IDOLAKAN PARA NABI BUKAN YANG LAIN
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-An’am [6:90]) pada 6 Disember 2014. Antara isunya adalah arahan mengikut jalan para Rasul dan mengidolakan mereka.
Siapa idola anda? Artis? Ahli sukan? Ahli politik? Ustaz Selebriti? Ulama? Nampak idola atau ikutan seakan remeh, namun tanpa sedar mereka memberikan impak besar kepada manusia. Lihat sahaja orang berfesyen, sanggup berhabis beribu ringgit agar dilihat seakan pakaian idolanya. Produk yang sangat biasa boleh menjulang naik menjadi sangat ajaib apabila di”DUTA”kan tokoh yang menjadi idola ramai orang. Pendek kata orang yang bernama mampu memberikan impak kepada pengikut mereka. Siapakah idola yang sepatutnya diikut oleh manusia? Tiada yang lebih mengetahui baik buruknya manusia melainkan Pencipta manusia. Oleh itu, Allah meletakkan idola terbaik untuk kebahagian manusia di dunia dan di akhirat:
أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهِ قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرَى لِلْعَالَمِينَ
Ertinya: MEREKA (NABI-NABI) ITULAH, ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERI PETUNJUK OLEH ALLAH, MAKA TURUTLAH OLEHMU (WAHAI MUHAMMAD) AKAN PETUNJUK MEREKA; Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya (al-An’am[6:90]).
Tidak dinafi, idola terbaik dalam kalangan para Rasul pula adalah penghulunya yang juga Rasul kebanggaan kita, Muhammad SAW:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآَخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Ertinya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-Ahzab [33:21]).
Bangga dengan idola sahaja tidak cukup. Tidak juga cukup sekadar menampal nama idola di dinding atau di cermin kereta, tetapi lebih utama mesti dibuktikan dengan "TAKSUB POSITIF" kepada baginda sebagaimana disebut Allah:
وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا
Ertinya: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya (al-Hasyr[59:7]).
Juga firman Allah:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (31) قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (32)
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir (Ali ‘Imran[3:31-32]).
No comments:
Post a Comment