DOA YANG DISIMPAN UNTUK MENGHADAPI UJIAN HAJI
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
29 September 2015 @ hari Wuquf di Arafah.
Saya kenal diri sendiri. Sifat mazmumah (sifat tercela) masih tebal dalam diri. Hati saya tidak mampu sabar dan mudah marah apabila menunggu sesuatu yang dimungkiri waktunya. Jika dijanjikan pukul 9 pagi, hati saya akan membuak-buak resah apabila jam mencecah 9.30 pagi. Ketika jarum jam mencecah angka 10, api amarah mulai berbara dan tercetus. Ia akan semakin marak apabila waktu berlalu tanpa dipenuhi janjinya. Itulah tabiat buruk saya semenjak dahulu. Saya tak mampu menunggu lama. Bagi saya menunggu sesuatu yang dimungkiri seperti api marak yang mudah membakar kesabaran.
Walaupun begitu, saya berasa sesuatu yang luar biasa berlaku pada saya ketika musim haji lepas. Saya menjadi sangat penyabar ketika menghadapi ujian sebelum haji. Saya mampu menunggu untuk tempoh masa yang lama tanpa mengeluh atau marah. Seakan hati saya gagal mencari suis marah yang sebelum ini mudah dibangkitkan.
Pada hari selasa 15 September 2015, ketika kami bakal dijemput masuk ke dalam Kompleks Haji Kelana Jaya, saya sanggup berpanas dalam ihram menunggu di luar kompleks sehari suntuk. Bukan sekejap, tetapi dari jam 8 pagi sehingga 5 petang. Apabila dimaklumkan KT 65 yang dijadualkan pada hari Selasa terpaksa dibatalkan, sekali lagi saya mampu sabar bermalam di Kelana Jaya. Walaupun badan sangat letih kerana rehat yang sedikit, hati saya belum menjumpai suis marah.
Pada pagi Rabu 16 September 2015 ketika dimaklumkan kami tidak mungkin terbang pada hari tersebut dan perlu pulang dahulu ke rumah, sekali lagi saya mampu sabar. Pada pagi Khamis 16 September 2015, ketika mengetahui visa haji saya dan isteri tidak diluluskan kerana masalah passport, saya masih boleh bersabar tanpa secubit pun rasa marah dan resah.
Setelah sampai di Lapangan Terbang Jeddah, Arab Saudi sekali lagi saya diuji untuk menunggu proses keberangkatan ke Mekah. Bukan sekejap waktunya, kami sampai jam 9 malam dan hanya menaiki bas ke Mekah jam 4 pagi. Sepanjang tempoh itu saya mampu berlari ke sana ke mari mencari bas yang boleh membawa saya dan isteri ke Mekah kerana kami hanya berdua dari syarikat ASH-HAR Travel.
Hati saya tertanya-tanya:
“Wahai Abdullah! Ini sungguh ajaib! Bagaimana kamu boleh sabar dengan segala situasi ini. Seakan ini bukan diri kamu!”
Soalan itu tergantung dalam minda saya tanpa jawapan. Adakah ia kebetulan? Tidak! Kebetulan sangat bercanggah dengan keagungan Allah Yang Maha Mengetahui segala perkara lama sebelum ianya terjadi:
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ (22) لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آَتَاكُمْ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ (23)
Ertinya: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri (al-Hadid [57:22-23]).
Akhirnya jawapan kepada soalan itu dibuka luas oleh Allah apabila saya sampai ke Arafah. Suasana panas khemah Arafah sangat menguji minda. Senarai doa yang kami tulis dan rancang, sudah ada, namun ia tidak menyeluruh menyentuh aspek dunia dan akhirat. Pembimbing kami Tuan Guru Dr. Abdul Basit faham benar situasi ini. Beliau mengedarkan kepada semua Jemaah ASH-HAR buku doa yang sangat bagus. Dalamnya terkandung doa yang jelas thabit dari Rasulullah SAW. Ketika melantunkan doa dari buku ini satu persatu, mata saya terhenti pada sebuah doa yang biasa saya baca sejak dari dahulu. Setelah memerhatikan lafaz dan makna doa tersebut hati saya berkata:
“Subhanallah! Inilah rahsianya bagaimana aku mampu sabar sepanjang menghadapi ujian haji tahun ini. Allah menyimpan pemakbulan doa ini pada saat genting yang aku sangat memerlukan sifat sabar!”
