Thursday, June 30, 2016

INDIANA JONES "BERTABARRUK" DENGAN PETI NABI MUSA?

INDIANA JONES “BERTABARRUK” DENGAN PETI NABI MUSA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Watak Dr. Indiana Jones lakonan Harrison Ford dalam filem Raiders of The Lost Ark sangat patuh kepada agamanya. Antara satu sumbangannya sebagai ahli arkeologi dalam filem itu adalah mencari serta menyelamatkan peti simpanan barang peninggalan nabi Musa AS dari jatuh kepada pihak NAZI yang berhasrat menakluki dunia. Peti yang digelar “The Ark of Covenant” ini dikatakan mempunyai kuasa ketuhanan yang menjadi penghubung antara dunia dan langit. Ia juga memiliki kuasa tak terbatas yang mahu dieksploit pihak NAZI menjadi senjata pemusnah.

Inilah fiksyen yang dibawa oleh pengarah beragama Yahudi dari Hollywood Steven Spielberg. Filem aksi ini pernah pecah panggung pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1981. Pun begitu, ramai yang tak perasan bahawa kisah peti peninggalan barangan nabi Musa AS ini turut disebut oleh al-Quran. Firman Allah:

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ آَيَةَ مُلْكِهِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ التَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَبَقِيَّةٌ مِمَّا تَرَكَ آَلُ مُوسَى وَآَلُ هَارُونَ تَحْمِلُهُ الْمَلَائِكَةُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَةً لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Ertinya: Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang yang beriman". (al-Baqarah[2:248]).

Kisah ini disebut dalam ayat 246 – 251 surah al-Baqarah. Ringkasnya, selepas zaman nabi Musa AS, Bani Isra’il telah ditindas oleh ramai penjajah antaranya Raja Jalut. Peti yang menyimpan barang peninggalan nabi Musa yang menjadi lambang kemuliaan Bani Isra’il turut hilang. Ketika kegawatan ini, bangsawan Bani Isra’il meminta agar seorang nabi dalam kalangan mereka yang dikatakan bernama nabi Samwil AS agar memohon petunjuk dari Allah siapakah yang layak dilantik sebagai raja yang baharu. Allah memberikan petunjuk bahawa Talut yang bukan dari darah bangsawan menjadi raja. Perlantikan ini pada awalnya tidak dipersetujui golongan bangsawan, sehinggalah Allah membuktikan kelayakan Talut dengan penghantaran “PETI YANG MENYIMPAN BARANG PENINGGALAN NABI MUSA DAN HARUN” di hadapan rumah Talut (Tafsir Ibn Kathir & Tafsir al-Razi).

Penghantaran peti secara ajaib kepada Raja Talut menjadi sumber inspirasi yang baharu bagi Bani Isra’il untuk kembali kepada ajaran nabi Musa. Kisah ini menunjukkan kemuliaan Bani Isra’il terletak pada SEJAUH MANA MEREKA MAHU KEMBALI KEPADA AJARAN NABI MUSA AS. Saya juga tidak menemui riwayat yang menceritakan Bani Isra’il BERKUMPUL DALAM DEWAN BESAR MENCIUM ATAU MENJUNJUNG BARANGAN DALAM PETI INI sebagai suatu lambang menambah keberkatan atau TABARRUK.

Perihal berkat barangan para nabi pernah disinggung Allah dalam kisah nabi Yusuf AS.  Baginda menghantar bajunya yang penuh berkat bersulam mukjizat untuk merawat sakit mata ayahandanya yang sudah lama menderita sakit rindu:

اذْهَبُوا بِقَمِيصِي هَذَا فَأَلْقُوهُ عَلَى وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيرًا وَأْتُونِي بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ

Ertinya: Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya" (Yusuf [12:93]).

Benar sekali! Baju Yusuf mengandungi keberkatan yang langsung menyembuhkan sakit nabi Ya’qub:

فَلَمَّا أَنْ جَاءَ الْبَشِيرُ أَلْقَاهُ عَلَى وَجْهِهِ فَارْتَدَّ بَصِيرًا قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ مِنَ اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya: Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu dia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?" (Yusuf [12:96]).

Mengambil berkat dari barang peninggalan Rasulullah SAW memang diiktiraf para ulama. Banyak juga riwayat menyebut bagaimana para sahabat Rasulullah SAW bertabarruk dengan barang peninggalan Rasulullah SAW. Pun begitu, wajib difahami dengan jelas bahawa kemuncak kegemilangan dan kecemerlangan para sahabat dalam beragama bukan kerana tabarruk mereka dengan rambut, selipar, jubah dan tongkat Rasulullah SAW semata. Kemuliaan serta kehebatan para sahabat sebagai generasi terbaik berpunca daripada TABARRUK mereka dengan ajaran Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (31) قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (32)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah MAKA IKUTILAH DAKU, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): "TAATLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN RASULNYA. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang kafir (Ali ‘Imran [3:31-32]).

Ayuh! Marilah kita bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah SAW yang “PASTI ASLI IAITU AL-QURAN DAN SUNNAH.”

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...