Thursday, June 23, 2016

SABAR! JANGAN JADI AGEN SYAITAN DALAM MEDIA SOSIAL

SABAR! JANGAN JADI AGEN SYAITAN DALAM MEDIA SOSIAL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ulasan ayat pilihan dalam juzuk 18 sempena hari ke 18 Ramadhan (23 Jun 2016). Isunya adalah panduan al-Quran (dari surah al-Nur) dalam pengurusan maklumat tidak audit yang diterima dalam media sosial.

Semua sedia maklum Ummul Mu’minin Aishah binti Abu Bakar RA pernah difitnah orang Munafiq Madinah. Fitnah ini berlanjutan selama hampir sebulan dan meresahkan keluarga Rasulullah SAW. Ia bak ombak ganas yang merempuh tanpa belas kasihan. Ketika keadaan semakin meruncing, Allah menurunkan ayat dari surah al-Nur membersihkan nama Aishah dan Safwan bin Mu’attal RA secara mutlak. Apa yang lebih penting di sebalik kisah ini ETIKA dan PANDUAN MENGURUSKAN MAKLUMAT yang diterima. Maha Suci Allah Tuhan Yang Maha Bijaksana, walaupun panduan ini turunnya 1400 tahun dahulu, prinsipnya merentas zaman. Bahkan panduan ini sungguh releven dengan zaman kita. Berikut adalah “4 panduan” yang diresepikan Allah dari kisah tersebut:

1) BERBAIK SANGKA dahulu terhadap sebarang berita “busuk” yang diterima. Firman Allah:

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُبِينٌ

Ertinya: Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman - lelaki dan perempuan, MENARUH BAIK SANGKA KEPADA DIRI (ORANG) MEREKA SENDIRI. DAN BERKATA: "INI IALAH TUDUHAN DUSTA YANG NYATA" (al-Nur [24:12]).

Firman Allah Pencipta manusia ini sangat benar. Sangka buruk sebenarnya sangat rapuh dan tidak pasti kebenarannya. Ia dikukuhkan dengan firman Allah yang lain:

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ

Ertinya: Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (PADAHAL) SESUNGGUHNYA SANGKAAN ITU TIDAK DAPAT MEMENUHI KEHENDAK MENENTUKAN SESUATU DARI KEBENARAN (IKTIQAD). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan (Yunus [10:36]).

Bahkan dalam firman lain, Allah menegaskan sangkaan adalah lubuk dosa yang sangat bahaya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Ertinya: Wahai orang yang beriman! JAUHILAH KEBANYAKAN DARI SANGKAAN (SUPAYA KAMU TIDAK MENYANGKA SANGKAAN YANG DILARANG) KERANA SESUNGGUHNYA SEBAHAGIAN DARI SANGKAAN ITU ADALAH DOSA; (al-Hujurat [49:12]).

2) SELIDIK DAN PASTIKAN IA MEMPUNYAI BUKTI YANG SAH menurut agama dan bebas dari kemungkinan ciptaan tangan jahat manusia yang mahir berdusta menggunakan segala bagai teknologi moden. Tanpa bukti yang sah, kita sepatutnya mengabaikan sebarang tuduhan. Firman Allah:

لَوْلَا جَاءُوا عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا بِالشُّهَدَاءِ فَأُولَئِكَ عِنْدَ اللَّهِ هُمُ الْكَاذِبُونَ

Ertinya: Sepatutnya mereka (yang menuduh) MEMBAWA 4 ORANG SAKSI MEMBUKTIKAN TUDUHAN ITU. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan 4 orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang yang dusta (al-Nur[24:13]).

3) TIMBANG DENGAN NERACA AGAMA DAN AKAL adakah ia perlu disebarkan jika terbukti benar sekalipun. Jika ia melibatkan aib saudara Muslim kita usah sebar. Bukan semua yang benar boleh disebarkan. Usahlah bertindak seperti sang malaikat pencatat dosa yang tugasnya melihat keburukan orang lain. Fikir dulu dosa sendiri yang belum tentu mampu kita tanggung sebelum sibuk menilai orang lain. Lihat penegasan Allah dalam ayat berikutnya:

وَلَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُمْ مَا يَكُونُ لَنَا أَنْ نَتَكَلَّمَ بِهَذَا سُبْحَانَكَ هَذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ

Ertinya: Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "TIDAKLAH LAYAK BAGI KAMI MEMPERKATAKAN HAL INI! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan" (al-Nur [24:16]).

Benar kata pepatah; AKAL YANG HEBAT BERBICARA TENTANG PEMIKIRAN, MANAKALA AKAL YANG LEMAH BERBICARA TENTANG ORANG LAIN!

4) JANGAN JADI AGEN SYAITAN merosakkan keharmonian masyarakat dengan menyebarkan berita aib orang tanpa keperluan mendesak. Dalam kisah fitnah Aishah RA ini, Allah menegur keras umat Islam agar tidak bersekongkol mengikut jejak langkah syaitan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ وَمَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, JANGANLAH KAMU MENURUT JEJAK LANGKAH SYAITAN (DALAM PENYEBARAN BERITA PALSU); DAN SESIAPA YANG MENURUT JEJAK LANGKAH SYAITAN, MAKA SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU SENTIASA MENYURUH (PENGIKUTNYA) MELAKUKAN PERKARA YANG KEJI DAN PERBUATAN YANG MUNGKAR. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui (al-Nur [24:21]).

Hujung ayat (ayat 21) sangat jelas menyatakan pematuhan kepada panduan al-Quran akan menyelamat kita semua dari dosa di atas.

Kisah fitnah Ummul Mu’minin Aishah memang perit untuk dibayangkan, tapi hikmahnya sangat besar. Allah langsung menurunkan ayat membersihkan nama beliau dan memberi panduan kepada umat Islam sehingga kiamat agar selamat dari fitnah ini. Amalkan panduan dari Allah ini iaitu “BAIK SANGKA, CARI BUKTI, TIMBANG DENGAN NERACA AGAMA SEBELUM SEBAR dan JANGAN JADI AGEN SYAITAN untuk selamat dunia dan akhirat. Insya Allah ia berguna menyelamatkan kita dari karam ketika menempuh ombak ganas media social. Siapa lagi yang paling benar kalamNya selain Allah?

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ لَا رَيْبَ فِيهِ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّهِ حَدِيثًا

Ertinya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. DAN SIAPAKAH PULA YANG LEBIH BENAR PERKATAANNYA DARIPADA ALLAH? (al-Nisa’ [4:87]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...