Saturday, November 14, 2015

KISAH NABI IBRAHIM AS DAN TETAMUNYA DARI KALANGAN PARA MALAIKAT

KISAH NABI IBRAHIM AS DAN TETAMUNYA DARI KALANGAN PARA MALAIKAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Hud [11:69-70]) pada  12 November 2015.

Tanpa disangka rupanya tetamu yang bertandang itu bukan manusia walaupun hadirnya dalam rupa manusia. Ibrahim AS mulai sedar mereka bukan manusia tetapi para malaikat yang “bermisi besar” apabila tangan mereka langsung tidak bergerak menjamah daging anak lembu panggang yang dihidang.

Menurut bicara al-Quran, jika datangnya malaikat untuk membawa khabar baik seperti kelahiran para nabi, satu malaikat sudah cukup. Ketika Zakariyya AS dikhabarkan berita kelahiran Yahya AS, cuma Jibril AS yang datang:

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ (38) فَنَادَتْهُ الْمَلَائِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي الْمِحْرَابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَى مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَسَيِّدًا وَحَصُورًا وَنَبِيًّا مِنَ الصَّالِحِينَ (39)

Ertinya: Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan". Lalu dia diseru oleh malaikat (Jibril AS) sedang sia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh" (Ali ‘Imran [3:38-39]).

Begitu juga ketika Maryam mendapat khabar kelahiran nabi Isa AS, hanya Jibril AS yang muncul:

فَاتَّخَذَتْ مِنْ دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا (17) قَالَتْ إِنِّي أَعُوذُ بِالرَّحْمَنِ مِنْكَ إِنْ كُنْتَ تَقِيًّا (18) قَالَ إِنَّمَا أَنَا رَسُولُ رَبِّكِ لِأَهَبَ لَكِ غُلَامًا زَكِيًّا (19)

Ertinya: Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami (Jibril AS) lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa. Jibril berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci" (Maryam [19:17-19]).

Tapi kali ini lain perihalnya, ramai malaikat dalam rupa manusia muncul di rumah nabi Ibrahim. Hati baginda terus bergetar dirundung rasa takut. Azab apa pula yang bakal menjunam ke bumi kali ini?:

وَلَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَى قَالُوا سَلَامًا قَالَ سَلَامٌ فَمَا لَبِثَ أَنْ جَاءَ بِعِجْلٍ حَنِيذٍ (69) فَلَمَّا رَأَى أَيْدِيَهُمْ لَا تَصِلُ إِلَيْهِ نَكِرَهُمْ وَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةً قَالُوا لَا تَخَفْ إِنَّا أُرْسِلْنَا إِلَى قَوْمِ لُوطٍ (70)

Ertinya: Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)". Nabi Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu". Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang. Maka apabila ia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik akan hal mereka serta merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka berkata: "Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)" (Hud [11:69-70]).

Rupanya para malaikat itu membawa 2 misi iaitu mengkhabarkan (2) berita gembira kelahiran nabi Ishaq AS dari Rahim isteri tua baginda (Sarah) dan, (2) berita kemusnahan kaum nabi Lut AS yang secara terang mengamalkan seks songsang.

Selain  kedatangan bermisi besar oleh para malaikat, kisah ini juga mengajar  kita semua agar melayan tetamu dengan baik. Ia selaras dengan ajaran Rasulullah SAW:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Ertinya: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Cara memuliakan tetamu tampak jelas dalam kisah ini kerana sejurus menerima ketibaan tetamunya, tanpa berlengah nabi Ibrahim terus memanggang daging anak lembu. Mengapa perlu dipanggang daging anak lembu sedangkan sang lembu masih muda? Tidak lain, ia menunjukkan baginda mahukan yang terbaik untuk tetamunya. Daging anak lembu yang masih muda sedap di lidah dan lembut pada gigi. Tetamu yang meni’matinya pasti gembira.

Beginilah caranya al-Quran mengajar kita. Kaedahnya sangat holistik dan bukan hanya penceritaan sebuah kisah kosong tetapi sarat dengan pengajaran yang merangkumi aspek akidah, akhlak dan sebagainya. Sungguh beruntung Muslim yang mahu dan senantiasa berusaha menghayati kisah al-Quran.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...