Monday, February 29, 2016

PARA NABI MENDOAKAN KEBURUKAN KAUM MEREKA?

PARA NABI MENDOAKAN KEBURUKAN KAUM MEREKA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:30]) pada 23 Februari 2016. Antara isunya adalah kisah doa buruk nabi Lut kepada kaumnya.

“Tak ku sangka, rupanya para nabi pun tidak sabar dengan kerenah umat mereka yang degil. Nampak tak kena sikap tak sabar ini dengan status mereka sebagai nabi pihan Allah. Jika mereka boleh doa buruk untuk kaumnya, aku pun boleh juga doakan keburukan untuk orang lain.!”

Ayat di atas mungkin keluar dari lidah manusia jahil setelah mendengar kisah nabi Nuh, nabi Musa dan nabi Lut yang pernah mendoakan kemusnahan kaumnya. Oleh itu, suatu suluhan ilmu wajib dipancarkan agar salah faham ini tidak merebak dan meruntuhkan keyakinan betapa para nabi adalah maksum dan terpelihara daripada kesalahan ketika menyampaikan dakwah.

Memang dalam al-Quran, Allah menyebut beberapa ayat yang menceritakan para nabi pernah mendoakan kemusnahan kaumnya. Ia dimulai dengan nabi Nuh AS:

وَقَالَ نُوحٌ رَبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الْأَرْضِ مِنَ الْكَافِرِينَ دَيَّارًا (26) إِنَّكَ إِنْ تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا عِبَادَكَ وَلَا يَلِدُوا إِلَّا فَاجِرًا كَفَّارًا (27)

Ertinya: Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang kafir itu hidup di atas muka bumi! "Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar (Nuh[71:26-27]).

Juga doa nabi Musa AS kepada Fir’awn:

وَقَالَ مُوسَى رَبَّنَا إِنَّكَ آَتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَنْ سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَى أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّى يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

Ertinya: Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua kaumnya barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya (Yunus[10:88]).

Begitu juga nabi Lut AS kepada kaumnya:

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ السَّبِيلَ وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنْكَرَ فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّهِ إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ (29) قَالَ رَبِّ انْصُرْنِي عَلَى الْقَوْمِ الْمُفْسِدِينَ (30)

Ertinya: "Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat perhimpunan kamu?" Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): "Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang yang benar". Nabi Lut berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tolonglah daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka)" (al-‘Ankabut [29:29-30]).

Ketika mengulas ayat dari surah al-‘Ankabut ini, Imam al-Razi mempertahankan tindakan nabi Nuh dan nabi Lut yang berdoa tajam untuk kemusnahan kaumnya. Menurutnya para nabi tidak akan mendoakan kemusnahan sesebuah kaum melainkan setelah tahu bahawa kaumnya itu tidak lagi mempunyai nilai kebaikan. Nabi Nuh melihat kaumnya akan terus kufur dan akan berpesan keras kepada zuriat keturunan mereka agar kekal dalam kekufuran. Begitu juga kaum nabi Lut, fitrah manusiawi mereka sudah rosak dengan seks songsang. Kahwin songsang juga tidak akan melahirkan zuriat yang baru. Jika lahir sekalipun, zuriat mereka akan rosak fitrahnya akibat berleluasanya seks songsang dalam kaumnya (Tafsir al-Razi). Oleh itu, ubat terbaik bagi kaum yang rosak ini adalah kemusnahan muktamad.

Ringkasnya para nabi seperti doktor, ada masa sesetengah penyakit masih boleh dirawat dengan ubat. Apabila sakitnya sudah merebak, ubat sudah tidak mampu membendung penularannya. Jalan terbaik adalah dengan memotong terus anggota yang sakit. Nabi Nuh dan nabi Lut melihat penularan sakit kaumnya sudah tak mampu diubat, oleh itu jalan terbaik adalah kemusnahan mereka. Jika mereka masih dibiarkan hidup, bimbang sekali sakit mereka akan merebak ke tempat lain.

Itu analisis para nabi yang dibimbing wahyu. Jangan pula kita galak mendoakan keburukan untuk orang lain atas alasan mengikut para nabi. Jauh panggang dari api jika mahu dibandingkan siapa kita dan siapa mereka. Galak berdoa buruk untuk orang lain juga dibimbangi akan menghakis sifat sabar dalam diri. Bagi manusia biasa seperti kita, cukuplah kita berpegang dengan pesanan Rasulullah SAW yang menegah amalan berdoa buruk untuk orang lain:

لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَوْلَادِكُمْ وَلَا تَدْعُوا عَلَى خَدَمِكُمْ وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ لَا تُوَافِقُوا مِنْ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى سَاعَةَ نَيْلٍ فِيهَا عَطَاءٌ فَيَسْتَجِيبَ لَكُمْ

Ertinya: Janganlah kamu mendoakan sesuatu yang buruk ke atas dirimu, anakmu, para pekerjamu dan hartamu. Jika waktu doa itu bertembung dengan saat penerimaan doa, maka ia (semua doa burukmu itu) akan diperkenankan (oleh Allah) kepada kamu (Sahih Muslim & Sunan Abu Dawud).

Selain itu, perlu diingat manusia waras tidak akan suka-suka berdoa buruk untuk orang lain tanpa sebab. Ia berlaku apabila dia dizalimi dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Maka satu-satunya saluran mangsa kezaliman adalah laluan doa kepada Allah. Umpamanya, kita membawa 10 lelaki memukul kawan yang tidak bersalah. Terhina, sakit dan dianiaya menyebabkan si mangsa mengangkat tangan berdoa agar kita dan 10 lelaki itu dimusnahkan Allah. Kita yang baru sahaja menzalimi kawan kita pula berkhutbah “EH! RASULULLAH SAW MELARANG KITA BERDOA BURUK UNTUK ORANG LAIN. ANDA KENA IKUT AJARAN RASULULLAH.” Jika ia benar berlaku, memang sangat ironi dan sangat bodoh khutbah si zalim itu.

Kesimpulannya, jangan disamakan status kita dengan para nabi. Jangan juga menzalimi orang lain kerana kezaliman kita akan mendapat tempias “doa buruk” mangsa yang kita zalimi.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...