Monday, July 13, 2015

BERSAHABAT SAMPAI ALAM BARZAKH DAN SYURGA

BERSAHABAT SAMPAI ALAM BARZAKH DAN SYURGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Saya dengan Datuk “M” tu masih saudara dekat. Tak jauh pun! Masih ada bau bacang. Baru 37 pupu. Bonda beliau dengan ayah saya baru 36 pupu. Kami berkongsi Datuk melalui nabi Idris.”

“Ustaz selebriti “I” tu semasa tadika dahulu duduk sebelah meja saya. Dahulu kami memang rapat bagai itik dan angsa.”

Itulah dialog yang biasa didengar apabila seseorang yang dipuja tampil ke tengah masyarakat. Yang jauh pantas sekali mengaku dekat. Benar sekali bak ditutur ramai, teman ketawa ramai sekali, namun teman menangis jarang ditemui.

Semalam (11 Julain 20015) sebelum ke Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa untuk mengimamkan solat terawih dan tadabbur surah yang dibaca, mata saya terpaku pada huraian Tafsir ayat 67 surah al-Zukhruf. Kagum dan mempersonakan! Itulah ekspresi minda saya. Lantas rasa kagum itu wajib saya kongsi kepada semua kerana Allah telah meminjamkan ni’mat tadabbur ayat ini kepada saya. Maka seharusnya saya panjangkan pinjaman ilmu ini kepada semua. Firman Allah:

هَلْ يَنْظُرُونَ إِلَّا السَّاعَةَ أَنْ تَأْتِيَهُمْ بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ (66) الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ (67)

Ertinya: (Mereka yang menentang Nabi Muhammad) tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, dan dalam keadaan mereka lalai leka dengan perkara-perkara keduniaan. “PADA HARI ITU SAHABAT-SAHABAT KARIB: SETENGAHNYA AKAN MENJADI MUSUH KEPADA SETENGAHNYA YANG LAIN, KECUALI ORANG-ORANG YANG PERSAHABATANNYA BERDASARKAN TAQWA (IMAN DAN AMAL SOLEH)” (al-Zukhruf [43:.66-67]).

Persahabatan orang beriman menjangkau pangkat, darjat atau harta. Persahabatan dan kasih sayang antara mereka bertapak pada satu pasak yang kukuh iaitu “TAQWA.” Huraian Sayyidina Ali RA terhadap tafsir ayat ini cukup menyentuh hati:

قال: خليلان مؤمنان، وخليلان كافران، فمات أحد المؤمنين فقال: يا ربّ إن فلانا كان يأمرني بطاعتك وطاعة رسولك، ويأمرني بالخير، وينهاني عن الشرّ ويخبرني أني ملاقيك يا ربّ فلا تضله بعدي واهده كما هديتني وأكرمه كما أكرمتني، فإذا مات خليله المؤمن جمع بينهما فيقول: ليثن أحدكما على صاحبه فيقول: يا ربّ إنه كان يأمرني بطاعتك وطاعة رسولك، ويأمرني بالخير، وينهاني عن الشرّ، ويخبرني أني ملاقيك، فيقول: نعم الخليل، ونعم الأخ، ونعم الصاحب; قال: ويموت أحد الكافرين فيقول: يا ربّ إن فلانا كان ينهاني عن طاعتك وطاعة رسولك، ويأمرني بالشرّ، وينهاني عن الخير، ويخبرني أني غير ملاقيك، فيقول: بئس الأخ، وبئس الخليل، وبئس الصاحب.

Ertinya: Sayyidina Ali RA berkata: Ada 2 teman beriman dan 2 teman kafir. Setelah salah seorang teman orang beriman itu mati. (Ketika di alam barzakh) beliau berdoa: “Wahai TuhanKu, (semasa di dunia dahulu) temanku itu selalu menyuruhku agar mentaatiMu dan RasulMu. Dia juga senantiasa menyuruhku melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dia juga selalu mengingatkanku bahawa aku pasti akan bertemu denganMu. Wahai Tuhanku, janganlah Engkau sesatkan dia selepas kematianku. Bimbinglah dia sebagaimana Engkau telah membimbingku dan muliakanlah dia sebagaimana Engkau telah memuliakanku! Apabila temannya yang beriman itu turut meninggal dunia, keduanya dikumpulkan bersama (di alam barzakh). Allah pun berkata: (Kesejahteraan) ini berlaku kerana doa penghindar keburukan yang berlaku antara kedua kamu. ……Allah lalu berkata: (Itulah) sebaik-baik teman, saudara dan sahabat.

Apabila salah seorang dari yang kufur pula mati, dia akan berkata: “Wahai Tuhan, (semasa di dunia dahulu) temanku itu selalu melarangku dari mentaatiMu dan RasulMu. Dia juga selalu mendorongku melakukan kejahatan dan mencegahku dari melakukan kebaikan. Dia juga selalu meyakinkan bahawa aku tidak akan bertemu denganMu. Allah lalu berfirman: (Itulah) seburuk-buruk saudara, teman dan sahabat (Tafsir al-Tabari).

Bagaimana Sayyidina Ali RA mengetahui perihal barzakh? Boleh jadi ia kefahaman peribadi beliau. Boleh jadi juga ia pernah dihurai Rasulullah SAW lalu dihadam oleh Sayyidina Ali RA dan disampaikan kepada muridnya. Kisah ini walau terhenti pada Sayyidina Ali RA, nilai persahabatan berpaksikan iman pernah disebut oleh Rasulullah SAW:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

Ertinya: Ada 7 golongan yang bakal dilindungi Allah di bawah naunganNya pada hari (kiamat) yang tiada naungan melainkan naunganNya sahaja iaitu; pemimpin yang adil, anak muda yang membesar dalam ibadat kepada Tuhannya, lelaki yang hatinya senantiasa terikat dengan masjid, “ 2 LELAKI YANG SALING BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH, BERTEMU DAN BERPISAH KERANANYA”,  lelaki yang digoda (berzina) oleh wanita yang memiliki pangkat dan kecantikan lalu dia berkata “sesungguhnya aku takutkan Allah, lelaki yang menyembunyikan sedekahnya sehingga (seakan-akan) tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanannya dan seorang lelaki yang mengingati Allah secara bersendirian lalu mengalirlah kedua air matanya (kerana gentarkan Allah) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Apa yang penting, huraian ini sepatutnya dihadam serta dipasak kemas ke dalam hati. Berteman biarlah sampai ke syurga.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...