Tuesday, March 1, 2016

KISAH KARUT GERGASI 'UJ BIN 'UNUQ

KISAH KARUT GERGASI ‘UJ BIN ‘UNUQ
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-Ma’idah [5:21-22]) pada 27 Februari 2016. Antara isunya adalah kisah karut gergasi yang mendiami Palestin pada zaman nabi Musa AS.

Memang melopong mulut apabila mendengar kehebatan si gergasi Palestin yang bernama ‘Uj bin ‘Unuq. Apa tidaknya, saiznya sungguh besar sehingga 12 naqib atau wakil Bani Is’rail yang diutus nabi Musa AS merisik keadaan penduduk Palestin umpama awang kenit pada tangan ‘Uj. Itulah kisah si gergasi yang disebut dalam sesetengah kisah nukilan sesetengah ulama Tafsir.

Masalahnya adakah kisah ini benar? Kisah si gergasi ini biasanya akan disebut dalam kisah risikan nabi Musa As dan Bani Isra’il sebelum mereka masuk ke Palestin. Firman Allah:

يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَى أَدْبَارِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ (21) قَالُوا يَا مُوسَى إِنَّ فِيهَا قَوْمًا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَنْ نَدْخُلَهَا حَتَّى يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنْ يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنَّا دَاخِلُونَ (22)

Menurut sebahagian riwayat, tinggi ‘Uj bin ‘Unuq mencecah sehingga 3000 hasta. Bukan setakat itu, gergasi ini dikatakan sudah hidup semenjak zaman nabi Nuh lagi. Menurut Imam Ibn Kathir, kisah ini wajib ditolak kerana bertentangan dengan beberapa nas, antaranya:

Saiz nabi Adam pun baru 60 hasta sebagaimana dilaporkan sebuah hadith:

خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ عَلَى صُورَتِهِ طُولُهُ سِتُّونَ ذِرَاعًا فَلَمَّا خَلَقَهُ قَالَ اذْهَبْ فَسَلِّمْ عَلَى أُولَئِكَ النَّفَرِ مِنْ الْمَلَائِكَةِ جُلُوسٌ فَاسْتَمِعْ مَا يُحَيُّونَكَ فَإِنَّهَا تَحِيَّتُكَ وَتَحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ فَقَالُوا السَّلَامُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَزَادُوهُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَكُلُّ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ آدَمَ فَلَمْ يَزَلْ الْخَلْقُ يَنْقُصُ بَعْدُ حَتَّى الْآنَ
Ertinya: Allah mencipta Adam dalam ketinggian 60 hasta. Setelah siap ciptaannya, Allah berkata “Pergilah bertemu para malaikat yang sedang duduk itu dan dengarkan apakah ucapan yang mereka berikan padamu, kerana ia akan menjadi ucapan selamat untukmu dan anak keturunanmu. Adam lalu mengucapkan salam “Sejahtera ke atas kalian,” para malaikat menjawab “Sejahtera ke atasmu bersama rahmat Allah.” Mereka menambah jawapan salam kepada Adam dengan tambahan “Dan Rahmat Allah.” Maka setiap manusia yang dimasukkan ke dalam syurga akan dicipta dalam bentuk serta saiz Adam. Saiz ciptaan manisia semakin berkurang selepas itu sehingga sekarang (Sahih al-Bukhari).

Jika ‘Uj bin “unuq yang kafir sudah hidup semenjak zaman nabi Nuh, dia pastinya sudah mati lemas kerana baginda berdoa agar semua manusia yang kufur dimusnahkan dalam banjir tersebut:

وَقَالَ نُوحٌ رَبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الْأَرْضِ مِنَ الْكَافِرِينَ دَيَّارًا (26) إِنَّكَ إِنْ تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا عِبَادَكَ وَلَا يَلِدُوا إِلَّا فَاجِرًا كَفَّارًا (27)

Ertinya: Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang kafir itu hidup di atas muka bumi! "Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar (Nuh[71:26-27]).

Juga firman Allah:

وَهِيَ تَجْرِي بِهِمْ فِي مَوْجٍ كَالْجِبَالِ وَنَادَى نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَبْ مَعَنَا وَلَا تَكُنْ مَعَ الْكَافِرِينَ (42) قَالَ سَآَوِي إِلَى جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاءِ قَالَ لَا عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِلَّا مَنْ رَحِمَ وَحَالَ بَيْنَهُمَا الْمَوْجُ فَكَانَ مِنَ الْمُغْرَقِينَ (43)

Ertinya: (Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang yang kafir". [11.43] Anaknya menjawab: "Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "HARI INI TIDAK ADA SESUATUPUN YANG AKAN DAPAT MELINDUNGI DARI AZAB ALLAH, KECUALI ORANG YANG DIKASIHANI OLEHNYA". Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu jadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang yang ditenggelamkan oleh taufan (Hud[11:42-43]).

Juga firman Allah yang lebih tuntas ini:

فَأَنْجَيْنَاهُ وَمَنْ مَعَهُ فِي الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ (119) ثُمَّ أَغْرَقْنَا بَعْدُ الْبَاقِينَ (120)

Ertinya: Maka Kami selamatkan dia (nabi Nuh AS) dan orang yang bersama dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan berbagai makhluk). Kemudian daripada itu, KAMI TENGGELAMKAN GOLONGAN (KAFIR) YANG TINGGAL (TIDAK TURUT BERSAMA DALAM BAHTERA) (al-Syu’ara’ [26:119-120]).

Kesimpulannya, kisah tersebut memang sedap pada telinga jika dicanang oleh si tukang cerita yang pandai mengatur bicara. Walau sedap atau mampu “memecah panggung” sekalipun, ia wajib ditolak kerana bercanggah dengan nass al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ini, jika mendengar riwayat yang ajaib lagi pelik serta sukar diterima akal yang sihat, semaklah terlebih dahulu kesahihannya. Bimbang kesucian al-Quran akan tercemar dengan cerita karut Isra’iliyyat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...