PRINSIP TERAPI PESAKIT KOMA DALAM SURAH AL-KAHFI?
Oleh:Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Ulasan ringkas selepas terawih 8 rakaat. Seperti biasa saya akan baca ayat dalam juzuk sempena malam Ramadhan. Malam tadi adakah malam ke 15 Ramadhan (19 Jun 2016). Saya baca ayat dalam juzuk 15 iaitu surah al-Kahfi berkisar kisah tidur 7 pemuda gua.
Pergerakan dalam tidur adalah tindakan semulajadi di luar kawalan manusia. Ia membantu melancarkan pergerakan darah dan mengekalkan kesihatan. Tidur statik yang lama tanpa pergerakan tidak baik untuk kesihatan. Oleh sebab itu Allah menyebut keadaan tidur 7 pemuda dalam gua mengalami pergerakan berterusan. Firman Allah:
وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا
Ertinya: Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka (al-Kahf [18:18]).
Pernah dahulu ketika mengajar ayat ini, seorang murid saya yang juga seorang Doktor perubatan Brig. Jen. Prof. Dato’ Dr. Zin bin Bidin berkongsi maklumat tentang rawatan pesakit koma di hospital. Pesakit koma biasanya terdedah kepada berbagai komplikasi kesihatan yang menjejaskan fungsi tubuh badan mereka seperti pengecutan otot (atrophy), pengerasan sendi badan, jangkitan kudis pada bahagian belakang dan perjalanan darah yang tidak lancar. Sekiranya komplikasi ini tidak ditangani sewajarnya, para pesakit koma boleh mengalami lumpuh atau mati.
Bagi mengelakkan semua komplikasi tersebut, pihak Hospital biasanya akan membantu para pesakit koma dengan melakukan aktiviti pergerakan secara berskala setiap hari. Pihak hospital biasanya menggunakan mesin penggerak khusus yang dinamakan sebagai “passive movement machine”. Mesin ini datang dalam bentuk katil berenjin yang dikawal oleh computer. Tilam berangin atau “ripple mattress” juga digunakan untuk meransang gerakan pada tubuh pesakit koma. Inilah tilam yang kami gunakan untuk ibu saya yang sudah 4 tahun lebih koma di kampung (Kota Bharu).
Rawatan sedemikian sedikit sebanyak membantu para pesakit koma untuk mengekalkan tahap kesihatan fizikal mereka kerana mungkin pada suatu hari nanti mereka akan kembali sedar seperti orang normal yang lain.
Mengulas tentang pergerakan dalam tidur 7 pemuda tersebut, pakar tafsir al-Quran di kalangan sahabat, Abdullah ibn ‘Abbas RA menjelaskan mereka digerakkan Allah secara semula jadi untuk memastikan tubuh mereka kekal selamat dan tidak dimakan oleh bumi (Tafsir al-Tabari).
Maha Suci Allah yang sudah menyebut prinsip tersebut dalam al-Quran.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment