Wednesday, June 22, 2016

OH NUZUL AL-QURAN! SLOGAN KOSONG ATAU NI'MAT YANG WAJIB DISYUKURI?

My Ustaz says:

Isu Nuzul al-Quran. Rencana lengkap di bawah. Anda "PERLU SABAR" membacanya. Untuk menulis rencana ini saya memerah otak hampir 5 jam....bacaan anda cuma mengambil masa mungkin kurang 15 minit. Membaca jambatan ilmu..

OH NUZUL AL-QURAN! SLOGAN KOSONG ATAU NI’MAT YANG WAJIB DISYUKURI?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Ustaz! Sasaran saya tahun ini dalam kursus anjuran saya berkaitan tadabbur al-Quran adalah memberikan masa 3 minit untuk para peserta ulas isi kandungan surah Yasin.”

Sejurus mendengar hasrat Tuan Fazrul Ismail (pengarah Urusan Akademi Sinergi iaitu sebuah syarikat yang menganjurkan banyak program membantu orang awam memahami isi al-Quran) saya menambah kenyataannya:

“Saya kira masa 3 minit terlalu panjang untuk mereka. Jika kita berikan sekadar 1 minit pun, sesetengah orang Melayu belum tentu mampu mengulas intisari surah ini. Dalam sesetengah keadaan, orang Melayu yang sudah sebati membaca surah Yasin akan melopong seketika apabila saya sebut dalam surah hebat ini Allah ada mengkisahkan perihal 3 utusan Allah yang diutus kepada sebuah negeri yang mensyirikkan Allah. Mereka juga tercengang kehairanan apabila saya kata surah Yasin menyebut kisah kemuliaan seorang lelaki yang cuba menasihati kaumnya walaupun selepas dia gugur syahid dibunuh kamnya sendiri. Tambah ternganga apabila kita katakan Allah memberi logik dalam surah Yasin dengan pemerhatian pada alam semesta bagi mengajar sikap biadab seorang lelaki Quraysh yang menafikan wujudnya hari kiamat.”

Dialog di atas pernah menjadi bahan bualan ketika saya dan Tuan Fazrul minum pagi bersama. Itu sekadar secebis kisah manusia dengan al-Quran. Saban tahun menjelang 17 Ramadhan umat Islam di Malaysia akan menyambut ulang tahun Nuzul al-Quran. Rupanya para ulama masih berselisih pandangan tentang tarikh Nuzul al-Quran. Ada yang mengatakan 17 Ramadhan bersempena firman Allah dalam surah al-Anfal [8:41]. Ada juga berkata 21 Ramadhan (al-Rahiq al-Makhtum) dan 24 Ramadhan. Pendapat 24 Ramadhan dipegang oleh para ulama hadith berdasarkan sabda Rasulullah:

أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَام فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

Ertinya: Suhuf Ibrahim diturunkan pada malam pertama Ramadhan, Tawrat pada 6 Ramadhan, Injil pada 13 Ramadhan, Zabur pada 18 Ramadhan dan al-Quran pada 24 Ramadhan (Musnad Ahmad).

Walaupun begitu, jangan pula kita tersalah fokus. Bukan tarikh yang perlu diketengahkan dalam perbincangan berkaitan Nuzul al-Quran tetapi sejauh mana semangat kita dalam menghayati isi kandungan al-Quran. Al-Quran bukan sekadar kitab suci yang diritualkan pada masa dan majlis keagamaan tertentu sahaja. Al-Quran juga bukan hanya himpunan ayat keramat yang berguna menghalau syaitan atau jin yang membuat onar. Ia juga bukan sekadar teks Arab yang didalami perbincangan alunan hurufnya dalam kerangka Tajwid  atau Tarannum. Ia juga bukan hanya lafaz jampi yang bakal menaikkan harga produk ala-islamik yang semakin membanjiri pasaran.

