Yesterday was also my ustaz's birthday. We share the same day but different number of years. He's 40 and I am 58.
"Semalam usia saya mencecah 40 tahun Masihi. Dalam perkiraan Hijri ia sudah mencecah 42 tahun. Terima kasih atas semua ucapan. Di sini saya kongsi TAZKIRAH 40 untuk diri saya dan semua...
USIA 40 MENYINGKAP BANYAK HAKIKAT HIDUP..
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Apabila usia mencecah 40, biasanya mata sudah mula rabun, tapi mata hati sepatutnya semakin terang melihat hakikat hidup di bumi Allah. Uban sudah mengambil tempat di kepala, seharusnya hati juga semakin putih sebagaimana putihnya uban. Tulang empat kerat semakin lemah, tapi kekuatan hati untuk menyimpan bekal ke negeri akhirat sepatutnya semakin kuat kerana masa berbaki sudah suntuk dalam lingkungan 20 tahun sahaja lagi.
Dalam banyak keadaan hati juga banyak teringat kepada pengorbanan ibu bapa yang banyak berjasa kepada kita. Tanpa mereka berdua siapalah kita.
Itulah gaya pemikiran yang biasa didengar dari para sahabat yang sudah masuk ke kelab 40 tahun. Adakah ia satu kebetulan? Tidak! Ia bukan kebetulan tetapi suatu kitaran fitrah yang Allah campakkan ke dalam hati orang yang mencecah 40 tahun Hijri dan Masihi.
Cukuplah ayat ini menjadi "tukul besar" mengetuk ego manusia yang sebelum ini selalu berasa diri hebat, senantiasa muda dan cukup amalan..
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Ertinya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur "40 TAHUN", berdoalah dia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)" (al-Ahqaf [46:15]).
Pengajaran mudah dari ayat untuk diri sendiri dan para sahabat yang juga mencecah 40 tahun adalah:
1) Pangkal ayat menceritakan jasa ibu bapa. Manusia yang mencecah 40 biasanya sudah berada dalam "kasut" ibu bapa mereka dahulu. Kematangan sudut pandang juga menjadikan mereka faham secara praktikal dan mendalam pengorbanan ibu bapa dahulu. Lalu hati berasa syahdu mengenang banyaknya dosa kepada ibu bapa dan betapa sangat penting arahan Allah agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa yang berulang kali disebut dalam al-Quran.
2) Tengah ayat menceritakan orang yang mencecah 40 tahun berdoa untuk anak keturunan mereka dalam kebaikan. Ini kerana anak adalah aset berharga di dunia dan di akhirat. Pada ketika ini "status rohani" anak lebih diimpikan berbanding "status material". Rindu sayang pada anak dan isteri yang soleh juga membuak-buak agar dapat bersama mereka kelak dalam syurga.
3) Masa dirasakan suntuk kerana mengenang banyaknya ia sudah kita buang semasa muda dahulu. Lalu hujung ayat mengajak kita agar segera bertaubat dan berserah sepenuhnya kepada Allah.
Bagi saya inilah kefahaman mudah "life begins at 40" menurut neraca Islam.
Kesimpulannya beruntunglah manusia yang matang dengan sudut pandang yang bertiga seperti di atas JAUH SEBELUM MENCECAH USIA 40. Kematangan ini boleh dipacu dengan "menjiwai" agama dan al-Quran. Ayuh bersama matangkan minda dan hati dengan mendalami serta menghayati Islam.
No comments:
Post a Comment