Friday, June 24, 2016

HARAPAN YANG SAMA PADA SEMUA PARA NABI AS SELEPAS WAFAT MEREKA

HARAPAN YANG SAMA PADA SEMUA PARA NABI AS SELEPAS WAFAT MEREKA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ulang tayang status lama. Malam tadi (23 Jun 2016) mengimamkan solat terawih dan baca ayat pilihan juzuk 19. Antara isu yang diulas adalah DOA NABI IBRAHIM pada ayat 83 surah al-Syu'arak dan nabi NABI SULAYMAN pada ayat 19 surah al-Naml. Al-Quran tidak akan bercanggah dengan hadith sahih....

“BUKAN UMMATI-UMMATI!”

Ramai yang “berkerut kening" sekiranya dikatakan lafaz di atas  bukan lafaz terakhir diucapkan Rasulullah SAW sebelum baginda wafat. Seakan kenyataan ini sangat menongkah arus atau datangnya dari Muslim yang nipis cintanya kepada Rasulullah SAW. Biarlah hadith riwayat Aisyah RA ini berbicara mengejutkan lamunan khayalan kita:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ صَحِيحٌ يَقُولُ إِنَّهُ لَمْ يُقْبَضْ نَبِيٌّ قَطُّ حَتَّى يَرَى مَقْعَدَهُ مِنْ الْجَنَّةِ ثُمَّ يُحَيَّا أَوْ يُخَيَّرَ فَلَمَّا اشْتَكَى وَحَضَرَهُ الْقَبْضُ وَرَأْسُهُ عَلَى فَخِذِ عَائِشَةَ غُشِيَ عَلَيْهِ فَلَمَّا أَفَاقَ شَخَصَ بَصَرُهُ نَحْوَ سَقْفِ الْبَيْتِ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ فِي الرَّفِيقِ الْأَعْلَى

Ertinya: Baginda Rasululllah SAW ketika masih sihat pernah berkata: Para nabi tidak diambil nyawanya sehinggalah dia melihat kedudukannya dalam syurga kemudian dia (nabi tersebut) akan diberikan pilihan. Apabila Rasulullah SAW sedang sakit yang membawa kepada kewafatannya sedang kepala baginda SAW berada atas paha Aisyah baginda pitam. Apabila tersedar baginda SAW membeliakkan matanya ke arah bumbung rumah kemudian berkata: Ya Allah! Kepangkuan yang tertinggi (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain antara lafaz terakhir baginda SAW sebelum wafat adalah:

مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنْ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ

Ertinya: Bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, “SERTA ORANG-ORANG YANG SOLEH” (al-Nisa’[4:69]) (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan kedua lafaz tersebut dapat disimpulkan bahawa ketika hampir wafatnya, baginda Rasulullah SAW telah “membuat pilihan untuk kembali ke pangkuan yang tertinggi di sisi Allah.” Destinasi “الرفيق الأعلى” iaitu ke “PANGKUAN TERTINGGI” adalah lokasi tertinggi selepas kematian yang menempatkan roh manusia pilihan seperti para nabi, syuhada’ dan orang soleh. Bukan semua mampu atau layak ke sini, namun ia tidak mustahil dicapai.

Mahu bersama orang soleh semasa di dunia dan lebih-lebih lagi selepas meninggal dunia bukanlah harapan Rasulullah SAW seorang, tetapi turut menjadi harapan ramai Rasul lain. Harapan mereka direkodkan dalam al-Quran:

Doa nabi Ibrahim AS:

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Ertinya: (Berdoalah nabi Ibrahim AS) "Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, “DAN HUBUNGKANLAH DAKU DENGAN ORANG YANG SOLEH” (al-Syu’ara’[26:83]).

Juga doa nabi Yusuf AS:

رَبِّ قَدْ آَتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِنْ تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ أَنْتَ وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Ertinya: (Berdoalah nabi Yusuf AS) "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, “DAN HUBUNGKANLAH DAKU DENGAN ORANG YANG SOLEH" (Yusuf[12:101]).

Juga doa nabi Sulayman AS:

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِنْ قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; “DAN MASUKKANLAH DAKU - DENGAN LIMPAH RAHMATMU - DALAM KUMPULAN HAMBA-HAMBAMU YANG SOLEH"(al-Naml[27:19]).

Imam Ibn Kathir ketika mengulas ayat surah al-Syu’ara’ dan surah Yusuf di atas menggandingkannya dengan huraian kisah kewafatan Rasulullah SAW (Tafsir Ibn Kathir).

Semua rangkuman harapan para Rasul dalam ayat di atas jelas menunjukkan betapa “KONSISTENNYA KEBERSAMAAN HADITH SAHIH DENGAN AL-QURAN.” Hadith sahih dan al-Quran adalah 2 hidangan langit yang berasal dari Allah. Keduanya “TIDAK MUNGKIN BERCANGGAH.” Yang satunya diadun terus oleh Allah dengan nama al-Quran, manakala yang satu lagi segala isi dan panduan resepinya diilhamkan Allah lalu diadun oleh Rasulullah SAW dengan nama al-Sunnah:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)

Ertinya: Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya (al-Najm [53:3-4]).

Semoga nota Tafsir kali ini menambah yakin umat Islam agar tidak lagi berkhayal dengan lafaz “UMMATI-UMMATI.”  Kita cinta kepada Rasulullah SAW dan semua nabi. Buktikan cinta itu dengan berpegang dengan yang sahih bukannya yang kabur kerana Rasulullah SAW menegaskan kita agar senantiasa benar. Benar dalam iman, benar dalam amal soleh, benar dalam menerima dan menyebarkan berita.

Akhir kata, marilah kita berselawat serta mengucapkan salam kepada Rasulullah SAW dan para nabi AS yang senantiasa berada dalam kebenaran. Semoga sedikit usaha kita “menerima kebenaran dalam isu ini” bakal menemukan kita bersama mereka selepas kematian kita kelak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...