Friday, December 25, 2015

SUJUD ADALAH NI'MAT YANG SANGAT BESAR

SUJUD ADALAH NI’MAT YANG SANGAT BESAR

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

25 September 2015, Khemah Mina pada hari Tasyriq.

“Ana pernah tanya beberapa orang Doktor Pakar mengenai lutut Ana ini. Rata-rata mengatakan Ana perlu menjalani pembedahan lutut. Masalahnya, jika pembedahan dijalankan tiada jaminan Ana akan dapat sujud dalam solat seperti biasa. Itu antara sebab Ana menangguhkan pembedahan lutut. Ana rela menahan sakit demi untuk terus sujud. Sujud adalah ni’mat terbesar yang Allah kurniakan kepada kita.”

Kagum saya mendengar ayat Tuan Guru Dr. Abdul Basit ketika kami berbual semasa dalam khemah Mina pada hari Tasyriq. Langkah beliau agak perlahan dan perlu dibantu oleh tongkat. Keadaan lututnya sangat mencabar minda. Itulah ujian Allah untuk beliau.

Sungguh! Mampu bersujud kepada Allah adalah suatu ni’mat yang hanya difahami oleh orang beriman yang tidak lepas sujudnya kepada Allah. Jika kita susuri ayat al-Quran, sujud memang digandingkan dengan pujian kepada orang beriman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, rukuklah serta “SUJUDLAH (MENGERJAKAN SEMBAHYANG)”, dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat) (al-Hajj [22:77]).

Juga firman Allah:

إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآَيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّدًا وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Ertinya: Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat keterangan Kami hanyalah orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat itu, “MEREKA SEGERA MEREBAHKAN DIRI SAMBIL SUJUD (MENANDAKAN TAAT PATUH)”, dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur (al-Sajdah [32:15]).

Ketika memuji Ahli Kitab yang beriman, Allah menyebut mereka sangat mudah bersujud kepadaNya:

قُلْ آَمِنُوا بِهِ أَوْ لَا تُؤْمِنُوا إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا (107) وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولًا (108) وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا (109)

Ertinya:  Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera “TUNDUK SUJUD” (dalam keadaan hiba dan khusyuk); Ertinya:  Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): "Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. "DAN MEREKA SEGERA TUNDUK SUJUD ITU SAMBIL MENANGIS”, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk (al-Isra’[17:107-109]).

Sujud dengan erti kata solat turut menjadi penenang jiwa Rasulullah SAW yang sedang bersedih:

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ (97) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ (98) وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ (99)

Ertinya: Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari ORANG YANG SUJUD. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin (iaitu mati) (al-Hijr[15:97-99]).

Sujud juga menjadi tempat paling dekat antara seorang hamba dengan Allah:

كَلَّا لَا تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِبْ

Ertinya: Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya (kehendak Musyrikin Quraysh yang melarangmu bersolat), dan (sebaliknya) sujudlah dan dekatkanlah dirimu kepada Allah (dengan solat, taat dan amal soleh)! (al-‘Alaq[96:19]).

Kenyataan ayat ini disokong oleh sabda Rasulullah SAW:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Ertinya: Saat paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya dalah ketika dia sedang bersujud. Oleh itu perbanyakkanlah doa (ketika sujud) (Sahih Muslim & Sunan Abu Dawud).

Manusia yang malas bersujud ketika di dunia, akan malu besar di akhirat kelak kerana “GAGAL MEMBENGKOKKAN TUBUH  MEREKA” untuk bersujud di akhirat kelak:

يَوْمَ يُكْشَفُ عَنْ سَاقٍ وَيُدْعَوْنَ إِلَى السُّجُودِ فَلَا يَسْتَطِيعُونَ (42) خَاشِعَةً أَبْصَارُهُمْ تَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ وَقَدْ كَانُوا يُدْعَوْنَ إِلَى السُّجُودِ وَهُمْ سَالِمُونَ (43)

Ertinya: (Ingatkanlah orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat) dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya; Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat (al-Qalam[68:42-43]).

Syukuri ni’mat anggota badan yang mampu bersujud kepada Allah kerana ia sangat dicemburui oleh sesetengah manusa lain. Jangan sampai ni’mat sujud semasa di dunia ditarik Allah dengan sakit di badan. Jangan juga sampai kita dimalukan di akhirat kelak kerana tidak mampu bersujud. Ayuh! Sujudlah sekarang! Usah bertangguh dan panjangkan sujud kita kerana kasih Allah senantiasa menanti kita dalam sujud.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...