Sebaliknya ia adalah kitab suci yang mengumpulkan segala khazanah dunia dan akhirat. Bicaranya mengandungi Tajwid, Tarannum, Tahfiz, Tafsir, Ekonomi, Falsafah, Jihad, Perubatan, Psikologi, Kejuruteraan, Ketenteraan dan segalanya. Semakin banyak kajian dibuat terhadap al-Quran maka para pengkaji akan semakin lemas dan mabuk dalam lautan ilmu Allah yang tidak bertepi atau berdasar. Benar sekali firman Allah:

مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

Ertinya: Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan) (al-An’am[6:38]).

Setiap patah ayat al-Quran adalah cerminan kuasa dan ilmu Allah yang tiada tara agungNya sebagaimana Firman Allah:

لَكِنِ اللَّهُ يَشْهَدُ بِمَا أَنْزَلَ إِلَيْكَ أَنْزَلَهُ بِعِلْمِهِ وَالْمَلَائِكَةُ يَشْهَدُونَ وَكَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا

Ertinya: (Orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkanNya kepadamu. “ALLAH MENURUNKANNYA DENGAN ILMUNYA,” dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini) (al-Nisa’ [4:166]).

Tidak cukup dengan itu, Rasulullah SAW menegaskan perkara yang sama:

أَلَا إِنَّهَا سَتَكُونُ فِتْنَةٌ فَقُلْتُ مَا الْمَخْرَجُ مِنْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ كِتَابُ اللَّهِ فِيهِ نَبَأُ مَا كَانَ قَبْلَكُمْ وَخَبَرُ مَا بَعْدَكُمْ وَحُكْمُ مَا بَيْنَكُمْ وَهُوَ الْفَصْلُ لَيْسَ بِالْهَزْلِ مَنْ تَرَكَهُ مِنْ جَبَّارٍ قَصَمَهُ اللَّهُ وَمَنْ ابْتَغَى الْهُدَى فِي غَيْرِهِ أَضَلَّهُ اللَّهُ وَهُوَ حَبْلُ اللَّهِ الْمَتِينُ وَهُوَ الذِّكْرُ الْحَكِيمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ الْمُسْتَقِيمُ هُوَ الَّذِي لَا تَزِيغُ بِهِ الْأَهْوَاءُ وَلَا تَلْتَبِسُ بِهِ الْأَلْسِنَةُ وَلَا يَشْبَعُ مِنْهُ الْعُلَمَاءُ وَلَا يَخْلَقُ عَلَى كَثْرَةِ الرَّدِّ وَلَا تَنْقَضِي عَجَائِبُهُ هُوَ الَّذِي لَمْ تَنْتَهِ الْجِنُّ إِذْ سَمِعَتْهُ حَتَّى قَالُوا { إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ } مَنْ قَالَ بِهِ صَدَقَ وَمَنْ عَمِلَ بِهِ أُجِرَ وَمَنْ حَكَمَ بِهِ عَدَلَ وَمَنْ دَعَا إِلَيْهِ هَدَى إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Ertinya: Ingat", sesungguhnya akan berlaku fitnah", Saya (Ali bin Abi Talib RA) bertanya: "Bagaimana jalan keluar darinya wahai Rasulullah?" Rasulullah bersabda :"(Berpeganglah) kepada Kitab Allah, dalamnya ada cerita orang sebelummu dan berita orang sesudahmu, dan (ia adalah) pemutus apa yang terjadi antara kamu. Kitab Allah ini adalah firman yang pemisah (antara yang hak dan yang bathil) dan ia bukanlah bahan senda gurau, sesiapa yang meninggalkannya (mengabaikannya) kerana sombong, akan dibinasakan Allah, sesiapa yang mencari petunjuk yang lain darinya (selain kitab Allah), akan disesatkan Allah, ia adalah tali Allah yang kuat, IA ADALAH PERINGATAN YANG PENUH HIKMAH, IA ADALAH (PEMBIMBING KE) JALAN YANG LURUS, IA TIDAK CONDONG PADA (TIDAK MENGIKUT) HAWA NAFSU (MANUSIA), IA TIDAK BERAT PADA SETIAP LIDAH, PARA ULAMA' TIDAK AKAN KENYANG (DARI MENGKAJI SERTA MENDALAMINYA), IA TIDAK USANG (JEMU) WALAU BANYAKNYA DIULANG (BACAANNYA), KEAJAIBANNYA TIDAK ADA PENGHUJUNG, para jin tidak berhenti (secara kosong) ketika mendengarnya, mereka lantas berkata:  (Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Quran yang menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya)(surah al-Jinn [72:1-2]). Sesiapa berkata dengannya, maka benarlah ia, barangsiapa mengamalkannya, akan diberi pahala, orang yang memutuskan hukum dengannya pasti berlaku adil dan barang siapa menyeru kepada (penghayatan)nya akan mendapat petunjuk ke jalan yang lurus" (Sunan al-Tirmidhi) (Hadith ini dinilai Dhaif atau lemah oleh Imam al-Tirmidhi).

Bayangkan apa akan jadi jika Allah tidak menurunkan al-Quran kepada baginda Rasulullah SAW? Kita pasti tidak akan mengenali siapa nabi Muhammad SAW. Kita juga mungkin tidak akan mengenali Islam dan siapa Tuhan kita. Kita mungkin masih bergelumang dengan berbagai anutan agama yang tidak tentu jalan akhirnya.

Oleh itu kita wajib bersyukur seumur hidup kerana rahmat dan kasih sayang Allah yang menurunkan kitab ini. Syukur dengan Nuzul al-Quran bermaksud mengambil segala isi kandungannya secara benar, menyeluruh dan adil. Kita tak mahu orang Islam yang cacat iman berinteraksi dengan al-Quran. Kita tak mahu Muslim yang lidahnya tidak putus membaca al-Quran namun akhlaknya yang buruk memfitnah kesucian al-Quran. Kita juga tak mahu Muslim yang agresif memperjuangkan Tajwid dan seni lagu al-Quran tetapi sangat “alahan” untuk mengamalkan isi kandungannya. Kita tak mahu merosakkan rasa syukur dengan Nuzul al-Quran dengan semua itu.

Demi untuk benar-benar menghargai ni’mat Nuzul al-Quran, saya cadangkan beberapa langkah atau senarai semak (checklist) yang boleh menjadi bukti syukur kita kepada ni’mat Nuzul al-Quran:

1) Ikhlaskan niat dalam mendalami al-Quran sebagai langkah mengenal Allah dan mensyukuri ni’matNya ini. Jangan sesekali berniat mencari sedikit habuan dunia dengan menunggang agama. Ambillah pengajaran dari sabda Rasulullah SAW ini:

مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ لِيُبَاهِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيَصْرِفَ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ فَهُوَ فِي النَّارِ

Ertinya: Sesiapa yang menuntut ilmu dengan tujuan untuk berdebat dengan manusia bodoh yang jahil, atau berbangga dengan ulama atau menarik perhatian manusia kepadanya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka (Sunan Ibn Majah).

2) Memperuntukkan masa khusus dalam bentuk “KUANTITI DAN KUALITI” ketika berinteraksi dengan al-Quran. Kita perlu ada 2 masa iaitu masa untuk bacaan bertajwid dalam “kuantiti” yang besar kerana himpunan pahala akan bertambah dengan kuantiti huruf al-Quran yang dilantunkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Ertinya: Sesiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajkan itu digandakan 10. Aku tidak kata bahawa ALIF-LAM-MIM itu satu huruf, sebaliknya Alif itu (dikira) satu huruf, Lam juga (dikira) satu huruf dan Mim juga (dikira) satu huruf (Sunan al-Tirmidhi).

