Wednesday, December 31, 2014

SUNGGUH HARTA BENDA ADALAH PINJAMAN

SUNGGUH HARTA BENDA ADALAH PINJAMAN.

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
(22 Disember 2014).

Ngeri menonton Majalah 3 di TV3 yang mengulas sejarah 10 tahun ulang tahun tragedi Tsunami Acheh.

Antara yang disentuh adalah kisah seorang pengusaha ikan laut dalam. Sebelum Tsunami beliau sangat terkenal di Acheh kerana memiliki 10 buah kapal laut dalam. Dalam Tsunami sekelip mata semua kapalnya hilang & musnah bersama para pekerjanya. Sekarang beliau hidup sederhana dengan menjual ikan masin sahaja. Semoga Allah kurniakan sabar padanya dan meningkatkan darjat imannya atas ujian ini.

Kisah ini mengingatkan saya 2 kisah dalam al-Quran perihal orang kaya yang "DITARIK KEKAYAANNYA HANYA DALAM SATU MALAM SAHAJA."

Anda boleh rujuk kisah pertama dalam surah al-Kahfi  [18:32-43]. Kemuncak kisah pertama adalah firman Allah ini:

وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِ فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ عَلَىٰ مَا أَنْفَقَ فِيهَا وَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّي أَحَدًا

Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!" (Al-Kahfi[18:42]).

Manakala cerita kedua pula mengisahkan sekumpulan pemilik  kebun yang bakhil dan tamak. Mereka merancang keluar pada awal pagi memetik hasil tanaman bagi mengelakkan diganggu orang miskin yang meminta sedekah. Akibat niat jahat ini, kebun mereka dimusnahkan Allah dalam satu malam sahaja. Kisah mereka boleh dirujuk pada surah al-Qalam [68:17-33].

Ini peringatan penting pada saya dan kita semua betapa harta adalah pinjaman dan amanah Allah. Bila PEMILIK ASAL MAHU MENGAMBILNYA  KEMBALI, TIADA DAYA BAGI KITA MENAHANNYA. Firman Allah:

آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنْفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُمْ مُسْتَخْلَفِينَ فِيهِ ۖ فَالَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَأَنْفَقُوا لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ

Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) YANG DIJADIKANNYA KAMU MENGUASAINYA SEBAGAI WAKIL. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar (al-Hadid [57:7]).

Cara terbaik adalah, menukar harta pinjaman ini kepada MATA WANG AKHIRAT dengan sedekah atau bakti agama agar ia membantu kita di sana kelak. Insya Allah!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...