Thursday, January 7, 2016

UMUR DAH LANJUT TAPI KEJAP KE KIRI KEJAP KE KANAN

UMUR DAH LANJUT TAPI KEJAP KE KIRI KEJAP KE KANAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Islamic Information Centre Sarawak, Kuching, 6 Januari 2016.

“Ustaz! Bagaimana dengan diri saya ini? Usia dah mencecah 52 tahun, tapi hidup masih terumbang-ambing sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan.”

Dengan mata berkaca lelaki ini bertanya kepada saya usai program "IBRAH RASUL ULUL AZMI DARI JENDELA AL-QURAN" petang tadi. Dari air mukanya saya rasa lelaki ini orang baik. Soalannya seolah menampakkan longgokan dosa yang dilakukannya, tapi saya memahaminya secara terbalik. Beliau sebenarnya orang baik kerana “risau nasib penghujung hidupnya.” Orang sebegini dipuji Allah:

وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آَتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَى رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ (60) أُولَئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُونَ (61)

Ertinya: Dan orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar (bimbang kalau amalan mereka ditolak Allah) kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka; Mereka itulah orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang yang mendahului pada mencapainya (al-Mu’minun [23:60-61]).

Orang yang risaukan dosa mereka sebenarnya memiliki nilai iman yang tinggi. Lihat bicara hadith ini:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ

Ertinya: Sesungguhnya orang beriman (sangat gerun) melihat dosanya seperti dia sedang berdiri di bawah "BUKIT" yang dirisaukan menimpanya, manakala orang yang jahat pula hanya melihat dosanya seperti seekor lalat melintasi hidungnya (Sahih al-Bukhari & Sunan al-Tirmdhi).

Bagi menjawab soalan sebegini, kita wajib memberikan mereka harapan sebagaimana firman Allah:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (53) وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ (54)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai para hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan (al-Zumar [39:53-54]).

Secara ringkas saya berikan 2 panduan kepada beliau iaitu;

1) Memisahkan diri dari kawan yang boleh mendorongnya kepada dosa. Ia langkah awal yang sangat berkesan. Ia difaham dari sebuah hadith yang disabdakan Rasulullah SAW:

كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا فَسَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَاهِبٍ فَأَتَاهُ فَقَالَ إِنَّهُ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ فَقَالَ لَا فَقَتَلَهُ فَكَمَّلَ بِهِ مِائَةً ثُمَّ سَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَجُلٍ عَالِمٍ فَقَالَ إِنَّهُ قَتَلَ مِائَةَ نَفْسٍ فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ فَقَالَ نَعَمْ وَمَنْ يَحُولُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ التَّوْبَةِ انْطَلِقْ إِلَى أَرْضِ كَذَا وَكَذَا فَإِنَّ بِهَا أُنَاسًا يَعْبُدُونَ اللَّهَ فَاعْبُدْ اللَّهَ مَعَهُمْ وَلَا تَرْجِعْ إِلَى أَرْضِكَ فَإِنَّهَا أَرْضُ سَوْءٍ فَانْطَلَقَ حَتَّى إِذَا نَصَفَ الطَّرِيقَ أَتَاهُ الْمَوْتُ فَاخْتَصَمَتْ فِيهِ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ وَمَلَائِكَةُ الْعَذَابِ فَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ جَاءَ تَائِبًا مُقْبِلًا بِقَلْبِهِ إِلَى اللَّهِ وَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الْعَذَابِ إِنَّهُ لَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطُّ فَأَتَاهُمْ مَلَكٌ فِي صُورَةِ آدَمِيٍّ فَجَعَلُوهُ بَيْنَهُمْ فَقَالَ قِيسُوا مَا بَيْنَ الْأَرْضَيْنِ فَإِلَى أَيَّتِهِمَا كَانَ أَدْنَى فَهُوَ لَهُ فَقَاسُوهُ فَوَجَدُوهُ أَدْنَى إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي أَرَادَ فَقَبَضَتْهُ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ قَالَ قَتَادَةُ فَقَالَ الْحَسَنُ ذُكِرَ لَنَا أَنَّهُ لَمَّا أَتَاهُ الْمَوْتُ نَأَى بِصَدْرِهِ

Ertinya: Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang manusia. Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri, "Siapa orang yang paling alim dalam negeri ini?" Maka ditunjukkan orang seorang rahib (pendeta Yahudi). Lalu didatangi rahib itu seraya mengatakan bahawa dia telah membunuh 99 orang manusia. Apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab Rahib: "Tidak!" Maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah korban pembunuhannya 100 orang. Kemudian dia bertanya pula kepada penduduk; "Siapa orang paling berilmu dalam negeri ini?" Maka ditunjukkan orang kepadanya seorang lelaki yang alim. Dia menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh 100 orang. Kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab ulama, "Ya, sudah tentu. Siapa yang sanggup menghalangnya dari bertaubat. Pergilah kamu ke negeri sekian, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama mereka dan “JANGAN KEMBALI LAGI KE NEGERIMU KERANA NEGERIMU ADALAH NEGERI YANG BURUK (DENGAN PENGHUNINYA YANG BOLEH MENDORONGMU MELAKUKAN KEJAHATAN).” Lelaki itu lantas bertolak ke negeri yang ditunjuk si alim. Di tengah perjalanan, lelaki itu meninggal dunia. Maka bertengkarlah malaikat  rahmat dengan  malaikat azab. Kata malaikat rahmat, "Orang ini telah taubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah Ta'ala." Kata malaikat azab, "Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit jua pun." Tiba-tiba datang satu  malaikat dengan rupa manusia, lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, "Ukurlah jarak kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ." Setelah diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang di tujunya. Maka dibawalah dia oleh malaikat rahmat." (Sahih Muslim).

2) Berdamping dengan orang soleh. Oleh kerana sukar mengenalpasti siapakah orang soleh pada zaman ini, saya nasihatkan beliau agar berjinak dengan Surau serta Masjid. Ikatlah diri pada 2 waktu solat yang utama iaitu Maghrib dan Isyak kerana pada 2 waktu ini majlis ilmu selalu dijalankan. Ilmu yang disuburkan bersama teman masjid yang soleh mampu mengubah landskap hidup seseorang untuk menjadi orang yang baik.

Ketika saya memberikannya 2 cadangan ini, matanya kemerahan seakan menahan sebak di dada. Murah air mata kerana mengenang dosa juga petanda iman yang bagus. Sabda Rasulullah SAW:

لاَيَلِجُ النَّارَ رَجْلٌ بَكَى مِنْ خَشْيَةِ اللَّه حَتَّى يَعُودَ اللَّبَنُ في الضَّرْع وَلا يَجْتَمعُ غُبَارٌ في سَبِيلِ اللَّه ودُخانُ جَهَنَّمَ

Ertinya: Tidak akan masuk neraka lelaki (juga wanita) yang menangis kerana takutkan Allah melainkan susu (yang diperah) kembali ke dalam kantungnya (ia suatu kiasan mustahil lelaki tersebut akan dimasukkan ke dalam neraka sebagaimana mustahil susu akan kembali ke dalam kantung asalnya). Dan debu jihad pada jalan Allah tidak akan bersatu dengan asap neraka jahanam (Sunan al-Tirmidhi).

Alhamdulillah, lelaki ini sebenarnya sangat beruntung kerana sedang dipanggil Allah kembali ke pangkal jalan sebagaimana friman Allah:

وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Ertinya: Dan Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa (syurga), dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu) (Yunus [10:25]).

Allah yang menghantar kita ke dunia ini putih lagi suci dari dosa, sangat mahukan kita kembali kepadaNya juga dalam keadaan putih lagi suci. Sebagai manusia, kita tidak boleh lari dari memalitkan jiwa yang suci ini dengan lumpur dosa. Apa yang penting adalah sejuh mana usaha kita untuk kembali membersihkan jiwa kita. Bagaimana caranya? Gunakan “sabun rohani” iaitu taubat nasuha, semoga Allah redha menerima kita kembali.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...