Wednesday, December 17, 2014

TOLAK YANG "AJAIB LAGI LUAR BIASA" KERANA HANYA MAHU YANG AJAIB

TOLAK YANG “AJAIB LAGI LUAR BIASA” KERANA HANYA MAHU YANG AJAIB

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:50-51]) pada 9 Disember 2014. Antara isunya adakah kebodohan Musyrikin Quraysh yang mahukan mukjizat lain selain al-Quran.

Kalau sudah degil, berbagai-bagai alasan diberi bagi menolak hujah yang benar lagi bersuluh di depan mata. Mukjizat Hissi (dapat ditanggap pancaindera) yang dikurniakan kepada para Rasul terdahulu memang ajaib, namun mukjizat Maknawi (ditanggap dengan kajian dan akal) yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW melalui al-Quran jauh lebih ajaib dan luar biasa. Kalau mukjizat hissi seumpama perak, mukjizat maknawi pula seumpama INTAN BERSALUT EMAS. Malangnya mata Musyrikin Quraysh seakan sudah buta dari melihat mukjizat al-Quran yang sudah sekian terpampang di depan mata mereka lalu meminta mukjizat yang lain:

وَقَالُوا لَوْلَا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آَيَاتٌ مِنْ رَبِّهِ قُلْ إِنَّمَا الْآَيَاتُ عِنْدَ اللَّهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُبِينٌ (50) أَوَلَمْ يَكْفِهِمْ أَنَّا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ يُتْلَى عَلَيْهِمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَرَحْمَةً وَذِكْرَى لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (51)

Ertinya: Dan mereka berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?" Jawablah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya (urusan menurunkan) mukjizat-mukjizat itu adalah tertentu bagi Allah, dan aku hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata". (Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman (al-‘Ankabut [29:50-51]).

Rupanya bukan sekali dua mereka meminta sedemikian:

وَلَقَدْ صَرَّفْنَا لِلنَّاسِ فِي هَذَا الْقُرْآَنِ مِنْ كُلِّ مَثَلٍ فَأَبَى أَكْثَرُ النَّاسِ إِلَّا كُفُورًا (89) وَقَالُوا لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّى تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنْبُوعًا (90) أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِنْ نَخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الْأَنْهَارَ خِلَالَهَا تَفْجِيرًا (91) أَوْ تُسْقِطَ السَّمَاءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِيَ بِاللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ قَبِيلًا (92) أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِنْ زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَى فِي السَّمَاءِ وَلَنْ نُؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّى تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَابًا نَقْرَؤُهُ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنْتُ إِلَّا بَشَرًا رَسُولًا (93)

Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran. Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus.  Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya". Katakanlah (wahai Muhammad):" Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul? (al-Isra’[17:89-93]).

Kebebalan meminta yang rendah dan menolak yang terbaik pernah dilakukan oleh umat nabi Musa AS. Mereka sudah mendapat makanan terbaik dari “MANNA dan SALWA” tetapi meminta yang remeh seperti bawang, sayur, bawang putih, kacang sehingga ditegur:

وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَى لَنْ نَصْبِرَ عَلَى طَعَامٍ وَاحِدٍ فَادْعُ لَنَا رَبَّكَ يُخْرِجْ لَنَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ مِنْ بَقْلِهَا وَقِثَّائِهَا وَفُومِهَا وَعَدَسِهَا وَبَصَلِهَا قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَى بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ اهْبِطُوا مِصْرًا فَإِنَّ لَكُمْ مَا سَأَلْتُمْ

Ertinya: Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "ADAKAH KAMU MAHU MENUKAR SESUATU YANG KURANG BAIK DENGAN MENINGGALKAN YANG LEBIH BAIK? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu" (al-Baqarah [2:.61]).

Benar, ayat dan celaan di atas ditujukan kepada manusia bebal sezaman Rasulullah SAW dan umat nabi Musa AS, namun jangan lupa pada zaman ini kebebalan yang sama tetap wujud. Berapa ramai umat Islam yang menganggap al-Quran remeh untuk dipelajari. Berapa ramai umat Islam yang buta al-Quran tapi malas belajar. Berapa ramai umat Islam yang menganggap amalan lain selain al-Quran jauh lebih utama untuk dipelajari dan diamalkan. Itu juga bebal namanya kerana meminggirkan yang “LUAR BIASA LAGI AJAIB.” Ya Allah! Jauhkan kami dari kebebalan umat lampau.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...