Friday, November 13, 2015

BOLEHKAH ALVIN TAN MENJADI DANIEL STREICH ATAU 'IKRIMAH ANAK ABU JAHAL?

BOLEHKAH ALVIN TAN MENJADI DANIEL STREICH ATAU ‘IKRIMAH ANAK ABU JAHAL?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Ya Allah berikan hidayahMu pada Alvin Tan yang sangat membenci Islam sebagaimana Engkau pernah memberikan hidayah kepada Daniel Streich dan ‘Ikrimah anak Abu Jahal yang juga pernah  membenci Islam.”

Sekali lagi Alvin Tan berjaya menaikkan darah umat Islam Malaysia dengan aksi biadabnya bersama al-Quran. Saya tak mahu melayangkan kata nista mencacinya kerana dia seumpama syaitan yang menjadi semakin gemuk dan bertenaga dengan kata nista. Jika kita mahu melemahkan “seorang syaitan,” sebutlah nama Allah dan bersihkan Islam dengan sebaran ilmu:

لَا تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ  وَيَقُولُ بِقُوَّتِي وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ

Ertinya: Janganlah kamu berkata: “SYAITAN SUDAH MUSNAH (ATAU CELAKALAH SYAITAN)” kerana jika kamu berkata demikian, dia akan menjadi semakin besar (kuat) sehingga besarnya seperti sebuah rumah, syaitan akan berkata: (aku tewaskanmu) dengan kekuatanku, akan tetapi ucaplah: Dengan nama Allah kerana apabila kamu berkata demikian, syaitan akan mengecil seperti seekor lalat (Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad).

Isu lebih kritikal adalah membersihkan nama Islam dari serangannya kerana nyawa Alvin boleh disentap oleh Izrail pada bila-bila masa, tetapi pemikirannya akan senantiasa subur dibajai Iblis dalam tubuh “manusia syaitan” yang lain. 

Pada akhir aksi biadabnya, Alvin Tan mendialogkan al-Quran sebagai “BUKU KEGANASAN.” Benarkah al-Quran itu mempromosikan keganasan? Rupanya serangan Alvin itu bukan baharu, ia hanyalah kitaran semula serangan bukan Islam sebelum ini. Saya lantas teringat filem “FITNA” keluaran Ahli Parlimen Belanda bernama Geert Wilders pada tahun 2008. Filem berdurasi 10 minit itu menayangkan segala macam keganasan ekstremis Islam di seluruh dunia bersama iringan ayat al-Quran. Alhamdulillah saya sudah menonton filem itu dan menjawab segala kekeliruan tentang keganasan yang didakwa dipelopori al-Quran dalam rencana terbitan Utusan Malaysia:

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Bagi kes Alvin Tan pula, sebagai Muslim yang sangat mencintai al-Quran kita memang patut marah atas kebiadabannya yang melampau, namun begitu amarah kita perlu dikawal iman serta ilmu. Selagi nyawanya belum diambil Allah, beliau boleh dianugerahi hidayah kerana ia milik mutlak Allah:

لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

Ertinya: Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya) (al-Baqarah [2:272]).

Lihat sahaja bagaimana amarah dan benci Daniel Streich bertukar menjadi iman setelah pintu hidayah dibuka Allah. Daniel Streich adalah bekas ahli politik Switzerland yang pada asalnya sangat anti Islam, tetapi bertukar membela Islam setelah manis Islam dikecapi jiwanya. Kisah beliau boleh dibaca di sini:

https://en.wikipedia.org/wiki/Daniel_Streich

Samalah juga kisah ‘Ikrimah bin Abu Jahal. Dendamnya kepada Rasulullah bertukar cinta yang mendalam setelah pintu hidayah dibuka Allah ketika beliau dipukul badai di lautan setelah cuba melarikan diri ke Habsyah pada saat kota Mekah dibuka kembali oleh Rasulullah SAW (Sunan al-Nasa’i).

Mungkin ada yang akan berkata saya terlalu berbaik sangka dengan Alvin. Saya bukan berbaik sangka dengannya tetapi merindui ketabahan Rasulullah SAW dalam dakwahnya. Jika kita tak mampu berhujah membela Islam di hadapan Alvin, panjatkan doa kepada Allah agar dia diberi hidayah untuk menerima Islam kerana Rasulullah SAW pernah berdoa kepada ‘Umar al-Khattab dan Abu Jahal semasa di Mekah dahulu:

اللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ بِأَحَبِّ هَذَيْنِ الرَّجُلَيْنِ إِلَيْكَ بِأَبِي جَهْلٍ أَوْ بِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ

Ertinya: Ya Allah! Teguhkanlah Islam dengan orang yang paling Engkau sayang antara kedua ini (iaitu) Abu Jahal atau ‘Umar bin al-Khattab (Sunan al-Tirmidhi dan Sunan Ibn Majah).

Ini hanyalah suatu “sudut pandang dakwah” yang saya perolehi setelah lama meneliti Sirah Rasulullah SAW. Ubahlah bahasa kita. Ada bezanya antara konotasi “SI KAFIR atau GOLONGAN BUKAN ISLAM” dengan “GOLONGAN BELUM ISLAM.” Saya beranggapan Alvin Tan dan yang lain “MASIH BELUM ISLAM” kerana hidayah Allah belum menjamah jiwa mereka.

Dakwah kepada yang belum Islam adalah Sunnah Rasulullah yang paling utama kerana semua para sahabat Rasulullah SAW yang menjadi sebab Islamnya kita semua pada hari ini, dahulunya juga berasal dari agama bukan Islam. Muslim perlu ada jiwa seorang pendakwah. Pendakwah pula seumpama doktor yang merawat dan bukannya membunuh. Rawatlah Alvin Tan dengan dakwah dan doa kita semua. Doa itu pula percuma, modalnya cuma hati yang ikhlas.  Insya Allah senarai pembela Islam akan bertambah jika dia menerima Islam.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...