Tuesday, June 21, 2016

MINTA PADA ALLAH BUKAN ANJING!

MINTA PADA ALLAH BUKAN ANJING!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ulasan ringkas selepas terawih 8 rakaat. Malam tadi adalah malam ke 15 Ramadhan (19 Jun 2016). Antara isu yang diulas juga adalah berkaitan “kisah anjing pengiring 7 pemuda gua.”

“Datin! Kalau Datin nak lepas sekatan kastam di airport, Datin tulis perkataan Qitmir pada setiap beg yang Datin bawa. Insya Allah selamat”.

Petua pelik si Ustaz dilaksanakan sepenuhnya oleh Datin “S ”dan ternyata semua beg yang dibawa berjaya melepasi sekatan kastam di Heathrow Airport. Selepas pulang ke Malaysia, beliau bercerita pengalamannya menggunakan perkataan QITMIR itu kepada anak saudaranya. Pada suatu hari, anak saudaranya “mewiridkan” perkataan QITMIR untuk melepasi sekatan jalan raya oleh pihak polis. Ketika sekatan dibuat cukai jalan keretanya baru mati dan dia berjaya melepasi sekatan tersebut. Yakin dengan “kuasa si QITMIR” anak saudaranya langsung  menempah kalung bertulis perkataan QITMIR. Kalung itu kemudiannya dipakainya sepanjang masa sebagai azimat. Inna Lillah! Mudahnya manusia jahil diperdaya syaitan dengan syirik.

Al-Qung Kisah anjing pengiring 7 pemuda  memang disebut Allah dalam surah al-Kahfi. FirmanNya:

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ

Ertinya: Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; SEDANG ANJING MEREKA menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua (al-Kahf[18:18]).

Al-Quran langsung tidak menamakan si anjing sebagai QITMIR. Penamaan itu diambil dari  riwayat Isra’iliyat yang tidak dapat dipastikan status sahihnya. Oleh itu, nama si anjing tidak penting untuk dibincangkan. Pun begitu, jangan salah memahami kisah mereka. “SI ANJING TIDAK MEMPUNYAI APA-APA KUASA KERANA IA SEKADAR MENUMPANG TUAH 7 TUANNYA YANG SOLEH” (Tafsir Ibn Kathir). JIKA TIDAK KERANA “TUAH MENGIRINGI DAN MENJAGA” 7 ORANG SOLEH ITU, PASTI SI ANJING AKAN MATI LANTAS HANCUR MEREPUT  SEPERTI HAIWAN LAIN. Oleh itu, sangat salah jika disandarkan kuasa keselamatan kepada si anjing. Inilah contoh syirik yang mudah tersebar jika tidak memahami konsep TAWHID yang sebenar.

Selain itu menurut Bahasa Arab dan al-Quran, perkataan QITMIR bermaksud selaput halus pada biji kurma (rujuk gambar). Ia menggambarkan betapa  berhala sembahan Musyrikin (termasuklah juga  tangkal dan azimat) langsung tidak memiliki apa-apa kuasa memberi manafaat atau menghindari mudarat penyembahnya. Mereka langsung tiada kuasa "WALAU SEKADAR SELAPUT PUTIH PADA BIJI KURMA." Firman Allah:

يولِجُ الَّيلَ فِى النَّهارِ وَيولِجُ النَّهارَ فِى الَّيلِ وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ كُلٌّ يَجرى لِأَجَلٍ مُسَمًّى ۚ ذٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُم لَهُ المُلكُ ۚ وَالَّذينَ تَدعونَ مِن دونِهِ ما يَملِكونَ مِن قِطميرٍ

Ertinya: Allah jua yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti) dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagiNyalah kuasa pemerintahan; sedang mereka yang kamu sembah (yang lain dari Allah) tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma (Fatir[35:13]).

Jangan sampai tersesat dalam terang sedangkan peta agama sudah ada di depan mata. Tambah malang  apabila sesat itu berpunca dari kemalasan membuka peta agama atau mendalami agama dari sumbernya yang sah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...