Thursday, July 14, 2016

JANGAN IKUT SYAITAN SEBAR BERITA PALSU

JANGAN IKUT SYAITAN SEBAR BERITA PALSU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Sesetengah kita sangat takut dengan kemunculan syaitan dalam rupa ngeri “sang hantu” yang selalu difiksyenkan para pembikin filem seram, tetapi tanpa sedar sesetengah kita sudah menjadi pengikut syaitan dalam penyebaran berita palsu perosak agama dan masyarakat. Jika mampu dilihat, pasti “FACEBOOK IBLIS” sudah mempunyai bukan jutaan malah berbillion “follower dalam kalangan manusia.” Mohon dijauhkan Allah! 

Rupanya “DUA” kali Allah menegaskan betapa kegilaan menyebarkan berita tak pasti adalah perangai syaitan. Jika difikir dengan tenang memang sebaran berita tanpa semak sangat bahaya kepada manusia, manakala kemusnahan mutlak manusia adalah matlamat utama syaitan yang sudah “DIAKUJANJIKAN” Iblis sejak seawal penciptaan Adam AS.

Ketika membaca al-Quran, hati saya diketuk 2 ayat yang menyebut “PERANAN SYAITAN” dalam keghairahan menyebar berita tanpa semak atau lebih parah lagi berita palsu. Perhatikan firman Allah ini:

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Ertinya: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; DAN JIKA TIDAKLAH KERANA LIMPAH KURNIA ALLAH DAN BELAS KASIHANNYA KEPADA KAMU, TENTULAH KAMU (TERBABAS) MENURUT SYAITAN KECUALI SEDIKIT SAHAJA (IAITU ORANG YANG TEGUH IMANNYA DAN LUAS ILMUNYA DI ANTARA KAMU) (al-Nisa’ [4:83]).

Ayat ini diturunkan menegur segelintir Muslim pada zaman Rasulullah SAW  yang membuat spekulasi tanpa bukti bahawa baginda SAW menceraikan para isteri baginda. ‘Umar bin al-Khattab RA yang mendengar spekulasi ini segera pergi bertemu baginda bagi menjelaskan kebenaran spekulasi tersebut. Baginda lantas menafikan spekulasi itu dan ternyata tindakan murni ‘Umar seumpama air sejuk yang memadamkan terus segala berita tak pasti itu (Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim & Tafsir Ibn Kathir).

Perkara yang sama turut berlaku ketika Aishah RA difitnah oleh Presiden Persatuan Orang Munafiq Madinah, Abdullah bin Ubay. Fitnah  ini sangat dahsyat seumpama tsunami api yang hampir meruntuhkan rumah tangga Rasulullah SAW. Kisah tersebut dapat dihayati pada ayat 11 – 26 surah al-Nur. Akhirnya nama Aishah RA dibersih-sucikan secara tuntas oleh Allah dengan penurunan ayat ini:

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُولَئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Ertinya: (Lazimnya) perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat, dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. MEREKA (YANG BAIK IAITU AISHAH DAN SAFWAN BIN MU’ATTAL) ITU ADALAH BERSIH DARI (TUDUHAN BURUK) YANG DIKATAKAN OLEH ORANG (YANG JAHAT); MEREKA (YANG BAIK) ITU AKAN BEROLEH PENGAMPUNAN (DARI ALLAH) DAN PENGURNIAAN YANG MULIA (al-Nur [24:26]).

Walaupun begitu, yang menariknya dalam cerita fitnah Aishah ini pun, nama syaitan turut disebut oleh Allah dalam pertengahan kisahnya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ وَمَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَى مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, JANGANLAH KAMU MENURUT JEJAK LANGKAH SYAITAN; DAN SESIAPA YANG MENURUT JEJAK LANGKAH SYAITAN, MAKA SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU SENTIASA MENYURUH (PENGIKUT) MELAKUKAN PERKARA YANG KEJI DAN PERBUATAN YANG MUNGKAR. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui (al-Nur [24:21]).

Subhanallah! Kedua ayat di atas mengulang sebut “tangan syaitan” dalam penyebaran berita palsu yang boleh meruntuhkan kesejahteraan serta ketenteraman masyarakat umat Islam. Biarlah sabda Rasulullah SAW ini menjadi antivirus bagi iman kita agar tidak terus percaya dan sebar sebarang  berita yang diterima:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Ertinya: Cukuplah seseorang itu digelar pendusta jika dia berbicara dengan apa sahaja yang didengarnya (Sahih Muslim).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...