Tuesday, March 1, 2016

PELITA HIDUP PENDUDUK ANTAKIYAH DITIUP PADAM

PELITA HIDUP PENDUDUK ANTAKIYAH DITIUP PADAM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (Yasin [36:28-32]) pada 23 Februari 2016. Antara isunya adalah kisah kemusnahan penduduk Antakiyah.

Aduhai malangnya nasibmu wahai penduduk Antakiyah yang degil! Peluang dan kasih sayang Allah yang menghantar ubat merawat kebejatan akhlak dan akidah kau dibuang begitu sahaja. Akibatnya, kamu musnah dilanda azab Allah.  Sepatutnya kamu tahu bahawa rahmat Allah jauh lebih luas berbanding murkaNya:

قَالَ عَذَابِي أُصِيبُ بِهِ مَنْ أَشَاءُ وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ

Ertinya: Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan RAHMATKU MELIPUTI SETIAP SESUATU; (al-A’raf [7:156]).

Jika ditanya adakah Allah mahu menghumban hambaNya ke neraka, jawapannya “TIDAK,” namun apakan daya degil dan jahatmu wahai manusia mengatasi rahmat Allah yang tidak bertepi. Rahmat Allah terbukti apabila Dia tidak membiarkan penduduk Antakiyah berterusan gila dalam penyembahan berhala tetapi diutus kepada mereka 3 penyelamat dalam ayat terdahulu (Yasin [36:14-19]).

Bak kata pepatah, diberi susu dibalas tuba. 3 doktor rohani yang diutus untuk merawat sakit rohani kronik penduduk Antakiyah diancam bunuh (ayat 18). Sungguh dahsyat dan tidak mengenang budi! Bukan setakat itu, mereka sanggup membunuh pula si Habib al-Najjar iaitu lelaki beriman yang menyokong para utusan tersebut (ayat 20 – 27). Kejahatan mereka akhirnya menjadi sebab kemusnahan mereka:

وَمَا أَنْزَلْنَا عَلَى قَوْمِهِ مِنْ بَعْدِهِ مِنْ جُنْدٍ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا كُنَّا مُنْزِلِينَ (28) إِنْ كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً فَإِذَا هُمْ خَامِدُونَ (29) يَا حَسْرَةً عَلَى الْعِبَادِ مَا يَأْتِيهِمْ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ (30)

Ertinya: Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah dia (Habib al-Najjar yang mati dibunuh) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya. (Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi. Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek dan memperolokkannya. (Yasin [36:28-30]).

Penduduk Antakiyah akhirnya mati bergelimpangan setelah menerima satu teriakan keras yang membunuh mereka.  Bayangkan betapa hebat kuasa Allah! Hanya satu jeritan keras sahaja sudah cukup memusnahkan mereka satu negeri. Maksud sebenar perkataan –خامدون  - pada hujung ayat 29 adalah padam seperti padamnya pelita (Tafsir Ibn ‘Asyur). Penggunaan perkataan ini sangat sesuai menggambarkan kehidupan manusia yang menyala seperti api dan padamnya api itu seperti mati. Ia juga menjelaskan betapa mudahnya Allah memusnahkan makhluknya. Bagai meniup sebuah pelita! Itulah hakikat kehidupan manusia yang sangat lemah.

Kisah ini sudah lama berlaku sebelum zaman Rasulullah SAW. Ia diturunkan dalam surah Yasin kepada penduduk Mekah dengan tujuan memberi amaran kepada mereka yang begitu degil menolak dakwah baginda. Jika mereka berterusan menentang baginda, tidak mustahil sejarah Antakiyah bakal berulang di Mekah. Sungguh mudah bagi Allah “memadamkan mereka” bak seseorang meniup pelita.

Bagi kita yang membaca kisah 2 zaman ini pula, cerita mereka wajib menjadi pengajaran buat kita. Jangan sombong menentang Allah! Sudah berapa ramai manusia sombong “ditiup padam” ketika keangkuhan menguasai diri. Apabila pelita hidup sudah padam, tiada lagi guna segala sesalan dalam diri. Menyesal sesudah mati sama seperti kisah yang disebut Allah dalam ayat ini:

قَالُوا رَبَّنَا غَلَبَتْ عَلَيْنَا شِقْوَتُنَا وَكُنَّا قَوْمًا ضَالِّينَ (106) رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْهَا فَإِنْ عُدْنَا فَإِنَّا ظَالِمُونَ (107) قَالَ اخْسَئُوا فِيهَا وَلَا تُكَلِّمُونِ (108) إِنَّهُ كَانَ فَرِيقٌ مِنْ عِبَادِي يَقُولُونَ رَبَّنَا آَمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّاحِمِينَ (109) فَاتَّخَذْتُمُوهُمْ سِخْرِيًّا حَتَّى أَنْسَوْكُمْ ذِكْرِي وَكُنْتُمْ مِنْهُمْ تَضْحَكُونَ (110) إِنِّي جَزَيْتُهُمُ الْيَوْمَ بِمَا صَبَرُوا أَنَّهُمْ هُمُ الْفَائِزُونَ (111)

Ertinya: Mereka menjawab: "Wahai Tuhan kami, kami telah dikalahkan oleh sebab kecelakaan kami, dan dengan itu jadilah kami kaum yang sesat.  "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang yang zalim." (Allah) berfirman: "Diamlah kamu dengan kehinaan dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu! "Sesungguhnya ada sepuak diri hambaKu (di dunia dahulu) memohon kepadaKu dengan berkata: ` Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat’.  "Maka kamu jadikan mereka bahan ejekan sehingga ejekan kamu kepada mereka menyebabkan kamu lupa mengingati balasanKu, dan kamu pula sentiasa tertawakan mereka. "Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya" (al-Mu’minun [23:106-111]).

Semoga kita semua bahagia bersama Habib al-Najjar di akhirat kelak dan tidak tergolong dalam kalangan yang mengejek di dunia tetapi merana di akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...