Wednesday, December 31, 2014

DIKALA ORANG LAIN KETAKUTAN - KAMU DIHORMATI LAGI DIPELIHARA

DI KALA ORANG LAIN KETAKUTAN – KAMU DIHORMATI LAGI DIPELIHARA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:67]) pada 23 Disember 2014. Antara isunya adalah keistimewaan orang Mekah yang tidak dimiliki oleh orang Arab yang lain.

“Kamu perlu berhati-hati dengan mereka. Mereka itu bukan calang-calang orangnya. Mereka itu “ORANG TUHAN dan tinggal di tempat terbinanya RUMAH TUHAN.” Orang Tuhan tidak boleh diperlaku sewenang-wenangnya. Jika tak mahu direjam batu seperti nasib malang menimpa Abrahah dan tentera bergajahnya, jangan cuba kamu usik orang Mekah!”

Itulah nilai kehormatan Mekah dan penghuninya di mata orang Arab. Rasa ini bukan datang sendiri, tapi berpunca dari kehormatan Ka’abah yang berdiri teguh di Mekah. Hidup orang Arab pada zaman itu tidak terjamin amannya. Mereka terdedah kepada pergaduhan dan perselisihan sesama mereka. Perjalanan mereka juga tidak terjamin dek ramainya lanun berkeliaran di kawasan mereka dan mereka boleh dirompak, diceroboh dan diculik sebagai komoditi jualan pada bila-bila masa sahaja.

Di tengah kegawatan ini, orang Mekah ternyata begitu istimewa dan kebal. Mereka sangat dihormati dan kebal dari kejahatan manusia kerana kemuliaan Ka’abah. Allah menegaskan perkara ini dalam firmanNya:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا جَعَلْنَا حَرَمًا آَمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النَّاسُ مِنْ حَوْلِهِمْ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَةِ اللَّهِ يَكْفُرُونَ

Ertinya: Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai yang tinggal (dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh) ? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah? (al-‘Ankabut [29:67]).

Lalu apa lagi yang kamu tunggu wahai penduduk Mekah? Ni’mat ini sepatutnya kamu syukuri dengan segera beriman kepada Muhammad SAW. Kedatangan Rasulullah SAW kepada penduduk Mekah sepatutnya disambut meriah dengan bangga kerana baginda adalah pelengkap kepada ni’mat Ka’abah dan keamanan yang sedia ada. Inilah yang ditegaskan Allah:

لَقَدْ أَنْزَلْنَا إِلَيْكُمْ كِتَابًا فِيهِ ذِكْرُكُمْ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Ertinya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)? (al-Anbiya’ [21:10]).

Malang sekali bagi sesetengah penduduk Mekah yang hanya menyedari ni’mat Islam dan al-Quran sebagai pelengkap mereka selepas 8 tahun baginda bertapak di Madinah. Apa nak buat, begitulah sifat sesetengah manusia yang tidak nampak kilauan emas di depan mata sehinggalah kilauannya naik menyerlah selepas disuluh cahaya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...