MENGAPA KEBIADABAN MEREKA TIDAK SEGERA DIBALAS?
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:53]) pada 16 Disember 2014. Antara isunya mengapakah pihak Musyrikin Quraysh yang biadab dengan Rasulullah SAW tidak terus dicabut nyawanya?
Tidak semudah cerita “Tanah Kubur” yang menggambarkan setiap yang jahat pasti mati ngeri dan mendapat balasan segera dalam berbagai rupa. Mungkin itu bayangan pemikiran manusia, tapi lain sekali kehendak Allah. Allah bukanlah Tuhan yang hanya tahu marah dan senantiasa bersiap siaga dengan muncung senapang menunggu masa membidik makhlukNya yang khilaf atau jahat. RahmatNya sangat luas sehingga mengatasi murkaNya:
قَالَ عَذَابِي أُصِيبُ بِهِ مَنْ أَشَاءُ وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ
Ertinya: Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; (al-A’raf[7:156]).
Benar, ada juga si jahat yang mendapat balasan ngeri semasa di dunia lagi atau sejurus selepas nyawa disentap malaikat maut. Ia berlaku dengan hikmah tersendiri, namun jangan pula senantiasa digambarkan Allah itu berpanjangan keras dengan hambaNya. Lihat firmanNya ini:
وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَوْلَا أَجَلٌ مُسَمًّى لَجَاءَهُمُ الْعَذَابُ وَلَيَأْتِيَنَّهُمْ بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Ertinya: Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan azab (yang dijanjikan); dan kalau tidaklah kerana adanya tempoh yang telah ditetapkan, tentulah azab itu akan datang menimpa mereka; dan azab itu tetap akan datang menimpa mereka secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya (al-‘Ankabut[29:53]).
Contoh kebiadaban mereka meminta disegerakan azab direkodkan Allah dalam surah lain:
وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Ertinya: Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: "Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya" (al-Anfal[8:32]).
Rupanya kebiadaban ini pernah berlaku pada umat terdahulu. Lihat bagaimana sinisnya kaum nabi Nuh AS terhadap baginda:
قَالُوا يَا نُوحُ قَدْ جَادَلْتَنَا فَأَكْثَرْتَ جِدَالَنَا فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ
Ertinya: Mereka berkata: "Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sangat hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar" (Hud[11:32]).
Kenapa Allah menangguhkan penurunan azab kepada Musyrikin Quraysh walaupun kebiadaban mereka terhadap baginda sangat dahsyat? Tidak lain, kerana ajal mereka belum sampai atau kerana rahmat Allah jauh lebih luas dari kemurkaanNya. Allah mahu memberikan peluang kepada si degil yang menolak Islam agar berfikir dan akhirnya melihat kebenaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW. Walau ada yang menutup rekod hidupnya dengan buruk seperti Abu Jahal, namun ramai lagi yang lain mendapat hidayah dan mengakhiri hidup mereka sebagai orang beriman seperti Abu Sufyan, Ikrimah bin Abu Jahal, Khalid bin al-Walid dan sebagainya.
Berikan harapan, usahlah berlagak Tuhan memandang ahli maksiat sebagai penghuni neraka. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui penyudah makhlukNya. Ajaklah dengan harapan, jangan menyimpan hasrat mahu ke syurga berseorangan, sebaliknya ramaikan teman anda di syurga nanti dengan DAKWAH YANG PENUH HIKMAH.
No comments:
Post a Comment