HIDUPMU SINGKAT, ISILAH DENGAN ILMU DAN IMAN
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Rum [30:55-57]) pada 17 Februari 2015. Antara isunya adalah gambaran betapa singkatnya hidup manusia dan peranan ilmu sebagai penyiram iman.
Menyesal, sedih dan gentar. Itulah perasaan para pesalah di padang mahsyar kelak. Pada saat itu barulah mereka sedar betapa singkatnya hidup mereka di dunia dahulu. Apakan daya, masa sudah habis, jam tidak mungkin kembali ke belakang:
وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يُقْسِمُ الْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا غَيْرَ سَاعَةٍ كَذَلِكَ كَانُوا يُؤْفَكُونَ (55) وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَالْإِيمَانَ لَقَدْ لَبِثْتُمْ فِي كِتَابِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْبَعْثِ فَهَذَا يَوْمُ الْبَعْثِ وَلَكِنَّكُمْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (56) فَيَوْمَئِذٍ لَا يَنْفَعُ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَعْذِرَتُهُمْ وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ (57)
Ertinya: Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar). Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang yang berilmu serta beriman: "Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah - sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui (kebenarannya)". Maka pada hari itu tidak berguna lagi bagi orang yang zalim, sebarang alasan yang mereka kemukakan untuk melepaskan diri, dan mereka pula tidak diberi peluang untuk memohon keredaan Allah (al-Rum [30:55-57]).
Rasa terkejut mereka itu nampaknya cuba dijadikan alasan untuk memohon peluang kedua. Seakan dikata: “YA ALLAH! KAMI DIBERIKAN PELUANG HIDUP YANG SANGAT SINGKAT SEMASA DI DUNIA DAHULU. SUDILAH KIRANYA ENGKAU BERIKAN KAMI HIDUP SEKALI LAGI UNTUK KAMI TEBUS SEGALA KEKHILAFAN DAHULU.” Auta mereka dipancung tuntas oleh Allah:
وَلَوْ تَرَى إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ فَقَالُوا يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِآَيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (27) بَلْ بَدَا لَهُمْ مَا كَانُوا يُخْفُونَ مِنْ قَبْلُ وَلَوْ رُدُّوا لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ (28) وَقَالُوا إِنْ هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ (29)
Ertinya: Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: "Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman". (Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta. Dan tentulah mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati" (al-An’am [6:27-29]).
Ketika cemas melanda, manusia jahat tampil memberikan berbagai alasan bodoh. Lain pula halnya dengan orang berilmu yang beriman. Mereka tahu benar bahawa peluang yang sekali di dunia ini wajib digenggam sekuatnya. Tidaklah kelak menyesal tak sudah di akhirat. Apa yang sangat menarik dalam ayat surah al-Rum ini adalah bagaimana Allah menggandingkan secara ekslusif antara “ILMU dan IMAN pada ayat 56 di atas:
وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَالْإِيمَانَ
Ertinya: (Setelah mendengar keluhan para pendosa), berkatalah orang yang dikurniai ILMU dan IMAN (al-Rum[30:56]).
Gandingan ini jelas menunjukkan ilmu adalah gerbang iman. Tanpa ilmu masakan iman boleh datang. Oleh itu, jika mahu iman bertambah dalamilah ilmu agama. Malang sekali orang yang mengaku beriman tapi malas mendalami ilmu agama. Lebih malang orang yang sibuk dengan kesenangan dunia sehingga lupa membajai imannya. Semoga Allah jadikan kita hambaNya yang senantiasa menyuburkan iman dengan siraman ilmu.
Menutup bicara ini, saya mahu kongsi sebuah hadith yang Insya Allah bakal menyedarkan kita agar mengambil segala peluang yang ada sebaiknya tanpa bertangguh. Sabda Rasulullah SAW:
يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً ثُمَّ يُقَالُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ فَيَقُولُ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيُصْبَغُ صَبْغَةً فِي الْجَنَّةِ فَيُقَالُ لَهُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ فَيَقُولُ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا مَرَّ بِي بُؤْسٌ قَطُّ وَلَا رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ
Ertinya: Pada hari kiamat, dibawakan orang kafir yang paling hebat ni’matnya di dunia (kaya) lalu dicelupnya dalam dengan celupan neraka sahaja, kemudian dikatakan padanya: Wahai anak Adam, adakah kamu melihat satu kebaikan dan merasa kesenangan (segala kemewahanmu di dunia dahulu)? Lalu si kafir menjawab: Tidak sama sekali wahai Tuhanku. Kemudiannya dibawakan pula ahli syurga yang paling susah hidupnya di dunia dahulu, lalu dicelupkan padanya satu celupan (sahaja) ke dalam ni’mat syurga, kemudian dikatakan padanya: Wahai anak Adam, adakah kamu melihat kesusahan dan adakah kamu merasakan kepayahan (kerana mematuhi arahan Allah semasa di dunia dahulu)? Lalu dijawabnya: Demi Allah wahai Tuhanku, tidak pernah aku rasakan kesusahan atau kepayahan sama sekali (Sahih Muslim & Musnad Ahmad).
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment