMAN MAKAN DALAM SATU HIDANGAN, MANAKALA ORANG KAFIR PULA MAKAN DALAM 7 (BANYAK) HIDANGAN” (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Ya Allah! Kurniakan kami rasa zuhud (rasa berpada dan cukup) pada dunia sebagaimana zuhudnya para sahabat Rasulullah SAW. Sempurnakanlah ni’mat kami di akhirat kelak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...