Doa itu adalah:
اللَّهُمَّ اقْسِمْ لَنَا مِنْ خَشْيَتِكَ مَا يَحُولُ بَيْنَنَا وَبَيْنَ مَعَاصِيكَ
Ertinya: Ya Allah! Kurniakan pada kami bahawa rasa gerun (takut) pada-Mu yang boleh menghalang kami dari menderhakai-Mu
وَمِنْ طَاعَتِكَ مَا تُبَلِّغُنَا بِهِ جَنَّتَكَ
Dan kurniakan (pada kami) ketaatan pada-Mu yang boleh menyampaikan kami ke syurga-Mu.
وَمِنْ الْيَقِينِ مَا تُهَوِّنُ بِهِ عَلَيْنَا مُصِيبَاتِ الدُّنْيَا
“DAN KURNIAKAN (PADA KAMI) KEYAKINAN (KEPADA KUASA DAN TAKDIR-MU) YANG MEMUDAHKAN KAMI MENGHADAPI UJIAN SERTA KESUSAHAN DUNIA.”
وَمَتِّعْنَا بِأَسْمَاعِنَا وَأَبْصَارِنَا وَقُوَّتِنَا مَا أَحْيَيْتَنَا وَاجْعَلْهُ الْوَارِثَ مِنَّا وَاجْعَلْ ثَأْرَنَا عَلَى مَنْ ظَلَمَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى مَنْ عَادَانَا وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا وَلَا تَجْعَلْ الدُّنْيَا أَكْبَرَ هَمِّنَا وَلَا مَبْلَغَ عِلْمِنَا وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لَا يَرْحَمُنَا
Dan berilah ni’mat kepada kami pada pendengaran, penglihatan dan kekuataan (jasad kami) selama Engkau masih berikan kami hidup. Dan jadikanlah ia (segala deria serta kekuatan jasad kami itu) berkekalan sepanjang hidup kami. Dan jadikanlah tuntutan balas kami kepada orang yang menzalimi kami. Dan berilah pertolongan kepada kami mengalahkan orang yang memusuhi kami. Dan janganlah Engkau jadikan musibah/keburukan kami pada agama kami. Dan janganlah Engkau jadikan dunia itu sebagi keutamaan cita-cita kami dan kesudahan ilmu kami. Dan janganlah Engkau jadikan pemerintah kami orang yang tidak bersifat belas kasihan kepada kami (Sunan al-Tirmidhi).
Rangkap ketiga doa ini adalah jawapan kepada soalan saya. Rupanya ketenangan saya dalam menghadapi ujian sebelum haji didorong oleh keyakinan bahawa Haji adalah jemputan Allah dan saya tidak berhak memarahi Allah atas ujian tersebut. Bahkan jika saya gagal ke Mekah pada tahun ini, saya wajib redha dan tak boleh marah. Subhanallah! Inilah kuasa doa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Marilah kita sama-sama mengamalkan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ini. Keberkatan lidah baginda yang senantiasa berada di bawah lindungan wahyu pastinya akan melimpahkan kita dengan rahmat Allah. Kita boleh berdoa dengan berbagai doa sendiri, namun doa baginda yang mendapat bimbingan wahyu seumpama roket deras yang meluncur ke pintu langit. Apa ditunggu lagi? Ayuhlah bersama menaiki roket ini agar doa kita segera dimakbulkan.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment