Wednesday, January 6, 2016

CARA MELAZATKAN SUJUD

CARA MELAZATKAN SUJUD

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Setiap kali sujud untuk solat, Ana bayangkan Ana sedang menyertai semua mahkluk Allah lain yang sedang bersujud. Dengan cara ini rasa sedap untuk solat dan sujud.”

Makan pagi kami pada hari itu membuka mata saya untuk satu dimensi baru mengenai solat. Isteri saya berkongsi cara yang digunakannya selepas kami pulang haji untuk menimbulkan rasa rindu pada solat.

Kemuncak solat adalah sujud. Apabila Abu Jahal memberi amaran agar Rasulullah SAW tidak bersolat, Allah menegaskan Rasulullah SAW perlu bertindak sebaliknya:

كَلَّا لَا تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِبْ

Ertinya: Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya (kehendak Musyrikin Quraysh yang melarangmu bersolat), dan (sebaliknya) sujudlah dan dekatkanlah dirimu kepada Allah (dengan solat, taat dan amal soleh)! (al-‘Alaq[96:19]).

Sujud adalah lambang kehambaan seseorang manusia. Sujud juga menjadi saat paling dekat antara hamba dan Allah. Sabda Rasulullah SAW:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Ertinya: Saat paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya dalah ketika dia sedang bersujud. Oleh itu perbanyakkanlah doa (ketika sujud) (Sahih Muslim & Sunan Abu Dawud).

Sebenarnya bukan hanya manusia bersujud kepada Allah. Al-Quran merekodkan hampir semua makhluk selain manusia dan jin bertasbih serta sujud kepada Allah:

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Ertinya: Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun (al-Isra’[17:44]).

Perihal sujud semua makhluk pula Allah berfirman:

وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَظِلَالُهُمْ بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ

Ertinya: Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) baying-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang (al-Ra’d[13:15]).

Juga firman Allah:

وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ مِنْ دَابَّةٍ وَالْمَلَائِكَةُ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Ertinya: Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (para malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya) (al-Naml [16:49]).

Dan firman Allah:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَسْجُدُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ وَالنُّجُومُ وَالْجِبَالُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ وَكَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ وَكَثِيرٌ حَقَّ عَلَيْهِ الْعَذَابُ وَمَنْ يُهِنِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ مُكْرِمٍ إِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يَشَ

Ertinya: Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya (al-Hajj[22:18]).

Dalam sebuah hadith diceritakan seorang sahabat nabi pernah bermimpi melihat sebatang pokok sujud kepada Allah:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي رَأَيْتُنِي اللَّيْلَةَ وَأَنَا نَائِمٌ كَأَنِّي أُصَلِّي خَلْفَ شَجَرَةٍ فَسَجَدْتُ فَسَجَدَتْ الشَّجَرَةُ لِسُجُودِي فَسَمِعْتُهَا وَهِيَ تَقُولُ اللَّهُمَّ اكْتُبْ لِي بِهَا عِنْدَكَ أَجْرًا وَضَعْ عَنِّي بِهَا وِزْرًا وَاجْعَلْهَا لِي عِنْدَكَ ذُخْرًا وَتَقَبَّلْهَا مِنِّي كَمَا تَقَبَّلْتَهَا مِنْ عَبْدِكَ دَاوُدَ …..قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ فَقَرَأَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَجْدَةً ثُمَّ سَجَدَ

Ertinya: Seorang lelaki (Abu Sa’id al-Khudri RA) datang bertemu Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, aku bermimpi seakan aku sedang bersolat di belakang sebatang pokok kemudian aku bersujud, lalu pokok tersebut turut bersujud dan aku mendengar pokok itu berdoa “Ya Allah! Tuliskanlah bagiku dengan sujud ini pahala di sisiMu, dan hapuskan bagiku dengan sujud ini satu kesalahan, dan jadikan sujudku ini simpanan ganjaran di sisiMu, “Dan terimalah ibadahku ini sebagaimana engkau menerima ibadah hambamu Dawud AS.” (Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah).

Sujud dan tasbih makhluk lain selain manusia dan jin bermaksud semuamua tunduk kepada sistem alam yang disusun Allah. Ia juga menunjukkan kepatuhan dan ketaatan mereka kepada Allah di alam semesta (Tafsir al-Baydawi).

Selepas ini sematkan di hati bahawa kita tidak sendirian di alam semesta berdiri di bawah keagungan Allah. Jika makhluk sehebat langit, gunung dan sebagainya sanggup tunduk kepada Allah tanpa engkar, pastinya kita yang serba kerdil lagi hina ini lebih patut merembas dahi kita ke lantai kepada Allah. Semoga cara ini dapat membantu kita mengenal diri sebagai HAMBA dan mencapai kelazatan sujud kepada Allah.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...