Masa kedua pula adalah masa untuk Tadabbur (Memahami dan menghayati) dengan “kualiti” kefahaman yang baik. Bacaan untuk tadabbur elok dipilih pada waktu minda sedang tenang dan segar. Bahkan inilah matlamat utama penurunan al-Quran:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آَيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Ertinya: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar (Sad[38:29]).

3) Cuba fahami terlebih dahulu beberapa surah yang sangat sinonim dengan kehidupan seharian atau yang sering kita baca seperti al-Fatihah, 3 Qul dan Yasin. Usaha ini akan membangkitkan rasa ghairah untuk turut memahami surah lain dalam al-Quran.

4) Perlu sentiasa menggali isi al-Quran dari sumber yang sahih dan benar. Penentuan ini boleh dirujuk berdasarkan kelayakan orang yang menyampai ilmu berkaitan agama kerana ilmu agama adalah suatu ilmu yang sangat luas dan mempunyai bidang kepakaran berbeza. Jadikan panduan Muhammad ibn Sirin RA iaitu seorang Tabi’in tersohor ini sebagai panduan:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

Ertinya: Sesungguhnya ilmu ini (ilmu berkaitan al-Quran dan al-Sunnah) adalah agama, maka perhatikan dari siapa kamu mempelajari agamamu (Sahih Muslim).

5)  Berdoa secara konsisten agar diberikan rasa cinta yang mendalam terhadap al-Quran. Apabila cinta sudah berputik, orang beriman pasti akan menjadikannya teman hidup. Usaha ini seiring dengan doa Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ وَابْنُ أَمَتِكَ نَاصِيَتِي بِيَدِكَ مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي وَنُورَ صَدْرِي وَجِلَاءَ حُزْنِي وَذَهَابَ هَمِّي

Ertinya: Ya Allah! Sesungguhnya aku ini adalahlah hambaMu, anak kepada hambaMu (lelaki dan perempuan), ubun-ubunku mutlak pada tanganMu, telah tetap padaku hukumMu, adil padaku ketentuanMu. Aku mohon dengan semua nama yang Engkau miliki, sama ada yang Engkau namakan sendiri untuk diriMu, atau namaMu yang Engkau pernah ajarkan kepada mana-mana makhlukMu, atau (namaMu) yang pernah Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang Hanya Engkau ketahui dalam ilmu ghaib di sisiMU, (aku mohon dengan semua itu) agar Engkau menjadikan al-Quran sebagai penghibur hatiku, sinar bagi hati jantungku, penghilang kesedihanku dan penghapus kesusahanku (Musnad Ahmad).

Dalam bicara metafora, saya sifatkan Nuzul al-Quran adalah hari raya terbesar yang Allah kurniakan kepada umat Islam. Tanpa turunnya al-Quran, kita tak mungkin dianugerahi “Idul Adha atau ‘Idul Fitri. Oleh itu, setelah berakhir Ramadhan dan Syawwal nanti, raikan Nuzul al-Quran ini setiap saat, setiap hari, sepanjang tahun, seumur hidup dan jangan hanya bermusim dalam bulan Ramadhan sahaja. Perjalanan hidup kita sepatutnya DI”OKSIGEN”KAN terus dengan al-Quran sehingga litar lumba hidup kita ini berakhir. Biar nanti al-Quran juga yang menyambut ketibaan kita ketika bangkit di akhirat dan melangkah masuk ke syurga sebagaimana hadith berikut, Insya Allah:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Ertinya: Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al- Baqarah dan Ali 'Imran, kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti, seperti 2 tompok awan menaungi pembacanya, atau seperti 2 kelompok burung yang sedang terbang dalam formasi hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah, kerana membacanya akan mengundang berkat. Meninggalkannya akan mengundang penyesalan, dan pembacanya tidak dapat dikuasai (di kalahkan) oleh ahli sihir (Sahih Muslim).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...